KelabMama

Anak Anda Mungkin Pembuli Atau Mangsa Buli Jika Ada Perangai Begini!

Gejala buli bukan satu isu baharu di negara ini. Perkara ini sudah lama berlaku, malah kes-kes buli yang melibatkan pelajar sekolah bukanlah satu kes terpencil kerana mendapat perhatian seluruh masyarakat ini. Buli merupakan satu masalah sosial yang boleh berlaku menerusi empat bentuk atau cara, iaitu secara fizikal, verbal atau lisan, psikologi atau mental dan paling terbaharu dalam bentuk siber.

Buli secara fizikal ini termasuk memukul, memeras ugut, menampar, menendang, menarik rambut atau mencubit, manakala buli secara verbal atau lisan lebih kepada cemuhan, ejek-mengejek, mengusik dan menghina. Buli secara psikologi dan mental pula, termasuk menyisihkan dan memulaukan menerusi geng atau klik terbabit. Sekarang terdapat buli dalam bentuk baharu, iaitu buli siber apabila si pembuli meletakkan sesuatu ke dalam laman sosial dan akhirnya menjadi viral sesama rakan-rakan sehingga mangsa menjadi malu atau rasa tertekan dengan keadaan berkenaan.

MANGSA BULI SEMUA PERINGKAT

Sebenarnya buli bukan sahaja melibatkan kanak-kanak sekolah. Dalam kalangan kanak-kanak kecil, orang dewasa, rakan-rakan pejabat atau sesama jiran, buli juga berleluasa berlaku. Cuma sama ada disedari atau sebaliknya dan cara bagaimana ia berlaku. Ini bermakna buli boleh terjadi di mana-mana peringkat kehidupan pun.

Seseorang menjadi pembuli kerana merasakan mempunyai sesuatu yang lebih daripada orang yang menjadi mangsa. Mungkin dia merasakan dirinya mempunyai kuasa, saiz badan, umur, status atau kedudukan yang lebih, menyebabkan dia dapat memanipulasi dan mendominasi hidup berdasarkan kelebihan daripada pemikiran serta tingkah laku mangsa. Rata-rata golongan pelajar yang suka membuli ialah pelajar lelaki dan sekiranya membuli mereka akan melakukan dengan cara fizikal berbentuk kekerasan, manakala golongan pelajar perempuan pula banyak menggunakan psikologi atau mental dan verbal. Namun sekarang ini pelajar perempuan turut menggunakan unsur fizikal dengan melakukan keganasan ketika membuli.

SEBAB MEMBULI

Sebenarnya pembuli tidak akan membuli mereka yang agresif dan berani. Pembuli hanya mencari mangsa yang lemah pada pandangan mereka dari sudut fizikal dan mangsa boleh dikawal emosi dan tingkah laku. Sebagai pembuli mereka sebenarnya bukanlah individu yang berani sangat melainkan dia juga mempunyai sokongan daripada rakan-rakan yang turut membuli.

MANGSA BULI

Dalam keadaan begini, ibu bapa harus sentiasa memantau perkembangan dan prihatin dengan perubahan sikap anak-anak mereka. Bagi mereka yang sering menjadi mangsa buli, perlu mempunyai kemahiran bersosial dan berani melawan. Bukan bermaksud bergaduh menggunakan fizikal, tetapi berani untuk melakukan sesuatu yang lebih tegas. Tegas untuk berkata ‘tidak’ kepada si pembuli. Mereka juga perlu ada kesedaran untuk melaporkan atau menceritakan perkara yang berlaku kepada mereka selama ini.