KelabMama

Cara Banyakkan Susu Badan Selepas Bersalin

Tak dinafikan memang banyak kebaikan menyusu badan untuk anak kecil. Bukan setakat berkhasiat dan melindungi bayi daripada penyakit yang tak diingini, menyusu badan juga memberi banyak kebaikan kepada mama tau! Tapi ada juga mama yang tak dapat nak menyusu badan si manja sepenuhnya kerana kekurangan susu badan. Jangan risau, ada cara banyakkan susu badan yang Mama Siti akan kongsikan dengan mama semua.

Walaupun menyusu badan ni nampak mudah, Mama Siti yakin masih ramai mama muda dan bakal mama di luar sana yang mempunyai 1001 persoalan mengenainya. Antara rintihan yang sering Mama Siti perolehi termasuklah “bagaimana cara banyakkan susu badan?”, “susu badan saya sikit, kesian anak tak cukup makan”, “susu badan cair dan tak pekat, apa tips yang berkesan?”

Sebenarnya ada banyak cara yang boleh diusahakan untuk menghasilkan susu badan yang banyak dan pekat supaya puas bayi menyusu. Yang penting mama jangan putus asa, banyakkan bersabar dan berdoa moga diberi kemudahan untuk menyusu.

Kredit Green Prophet

7 Cara Banyakkan Susu Badan Yang Berkesan Untuk Mama Cuba

Ada banyak tips dan petua yang boleh diamalkan untuk memperbanyakkan susu badan. Antara amalan yang boleh mama lakukan termasuklah:

#1 Posisi Menyusu Yang Betul

Pastikan posisi bayi dan keadaannya menyusu adalah betul dan tepat. Cara bayi melekap dan menyedut susu dengan betul membantu otot yang menghasilkan susu akan bergerakbalas untuk menghasilkan lebih banyak susu. Ini kerana, otak ‘membaca’ adanya permintaan untuk menghasilkan susu bagi memenuhi kehendak badan. 

#2 Beri Susu Apabila Bayi Meminta

Mungkin ada bayi yang kerap ingin menyusu sampai mama berasakan tak perlu dilayan kerenah itu. Yalah, baru setengah jam diberi susu, bayi merengek mahu menyusu lagi. Sebenarnya, antara petua hendak menghasilkan susu yang banyak ialah dengan menyusukan mengikut kehendak bayi. 

#3 Pam Susu Untuk Stimulasikan Penghasilan Susu

Kredit The Muslim Times

Kebiasaan mama cuma akan mengepam apabila dah kembali bekerja semula selepas berpantang. Bagi surirumah pula, mungkin hanya akan mengepam susu ketika hendak pergi keluar berjalan. Sebenarnya, sejak dari awal lagi, mama digalakkan untuk mula mengepam susu. Ada banyak mesin pengepam susu yang bagus dan mampu mengepam dengan baik. Proses mengepam susu menggalakkan penghasilan susu kerana ia juga antara tidakbalas otot payudara yang bergerakbalas dengan urutan yang memperbanyakkan susu.

#4 Amalkan Kehidupan Sihat Antara Cara Banyakkan Susu Badan

Kehidupan yang sihat adalah kehidupan tanpa rokok, alkohol, dan rehat yang mencukupinya. Mama juga haruslah rajin bersenam. Kesihatan fizikal yang terjaga membantu badan untuk berfungsi dengan baik. Secara tak langsung, kesihatan mental dan emosi mama juga terjaga. Kesihatan fizikal, mental dan emosi yang baik membantu menggalakkan penghasilan susu yang banyak. 

#5 Pemakanan Yang Betul

Mama juga kenalah jaga pengambilan makanan seharian mama. Elakkan memakan makanan segera dan jajan yang yang tak sihat. Makanan-makanan sebegitu kebanyakannya ada pewarna tiruan dan perisa tambahan yang tak membantu dalam penghasilan susu badan. Makanlah pada waktu yang ditentukan dan makan makanan seimbang, terutamanya dalam masa berpantang. Makanan seperti bijirin barli dapat membantu meningkatkan penghasilan susu badan. Resepi air barli juga mudah untuk dibuat. Kualiti dan kuantiti susu pasti lebih baik jika mama menjaga pemakanan mama.  

#6 Ambil Suplemen Dan Minum Air Dengan Banyak

Mama yang menyusu badan memerlukan banyak kalsium dan vitamin-vitamin sampingan untuk sentiasa sihat. Mama yang sihat bermakna badan yang mampu menghasilkan susu yang berkhasiat dan bayi yang riang. Mama mungkin ingin mendapatkan nasihat dari ahli farmasi atau pakar kesihatan berkenaan vitamin suplemen yang boleh membantu mama mengekalkan kesihatan dan menghasilkan susu badan yang banyak. Mama juga haruslah memperbanyakkan minum air bagi memastikan mama tak mengalami penyahidrat yang akan melemahkan badan dan mengurangkan penghasilan susu.  

#7 Waktu Penyusuan Yang Panjang dan Seimbang Juga Cara Banyakkan Susu Badan

Kredit Green Prophet

Waktu menyusu seharusnya menjadi waktu untuk mama dan bayi mengeratkan ikatan ibu dan anak. ‘Breastfeeding Bonding Time’ adalah satu-satunya masa yang sepatutnya mama manfaatkan sebaik mungkin. Hargailah masa yang mama ada semasa menyusu. Jangan dihalang atau diberhentikan penyusuan jika bayi masih mahu melekap dan tak puas menyusu. Mama juga harus menyeimbangkan penyusuan bayi. Ada sesetengah bayi yang hanya gemar menyusu pada satu posisi dan pada payudara yang sama sahaja. Mama haruslah memastikan bayi menyusu daripada kedua-dua payudara kiri dan kanan. Ia adalah untuk menjaga kesihatan payudara mama di masa akan datang. 

Jangan Berputus-Asa dan Yakin Pada Diri Sendiri

Sebenarnya, menyusu badan memerlukan kekuatan fizikal dan mental yang baik dan stabil. Ada banyak khasiat penyusuan badan yang mama tak mahu ketinggalan demi kebaikan si comel tercinta. Ia juga baik untuk diri mama juga. 

Jika mama berasa susu badan tak mencukupi, mama janganlah mudah berputus-asa. Yakinlah pada diri mama sendiri yang ia bukanlah tanda untuk tak menyusukan anak. Dapatkan bantuan dan nasihat pakar, jika perlu. 

Semoga membantu!

BACA JUGA BAYI DEMAN? MAMA JANGAN PANIK

Pesan Mama Siti

Mama Siti percaya, mama semua pasti mampu memberi yang terbaik untuk diri mama dan si bayi tercinta. Tetapi, mama juga haruslah ingat untuk tak memudaratkan diri sendiri juga ye.