KelabMama

Bila Rumah Tangga Tidak Lagi Rasa “Safe”: Kes Suami Pukul Isteri Hingga Keguguran

kes pukul isteri (ghurrah)

Kes yang sedang tular ini memang buat ramai tersentak. Seorang wanita dilaporkan mengalami kecederaan serius selepas dipercayai dipukul oleh suaminya sendiri sehingga menyebabkan keguguran.

Lebih menyedihkan, lelaki tersebut juga dikatakan mempunyai sejarah pernah melakukan perkara yang sama terhadap bekas isterinya sebelum ini.

Bila baca kisah macam ni, ia bukan lagi sekadar “masalah rumah tangga biasa”. Ia dah jadi isu yang melibatkan keselamatan, trauma, dan nyawa. Rumah yang sepatutnya jadi tempat paling tenang untuk balik, tiba-tiba bertukar jadi tempat yang penuh ketakutan.

Keguguran Bukan Perkara Kecil, Ia Tentang Nyawa

Dalam Islam, setiap nyawa itu sangat berharga termasuklah nyawa kecil yang masih berada dalam kandungan. Jadi bila keguguran berlaku akibat kecederaan atau perbuatan orang lain, ia bukan sesuatu yang boleh dianggap “biasa” atau berlalu begitu sahaja.

Sebenarnya, kehilangan itu bukan sekadar sakit fizikal untuk Mama, tapi kehilangan yang sangat besar dari sudut emosi. Bayangkan, seorang Mama yang sedang membawa harapan, tiba-tiba terpaksa melalui detik kehilangan yang begitu menyakitkan dan lebih perit bila ia berpunca daripada orang yang sepatutnya melindungi.

Sebab itulah dalam Islam ada konsep ghurrah, iaitu pampasan yang wajib dibayar sebagai tanda tanggungjawab atas kehilangan janin tersebut. Ia bukan sekadar soal bayaran, tetapi lebih kepada pengiktirafan bahawa satu nyawa telah hilang, dan ada amanah yang telah diabaikan.

Dalam masa yang sama, ia mengingatkan kita bahawa Islam sangat menjaga nilai kehidupan bukan hanya selepas lahir, tetapi sejak dari dalam rahim lagi. Setiap nyawa itu ada nilai, ada hak, dan tidak sepatutnya diperlakukan dengan sewenang-wenangnya.

Bila Dah Tak Selamat, Isteri Ada Hak untuk Keluar!

Realitinya, Mama mungkin berfikir mereka perlu “bertahan je” walau apa pun jadi dalam rumah tangga. Takut, malu, atau fikir ini semua ujian yang perlu dipikul seorang diri.

Tapi hakikatnya, Islam tak pernah ajar untuk terus bertahan dalam keadaan yang membahayakan diri dan sangat menjaga keselamatan serta maruah isteri.

Sebab itu wujudnya fasakh, iaitu hak isteri untuk memohon pembubaran perkahwinan di Mahkamah Syariah jika berlaku penderaan, keganasan atau mudarat yang berterusan.

Maksudnya, bila perkahwinan dah tak lagi beri rasa aman, Mama sebenarnya ada pilihan untuk keluar secara sah dan dilindungi.

Dalam masa yang sama, jangan lupa bahawa undang-undang juga membolehkan mangsa mendapatkan perlindungan. Isteri boleh buat laporan polis, dapatkan perintah perlindungan, dan cari bantuan daripada pihak berkaitan.

Tak perlu hadap semua ini seorang diri, sebab keselamatan diri itu sentiasa lebih utama.

Bila Perkara Sama Mula Berulang, Bertindaklah!

Apa yang buat ramai lagi risau dalam kes ini, bila ada dakwaan bahawa lelaki tersebut pernah melakukan keganasan terhadap bekas pasangan sebelum ini. Bila kita dengar benda yang sama berlaku lagi, susah nak anggap ia sebagai “sekali je terlepas emosi”.

Bila sesuatu perbuatan itu berulang, ia sebenarnya dah jadi satu corak. Dan corak macam ni bukan benda kecil, sebab ia menunjukkan risiko yang boleh berterusan kalau tak dihentikan. Hari ini jadi pada seseorang, esok mungkin pada orang lain pula.

Sebab itu penting untuk kita ambil serius perkara seperti ini. Ia bukan sekadar kisah peribadi antara suami isteri, tapi melibatkan keselamatan dan masa depan seseorang. Jangan tunggu sampai jadi lebih teruk baru nak bertindak.

Kes ini menjadi pengajaran besar kepada kita semua, keganasan rumah tangga tidak sepatutnya dinormalisasikan dalam apa jua bentuk dan ia juga bukan sekadar “gaduh manja” dalam rumah tangga.

Kalau Mama atau sesiapa yang Mama kenal sedang melalui situasi yang sama, jangan diamkan. Cari bantuan, bercakap dengan orang yang dipercayai, dan gunakan saluran yang ada.


Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta petua yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak Kelab Mama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.


Dapatkan lebih banyak beritaviral dan acara yang sedang trending di SINI.