KelabMama

Cara Bersihkan Mulut Bayi Untuk Elak Jangkitan Kulat

Cara Bersihkan Mulut Bayi Untuk Elak Jangkitan Kulat

Ramai ibu bapa kurang mengambil perhatian tentang kebersihan mulut bayi kerana merasakan ianya tak begitu penting sebab anak pun masih kecil, tak ada gigi. Tapi sebenarnya, kebersihan mulut bayi yang masih kecil juga sangat penting!

Sebab apa mama kena jaga kebersihan mulut si manja? Sebab ia dapat mengelak daripada jangkitan kulat pada mulut bayi yang boleh menyebabkan penyakit. Ada banyak faktor yang membawa kepada jangkitan kulat terhadap mulut si manja contohnya, minum susu

Kulat di dalam mulut bayi dinamakan thrush dimana ia kelihatan seakan-akan kepingan susu basi yang melekat di lidah.

Minum susu pun boleh berjangkit kulat?

Terkejut kan? Hakikatnya, lebihan susu yang melekat dekat mulut bayi tu boleh menyebabkan jangkitan dekat mulut si kecil mama. Berikut merupakan perkongsian daripada Puan Izaza tentang cara penjagaan mulut si manja yang perlu diamalkan ibu bapa setiap hari untuk elak susu melekat dan seterusnya menyebabkan jangkitan kuman.

Bersihkan Mulut Seawal Bayi Lagi. Tapi Macam Mana Nak Mula?

Untuk bayi yang baru lahir, mama boleh mulakan dengan penggunaan kain basah dan bersihkan mulut.

Tuala Good Morning merupakan pilihan terbaik kerana fabriknya yang lembut dan nipis.

Kain paling terbaik untuk digunakan adalah kain Good Morning sebab nipis dan tak berbulu. Kalau nak yang lebih baik lagi, guna gauze atau kain kasa atau kain lampin yang bersih.

Cara Bersihkan

Masukkan jari yang dibalut dengan sapu tangan basah dan sapu bahagian sekitar dalam mulut untuk menanggalkan saki baki susu tersebut.
  1. Kain yang sudah basah tadi, balut dijari telunjuk kita.
  2. Kemudian gunakan jari telunjuk untuk bersihkan bahagian dalam mulut perlahan-lahan.
  3. Bersihkan lidah, gigi, gusi, sekitar lelangit dan juga sekitar dalam mulut.
  4. Ulang rutin ini setiap hari.

Bila Masa Perlu Bersihkan?

Bersihkan mulut setiap kali selepas menyusu atau sekali sehari setiap pagi. Bersihkan atas gusi, bawah lidah, atas lidah dan sekitar lelangit serta sekitar dalam mulut.

Jika anak menyusu menggunakan botol susu, bersihkan puting botol menggunakan air yang mendidih sekurang-kurangnya dua kali seminggu.

Kenapa Perlu Bersihkan?

Untuk elak susu melekat dalam mulut dan elak jangkitan kulat atau fungus dalam mulut si kecil.

Selain menjaga dan memastikan kebersihan dan kesihatan bayi anda, anda juga secara tak langsung mengajar anak anda untuk jaga kebersihan diri mereka sejak kecil. Nanti bila mereka dah semakin membesar, mereka akan lebih faham kenapa pentingnya menjaga kebersihan diri. 

Sumber: Izaza Mohd Zan

BACA JUGA TOLONG BERHATI-HATI DENGAN KULAT/FUNGUS YANG ADA DI KULIT

Pesan Mama Siti:

Mulut bayi tak akan terus bersih dengan sekalipun mama praktikkan cara pembersihan ni. Kalau mama nak pastikan mulut si manja mama kekal bersih, pastikan rutin ni dilakukan setiap hari. Kalau bayi tak selesa, jangan pula dipaksa. Cuba pujuk bayi dengan mengajaknya berbual, menyanyi, atau bermain. Barulah senang kerja mama!