KelabMama

Nak “Camping” Dengan Anak-anak? Ikuti Tips Ini Untuk Keselamatan Seisi Keluarga

Buat keluarga yang sukakan aktiviti outdoor ataupun mahu mula kenalkan anak-anak dengan alam semula jadi, boleh lah Mama rancang untuk camping dengan anak-anak, cuti sekolah ini.

Tapi, ada beberapa perkara yang Mama dan Papa harus take note sebelum camping dengan anak-anak. Jom kita tengok apa yang Mama dan Papa perlu sediakan sebelum berkhemah dengan yang tersayang!

1. Pilih Lokasi Yang Sesuai Apabila Camping Dengan Anak-anak

Lokasi memainkan peranan tau, Mama! Lagi-lagi bagi keluar yang nak pergi camping dengan anak-anak, tak kisah anak yang sudah besar mahupun masih kecil.

Tapak perkhemahan yang baik mestilah cukup besar untuk keluarga Mama. Jangan pilih yang terlalu sempit sebab Mama akan perlukan ruang memasak, untuk duduk di luar dan semestinya untuk anak-anak bermain.

Tapak ini juga perlu senang dicari waktu gelap supaya tak sesat apabila tiba waktu malam. Kalau cari yang kawasan yang tenang, nanti tidur malam pun nyaman! Oleh itu, cari tempat yang sesuai ya Mama.

2. Keselamatan Mesti No.1

Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Apabila Papa dan Mama merancang untuk pergi camping dengan anak-anak, sediakan peti atau kit pertolongan cemas.

Banyak kawasan perkhemahan yang berada di lokasi terpencil, jadi bantuan perubatan mungkin agak jauh.

Ianya lebih baik untuk pergi bersama orang yang ada pengalaman ataupun guide. Tapi kalau Mama lebih suka pergi sendiri, sangat penting untuk sediakan diri dengan beberapa ilmu pertolongan cemas. Yang basic pun dah cukup.

Adalah wajar juga untuk Mama bawa peralatan mengikut cuaca. Jika terlalu panas, sediakan topi dan juga cermin mata hitam. Jika sejuk di malam hari, bawa stoking tebal dan seluar panjang yang sesuai.

3. Berhati-hati Dengan Hidupan Liar

Ni memang tidak boleh dielakkan semasa berkhemah. Nyamuk, kutu dan serangga lain boleh gigit dan menyebabkan naik gatal-gatal tapi ia jarang membawa penyakit yang serius.

Wajarlah untuk Mama menggunakan penghalau serangga, memakai baju lengan panjang dan seluar panjang untuk mengelakkan daripada terkena gigitan serangga.

Pastikan Mama menggunakan tirai jaring yang disedikan bersama khemah untuk mengelakkan daripada dimasuki serangga. Kalau boleh, jangan biarkan ia terbuka, terutamanya apabila hampir tiba waktu maghrib.

Mama juga perlu berjaga-jaga dengan hidupan liar seperti ular. Ingat Mama! Walaupun ia ular kecil, ia juga boleh jadi berbahaya.

Petua untuk mengelakkan ular termasuk berpegang pada denai, membuat sedikit bising apabila anda berjalan dan memakai seluar panjang dan menggunakan kasut tertutup.

Makanan dan sampah juga lebih baik disimpan dalam khemah atau kereta untuk menghalang binatang daripada datang ‘menjamu selera’.

4. Rancang Pemanduan Pergi & Balik

Elakkan daripada memandu waktu gelap atau bermula matahari terbenam hingga matahari terbit apabila ingin masuk atau keluar hutan. Ini kerana, waktu tersebut merupakan masa hidupan liar paling aktif.

Selain itu, memandulah dengan berhati-hati kerana keadaan jalan mungkin tidak berapa elok atau takut tersesat. Mama juga boleh sediakan beberapa alat permainan untuk anak-anak supaya mereka terhibur semasa berada di dalam kereta dan sepanjang perkhemahan.

Kalau Papa dan Mama tiba-tiba hendak berhenti di pertengahan jalan untuk mengambil gambar, hentikan kereta di tempat yang selamat untuk bergambar dan peka dengan pengguna jalan raya yang lain.

Mungkin banyak rancangan yang Mama telah buat untuk cuti sekolah ini. Apa-apa pun, jaga diri dan keluarga baik-baik! Pastikan jangan tinggal sampah di tempat perkhemahan dan tinggalkan tapak perkhemahan dalam keadaan yang bersih.


Masih mencari tempat menarik yang mana boleh Mama kunjungi cuti sekolah ini? Boleh tengok senarai di SINI!