KelabMama

BILA KALI TERAKHIR ANAK ANDA DIBERI UBAT CACING?

Gelang, cangkuk, kerawit, benang dan pita antara beberapa jenis cacing yang boleh hidup di dalam badan manusia. Cacing-cacing berkenaan mampu hidup di dalam usus, darah serta organ manusia sehingga bertahun-tahun dengan mendapatkan makanan melalui zat-zat yang terdapat di dalam usus ketika proses penghadaman.

                Lazimnya, jangkitan cacing lebih mudah dialami oleh kanak-kanak terutama jika ibu bapa tidak mengambil cakna tentang kebersihan anak-anak. Jangkitan cacing atau parasit itu boleh menjangkiti kanak-kanak sama ada melalui pemakanan atau persekitaran yang kotor. Jangkitan melalui pemakanan berlaku apabila sayur atau buah-buahan yang tidak dibasuh dengan betul menyebabkan telur cacing tidak tertanggal, selain amalan tidak membasuh tangan sebelum makan bagi kanak-kanak manakala bagi bayi pula sering memasukkan barangan ke dalam mulut.

 

CACING PENYEBAB PENYAKIT

                Jangkitan cacing juga boleh diperoleh melalui persekitaran jika kulit kanak-kanak berkenaan terdedah kepada telur cacing secara terus, misalnya tidak memakai selipar atau bermain pasir tanpa pengawasan. Kecacingan pada kanak-kanak mengundang pelbagai masalah, antaranya hilang selera makan, keletihan, kembung, alahan, demam berpanjangan, serta masalah pernafasan. Antara tanda-tanda kanak-kanak kecacingan seperti demam, sakit kepala, kurang selera makan serta terdapat cacing pada najis mereka.

                Jika jangkitan itu tidak dirawat segera dibimbangkan membawa kepada masalah lain seperti anemia, kerosakan usus serta otak. Pemberian ubat cacing perlu diberi kepada kanak-kanak sama ada mereka sihat atau tidak bagi mencegah kecacingan di peringkat awal. Ibu bapa harus memastikan pengambilan ubat ini enam bulan sekali agar cacing tidak mengganggu proses tumbesaran kanak-kanak. Ini kerana, telur cacing dapat hidup lama di dalam badan jika tidak dibunuh dan akan menyerap nutrien yang diperoleh oleh kanak-kanak sehingga menyebabkan perkembangan fizikal mereka terganggu.

                Menurut portal rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan, cacing jarum atau cacing benang ialah sejenis cacing yang sangat halus berukuran kira-kira setengah inci panjang dan tinggal di dalam usus. Cacing jarum betina keluar dari dubur pada waktu malam dan bertelur berhampiran dengan kulit dubur. Jangkitan cacing yang disebabkan oleh cacing jarum dikenali sebagai ‘enterobiasis’, satu penyakit yang biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak.

 

CARA JANGKITAN

                Jangkitan berlaku apabila kanak-kanak menelan telur cacing jarum. Seorang kanak-kanak mendapat telur cacing jarum melalui sentuhan dengan kanak-kanak yang dijangkiti atau melalui pakaian tidur, cadar atau persekitaran kediaman kanak-kanak lain yang dijangkiti. Apabila dijangkiti, kanak-kanak menggaru di kawasan dubur kerana gatal. Telur cacing jarum melekat di celah kuku. Apabila kanak-kanak makan tanpa mencuci tangan dengan sempurna, telur terbabit akan masuk melalui mulut dan menjadi cacing dewasa dan tinggal di dalam usus.

                Kebanyakan kanak-kanak tidak mendapat sebarang tanda dan gejala, namun ada juga kanak-kanak yang mengalami kegatalan di sekeliling dubur dan faraj. Komplikasi yang biasa berlaku adalah tempat yang digaru itu mungkin terdedah kepada jangkitan bakteria. Ibu bapa boleh mengetahui bahawa anak mereka dijangkiti cacing jarum apabila terdapat cacing di dalam najis anak. Telur cacing jarum dapat dilihat melalui pemeriksaan di bawah mikroskop dengan cara melekatkan pita pelekat pada kawasan dubur anak dan menanggalkannya semula. Telur cacing jarum melekat pada pita terbabit.

 

PEMBERIAN UBAT CACING

                Ibu bapa seharusnya tidak terlepas pandang tentang pemberian ubat cacing kepada anak-anak. Sewajarnya, pemberian ubat cacing perlu dilakukan enam bulan sekali atau setahun sekali dengan dos yang telah ditetapkan agar jangkitan cacing dapat dihapuskan. Kanak-kanak yang diberi ubat cacing mempunyai perkembangan fizikal yang sempurna dan teratur berbanding sebaliknya. Bagi kanak-kanak Orang Asli biasanya kita sarankan mereka diberi ubat cacing seusia bayi sembilan bulan ke atas kerana mereka lebih terdedah dengan telur cacing, manakala bagi kanak-kanak biasa kita cadang ibu bapa beri ubat cacing pada umur setahun setengah.

 Ubat cacing boleh diberi enam bulan sekali dengan sukatan dos :

                Selain itu, ibu bapa diingatkan agar menjaga dan meningkatkan tahap kebersihan rumah dan persekitaran selain memastikan sayur-sayuran dan buah-buahan dibasuh dengan bersih. Bahan seperti daging dan ikan juga perlu dimasak dengan suhu sesuai selain mengamalkan amalan membasuh tangan sebelum makan dan selepas keluar dari tandas serta cuci tangan dengan sabun selepas membuang air besar. Jika perlu, ibu bapa harus berjumpa dengan doktor bagi memastikan anak-anak tidak dijangkiti kecacingan kronik yang memudaratkan.

                Perlu diingatkan, ubat cacing bukan sahaja perlu diberi kepada kanak-kanak sahaja tetapi ibu bapa juga perlu mengambilnya, malah jika ada membela haiwan peliharaan seperti kucing, haiwan tersebut perlu sentiasa dalam keadaan bersih terutama di bahagian tapak kaki dan badan serta turut diberi ubat cacing.

 

 SIMPTOM-SIMPTOM KECACINGAN

 

 

KAEDAH RAWATAN

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Sumber: Utusan & Harian Metro