KelabMama

Cara Azan Bayi Untuk Bayi Lelaki dan Perempuan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan Sekian Alam. Kemungkinan, anda yang membaca artikel ini seorang bakal papa dan mama, bakal atuk dan nenek, dan tak kurang pula bakal uncle dan aunty. Atau pun mungkin yang dah menyambut kehadiran bayi comel sebelum ini dan bakal menyambut sekali lagi. Apa-apapun, tahniah diucapkan.

Walaupun banyak perancangan dan persiapan yang dilakukan untuk menyambut bayi yang baru lahir, mungkin akan ada mama papa yang terlepas pandang perkara-perkara kecil seperti apa yang harus dilakukan lima belas atau tiga puluh minit terawal kehadiran bayi ke muka bumi.  Sebaiknya si papa azankan dulu bayi. Atau masih ada bakal papa yang tak tahu cara azan bayi dengan betul? Tak apa jangan risau, teruskan baca entri ni okay!

Kenapa perlu azankan bayi?

Sebenarnya, mengazankan bayi sebaik sejurus kelahirannya bukanlah sesuatu wajib dan dituntut syarak. Namun, bagi Mazhab Imam Shafii, ia adalah sunnah yang diharuskan. 

Kredit: Majlis Ulama ISMA

Ini berdasarkan sebuah hadith riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi daripada Abi Rafi’ daripada ayahnya RA:

رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَذَّنَ فِي أُذُنِ الْحَسَنِ بْنِ عَلِيٍّ – حِينَ وَلَدَتْهُ فَاطِمَةُ – بِالصَّلاَةِ

Maksudnya: Aku telah melihat Rasulullah SAW telah mengazankan pada telinga al-Hasan bin ‘Ali iaitu setelah Fatimah melahirkannya dengan azan solat.

Riwayat Abu Daud (5105). Dinilai sahih oleh Al al-Baani & Al-Tirmizi (1514) 

Memperdengarkan azan ke telinga bayi baru lahir serupalah dengan menyebut dan memperdengarkan kalimah-kalimah pujian dan zikir mengingati Allah SWT sejurus tibanya seseorang bayi ke muka bumi dan menjadi satu permulaan yang mulia. Ia menjadi tanda, kepercayaan malah pergantungan yang segala-galanya datang dari Tuhan Yang Esa. 

Jadi, bagaimanakah adab dan cara yang betul untuk mengazankan bayi yang baru lahir?

Cara Azan Bayi Lelaki dan Perempuan

Pertamanya, bayi yang baru dilahirkan dan dipotong tali pusat antara ibunya dan bayi haruslah dibersihkan agar dililit dengan kain yang bersih dan lembut. Ini adalah supaya bayi yang baru lahir itu bersih dan sihat dari jangkitan kuman sekeliling. 

Kemudian, waris bolehlah mengambil tanggungjawab untuk mengazankan. Cara azan bayi, bayi diangkat hingga ke paras muka orang yang hendak mengazankan. Posisikan kedudukan ke arah kiblat. Sebaiknya, orang yang hendak mengazankan berada di dalam keadaan suci dan tak berhadas kecil atau besar. Jika dia berada di dalam berwudhu juga sesuatu yang baik. 

Kredit: Modern Houswife

Selepas itu, bacakan azan di telinga kanan bayi. Bacaan tak harus terlalu kuat, apatah lagi seperti melaungkan azan seolah ingin mengajak orang bersolat. Telinga bayi terlalu sensitif di peringkat awal kelahiran. Cukup sekadar bacaan perlahan di telinganya sudah melepaskan syarat berazan kepada bayi

Setelah mengazankan bayi di telinga kanan, alihkan bayi dan bacalah iqamat di sebelah kanan pula. Kemudian, letakkan bayi semula di pembaringannya, atau pun kepangkuan ibu yang baru melahirkan itu. 

Persoalan tentang cara azankan bayi

Fatimah tak berkesempatan untuk ditemani suami semasa detik melahirkan anak. Ya, suami tak berkesempatan untuk hadir ketika Fatimah hendak melahirkan ketiga-tiga anaknya dek kekangan jarak dan kerja. Jadi, ada banyak persoalan yang timbul bab menyambut bayi dan mengazankan. Bolehkah Fatimah yang mengazankan? Bolehkah tunggu sejam dua untuk mengazankan dan banyak lagi. 

Alhamdulillah, melalui pengalaman, banyak persoalan yang terjawab. Berikut Mama Siti kongsikan dilema dan persoalan yang mungkin timbul bab mengazankan bayi.

Kredit: Tokopedia
  1. Adakah hanya bapa bayi yang boleh mengazankan bayi?

Tak semestinya. Tentulah bapa bayi yang diutamakan untuk menggalas tanggungjawab mengazankan bayi. Tetapi, jika ada kekangan tertentu, mana-mana waris pun boleh mengazankan. Malah, jika tiada waris lelaki yang boleh mengazankan, kaum wanita juga boleh mengazankan. 

  1. Perlukah berwudhu sebelum mengazankan bayi?

Ianya bukanlah sesuatu yang wajib seperti kita hendak menunaikan solat. Tetapi, afdhalnya ialah waris yang hendak mengazankan itu suci dari hadas dan mempunyai wudhu. 

  1. Suami saya berada jauh kerana kerja. Perlukah saya menunggu untuk bayi diazankan atau boleh menunggu je?

Sebenarnya, tiada waktu khusus yang ditetapkan untuk bayi diazankan. Mengazankan ialah amalan yang bagus dan digalakkan kerana kita mendendangkan ayat-ayat indah, kalimah memuji Tuhan sejurus lahirnya bayi ke dunia. Tetapi, tak menjadi kesalahan jika bayi lambat diazankan.  

  1. Perlukah azankan bayi perempuan?

Budaya orang Melayu terbiasa dengan mengazankan bayi lelaki di telinga kanan, dan cukup sekadar mengiqomahkan bayi perempuan di telinga kiri. Sekali lagi, tiada panduan khusus untuk mengazankan bayi. Tak menjadi kesalahan untuk mengazankan bayi kemudian membaca iqomah, samada untuk bayi lelaki mahupun bayi perempuan.

Semoga bermanfaat!

BACA JUGA ZIARAH BAYI BARU LAHIR – INGAT 5 PERKARA INI!

Pesan Mama Siti

Kedatangan bayi pastinya satu pelengkap kehidupan yang dinantikan semua orang, khususnya untuk si ibu ayah. Mama Siti doakan agar mama papa yang bakal menyambut kelahiran insan yang dinanti-nanti itu dapat menjalankan amanah sebaiknya.