KelabMama

BIARLAH SI KECIL BELAJAR BERJALAN SENDIRI

Tempoh kanak-kanak mampu berjalan sering menjadi perkara yang penting kepada ibu bapa memandangkan pada persepsi mereka, lagi cepat kanak-kanak boleh berjalan bermakna kanak-kanak itu cerdik. Maka tidak hairanlah, ada segelintir ibu bapa yang sanggup berbuat apa sahaja agar anak-anak mereka cepat berjalan. Antaranya, menanam kaki anak di pasir pantai dan tidak kurang juga membawa anak berjalan di atas rumput pada waktu pagi sambil memukul perlahan bahagian kaki anak-anak dengan pohon hutan kerana percaya embun yang segar pada tumbuhan dapat merangsang otot mereka.

 

SEMAK TAHAP PERKEMBANGAN ANAK

Begitulah pentingnya perkembangan dan kemampuan kanak-kanak berjalan kepada ibu bapa. Pada asasnya, perkembangan fizikal kanak-kanak yang sihat dapat dilihat apabila mereka melalui proses pergerakan motor kasar seperti meniarap, mengesot, bertatih, berjalan, berlari dan melompat serta perkembangan motor halus seperti menggenggam jarinya, memegang objek, melukis dan menulis.

Pastinya, melihat anak-anak dapat berjalan merupakan impian yang dinanti-nantikan ibu bapa, malah merupakan satu langkah yang besar atau permulaan untuk mereka pula berdikari dan meninggalkan gelaran sebagai bayi. Justeru, kebolehan berjalan sering dianggap satu perkara yang penting kepada ibu bapa, malah ada ibu bapa yang menjadikan kemampuan berjalan sebagai alat pengukur kepintaran kanak-kanak berkenaan.

Kemampuan kanak-kanak berjalan dengan cepat dan pada waktu sepatutnya adalah salah satu indikasi yang menunjukkan yang perkembangan fungsi otot-otot kanak-kanak tersebut adalah pada tahap normal. Oleh itu, kelewatan kanak-kanak berjalan perlu diambil serius oleh ibu bapa agar perkembangan mereka tidak lewat dan membantutkan keseluruhan perkembangan otot-otot lain yang dibimbangkan membawa kepada masalah yang lebih buruk.

 

UMUR MULA BERJALAN

 

BAHAYA PENGGUNA WALKER

Lazimnya, bagi membantu kanak-kanak memudahkan mereka berjalan, ibu bapa lebih gemar memperkenalkan kanak-kanak dengan penggunaan walker. Hakikatnya, walaupun walker dapat membantu mereka berjalan dengan cepat tetapi tidak tidak dapat membantu otot-otot kanak-kanak menjadi kuat. Malah, di Amerika Syarikat penggunaan walker diharamkan kerana membahayakan kanak-kanak. Risiko kemalangan adalah tinggi terutamanya mendapat kecederaan bahagian otak jika kanak-kanak terjatuh ketika menggunakannya.

 

SIKAP IBU BAPA PUNCA ANAK LAMBAT BERJALAN

Sikap ibu bapa yang gemar mendukung atau tidak memberi ruang anak berdikari juga menjadi antara sebab kanak-kanak lewat berjalan. Kelewatan kanak-kanak berjalan tidak boleh diambil mudah. Jika ibu bapa mendapati anak-anak mereka masih tidak dapat berjalan atau tidak berjalan dengan betul selepas 18 bulan, mereka perlu merujuk anak kepada doktor agar boleh diperiksa apa masalah kanak-kanak berkenaan. Ini kerana, punca kelewatan berjalan berkaitan dengan masalah otot, tulang dan saraf dan otak. Ini juga merupakan tanda kepada masalah seperti sindrom Down, serebral palsy, distrofi otot, congenital hip dysplasia serta penyakit-penyakit lain.

Kelewatan berjalan juga boleh merupakan sebahagian dari kelewatan perkembangan global (GDD) di mana kanak-kanak itu mengalami kelewatan perkembangan dalam dua atau lebih bidang perkembangan seperti kelewatan perkembangan motor halus, pendengaran, pertuturan dan kemahiran sosial. Ini disebabkan oleh masalah perkembangan otak, masalah kecelaruan genetik dan masalah inborn error of metabolism.

 

 

 

 

 

 

 

Sumber: Dr. Juriza Ismail & Utusan