KelabMama

CARA DIDIK ANAK JADI LEBIH BERANI

Berani mencapai kecemerlangan, bercakap di hadapan orang ramai, bergaul, bertanya apabila tidak faham, menjadi ketua, memegang jawatan dan  mewakili kelas atau sekolah menjadi impian setiap ibu bapa untuk anaknya. Apabila si kecil menunjukkan keberanian, mereka bakal diberikan pelbagai peluang selain mendapat anugerah dan pengiktirafan.  Semua ini amat membantu mereka ketika dewasa kelak.  Berikut adalah beberapa tip yang boleh dilakukan oleh ibu bapa bagi menjadikan si kecil seorang yang berani:

 

Tidak salah membantu anak, tetapi ada ketikanya mereka perlu diberikan peluang mencuba dan melakukan kesilapan untuk terus belajar.  Ketika si kecil pandai berjalan,  dia mula belajar naik tangga.  Biasanya ibu bapa terus dukung dan bawa naik ke tingkat atas, bimbang anak terjatuh.  Ibu bapa prihatin sebaliknya mengawasi dan membiarkan anaknya menapak satu persatu anak tangga.  Dari situ anak belajar.

 

Ada ibu bapa yang sanggup menghantar buku latihan semula ke sekolah kerana bimbang anaknya nanti dimarahi guru atau didenda.  Bagaimana jika masalah sama berulang?  Bermakna anak kita sudah membentuk satu tabiat tidak bertanggungjawab.  Oleh itu biarkan mereka dimarahi dan didenda sewajarnya. Biar dia menjadi seorang yang berani menerima kesalahan dan berhadapan dengan risikonya sendiri.

 

Aktiviti lasak seperti panjat dinding batu, berkuda, memanah dan berenang dapat meningkatkan keberanian.  Jadikanlah anak kita seorang yang lasak dan berani kerana sifat itu penting dalam pembentukan jati diri mereka.

 

Hantar anak anda ke kelas seni mempertahankan diri seperti silat, taekwando, kick-boxing atau lain-lain aktiviti yang anda rasa perlu. Walau bagaimanapun anda perlu menasihatinya, bahawa ini adalah langkah untuk membela diri bukan untuk menjadikan anak anda seorang yang ganas atau kaki pukul.

 

Ibu bapa perlu bercakap secara positif dan sentiasa menunjukkan pada anak yang kita yakin serta percaya kebolehan dirinya.  Mereka  juga perlu tahu dan sedar yang ibu bapanya bersedia menerima kekurangan, kesalahan dan kesilapan yang dilakukannya dengan hati terbuka asalkan mereka belajar sesuatu daripada pengalaman itu.  Sifat terbuka ibu bapa penting bagi menjadikan anaknya seorang yang berani mencuba dan bertindak.

 

 

 

 

Sumber: internet / Majalah Jelita