KelabMama

Cara Beli Rumah Pertama Dengan Gaji Kecil – Jom Tengok Step By Step

Cara Beli Rumah Pertama Dengan Gaji Kecil

Kredit gambar: istockphoto

Bila dah meningkat dewasa dan berumah tangga, pastinya akan ada perancangan untuk membeli rumah sendiri. Siapa je tak ada impian memiliki rumah sendiri kan?

Menghias rumah, menyusun atur perabot, dah terbayang-bayang dah tema hiasan rumah nanti. Tapi buat mereka yang bergaji kecil, terasa seperti semua tu angan-angan je.

Boleh ke beli rumah kalau bergaji kecil?

6 Cara Beli Rumah Pertama Dengan Gaji Kecil

Sebenarnya, walaupun bergaji kecil, boleh je beli rumah sendiri mengikut kemampuan. Kemampuan ni diukur pada gaji anda dan jenis rumah.

Orang kata kehendak dengan kemampuan tu, biarlah seiring. Janganlah pula kalau gaji kita RM3000 sebulan, kita mahukan rumah villa atau banglo mewah. Nanti kita juga yang derita tau?

Haa.. buat kali ini, kami ingin kongsikan cara untuk beli rumah pertama dengan gaji kecil. Khas untuk anda, jom tengok step-by-step ini:

1. Nilai kelayakan dan kemampuan anda

Yang pertama sekali, bila dah ada impian dan perancangan untuk beli rumah pertama, anda perlu nilai sebetulnya kelayakan dan kemampuan anda.

Macam mana nak ukur kemampuan? Ikutlah perkiraan ini:

Secara umumnya, pinjaman bulanan anda tidak boleh melebihi 1/3 daripada gaji kasar anda. Contohnya, kalau anda bergaji RM3000, pinjaman bulanan anda sepatutnya bawah RM900.

Ini formulanya:

Gaji bulanan kasar x 30/100 = Pinjaman bulanan maksimum

Bila dah dapat anggaran pinjaman bulanan maksimum yang sesuai dengan gaji anda, anda harus nilai harga rumah itu pada tempoh pinjamannya berapa tahun dan kadar faedahnya berapa peratus.

2. Pastikan DSR dan CCRIS anda clear

Kredit gambar: istockphoto

DSR adalah Debt Service Ratio yang juga dikenali sebagai Nisbah Khidmat Hutang. DSR ni penting untuk bank menilai sama ada anda layak atau tak untuk mendapat pinjaman.

Jumlah hutang dan komitmen anda akan dinilai secara keseluruhan berdasarkan rekod DSR ini dan dari situlah, bank akan menentukan sama ada ada layak atau tak untuk dapat pinjaman nak beli rumah ni.

Biasanya jika gaji anda bawah RM3000, anda mesti pastikan DSR anda adalah kurang daripada 60%.

Manakala CCRIS pula mestilah bersih. Jika rekod maklumat kewangan peribadi anda elok, mudahlah sikit untuk bank luluskan pinjaman nanti.

3. Selesaikan booking fee

Bila dah jelas dan selesai DSR dan CCRIS, anda boleh teruskan dengan membuat yuran tempahan rumah. Menurut PropertyGuru, yuran ini biasanya dalam 2-3% daripada jumlah pinjaman anda.

4. Buat down payment

Selepas itu, anda perlu bayar bayaran pendahuluan iaitu 10% daripada jumlah pinjaman bila dah tanda tangan surat perjanjian jual beli.

5. Teruskan dengan Memorandum Pemindahan (MoT)

Kemudian, proses pembelian rumah pertama akan diteruskan dengan pemindahan hak milik. Akan ada duti setem dan beberapa caj yang dikenakan untuk buat MoT ini.

6. Selesaikan yuran guaman Surat Perjanjian Jual Beli

Kredit gambar: istockphoto

Anda dikehendaki pula untuk membayar yuran guaman untuk buat Surat Perjanjian Jual Beli. Biasanya kadarnya adalah 1% untuk RM150 000 yang pertama dan 7% untuk jumlah yang tinggal bagi rumah bernilai di bawah RM1 juta.

Ada juga caj tambahan lain seperti yuran pemindahan hak milik dan stamping.

3 Kesalahan Dalam Membeli Rumah Pertama

Ramai je yang tersalah langkah ketika membeli rumah pertama mereka. Di bawah ini kami kongsikan beberapa kesalahan dalam membeli rumah pertama:

1. Pengurusan kewangan yang tidak baik

Ramai yang ingin memiliki rumah tetapi tidak tahu menguruskan kewangannya dengan baik. Ada pinjaman yang dilakukan untuk kehendak dan bukanlah keperluan dan jumlahnya pula banyak dan tidak berpatutan.

Untuk memiliki rumah, anda mestilah kenali dan sort out priorities anda. Kurangkan hutang, berbelanja dengan berhemah dan tingkatkan pendapatan jika mampu.

2. Terlalu ambitious dan target di luar kemampuan

Yang penting, janganlah beli rumah yang nilainya di luar kemampuan kita. Bak kata pepatah, ukurlah baju di badan sendiri.

Beli rumah yang sesuai dengan gaji kita dan seiring dengan waktu dan pertambahan gaji, bolehlah tingkatkan kemewahan yang anda idamkan.

Kalau target anda di luar kemampuan, merana anda nanti. Silap-silap, nak makan pun catu nanti tau.

3. Tidak bersedia

Bila dah bersedia dari segi kewangan, pemahaman dan mental, barulah disarankan untuk membeli rumah. Jangan terburu-buru untuk memiliki rumah dan akhirnya, anda baru tersedar yang anda masih tidak bersedia untuk menggalas komitmen bulanan dan masih banyak yang anda tidak faham mengenainya.

Semoga Impian Memiliki Rumah Pertama Anda Dipermudahkan

Kredit gambar: istockphoto

Dengan kaedah dan panduan yang betul, walaupun bergaji kecil, anda tetap boleh memiliki rumah sendiri.

Dapatkanlah pandangan dan nasihat dari yang pakar dan orang di sekeliling anda. Moga-moga segala uruasan anda dipermudahkan!

Sumber: PropertyGuru dan iProperty