KelabMama

BERUSIA & BERBADAN BESAR AGAK SUKAR HAMIL

Berusaha untuk hamil mungkin kedengaran mudah bagi sesetengah pasangan suami isteri, namun bagi segelintir yang lain, proses berkenaan merupakan satu tempoh yang sukar dilalui apatah lagi apabila usia semakin lanjut, selain mempunyai masalah berat badan, menghidapi beberapa penyakit dan sebagainya. Pelbagai faktor yang menyebabkan keadaan ini berlaku, malah ketidakmampuan pasangan suami isteri memperoleh cahaya mata tidak hanya disebabkan ketidaksuburan golongan wanita kerana 50 peratus kegagalan itu juga berpunca daripada lelaki.

 

                Pun begitu, tiga faktor utama rakyat Malaysia gagal hamil adalah disebabkan oleh usia lanjut, masalah berat badan serta gaya hidup kurang sihat, malah dianggarkan satu daripada enam rakyat negara ini mengalami masalah kesuburan. Kelewatan atau sering menangguh pemeriksaan kesuburan juga merupakan antara faktor yang menyebabkan ramai wanita yang lambat memperoleh anak. Alangkah rugi bagi pasangan suami isteri yang sepatutnya boleh memiliki anak pada kadar segera, tetapi tidak berjaya hanya kerana alasan menangguhkan pemeriksaan kesuburan.

 

                Perkara paling mustahak jika ingin mendapatkan anak adalah pasangan suami isteri itu perlu menjalani pemeriksaan kesuburan selepas enam bulan berkahwin sekiranya wanita tidak hamil lagi pada tempoh sebelum itu. Tahap kesuburan seseorang individu bergantung pada usia memandangkan penghasilan hormon semakin berkurangan seiring dengan peningkatan usia. Malah, jika hamil kandungan tersebut juga dikategorikan sebagai kandungan berisiko.

 

                Kesuburan bukan sahaja berkait rapat dengan faktor usia, kerana berat badan juga faktor penting dalam menentukan kesuburan sama ada wanita mahu pun lelaki. Perkara pertama untuk membolehkan wanita hamil ialah mereka perlu memiliki Indeks Jisim Badan (BMI) yang ideal, iaitu 18 hingga 24 kerana istilah gemuk atau kurus sukar ditafsirkan hanya jika dilihat pada mata kasar. Jika wanita itu disahkan memiliki berat badan berlebihan, mereka perlu menurunkan berat badan dalam tempoh tiga bulan selepas berjumpa dengan doktor dengan menjalani pemeriksaan dan mengikut rutin-rutin penjagaan kesihatan diri. Tiga bulan adalah tempoh yang ideal untuk melihat perubahan berat badan mereka kerana kita tidak boleh menunggu terlalu lama hingga tempoh bertahun-tahun. Perlu diingatkan, tahap kesuburan akan semakin berkurangan jika lebih lama kita menunggu atas faktor usia lanjut. Apabila seseorang wanita meningkat usia, jumlah telur dan kualitinya menurun yang menyebabkan kurangnya peluang untuk berjaya.

 

                Tidak hanya gemuk sahaja, wanita terlalu kurus juga berdepan isu yang sama kerana kekurangan lemak di dalam badan juga menyebabkan penghasilan hormon yang kurang sekaligus menjejaskan faktor kesuburan. Kebanyakan wanita yang terlalu kurus lazimnya menghidap anoreksia dan mengalami masalah psikologi dan perlu dirawat jika ingin hamil kerana kekurangan berat badan keterlaluan membahayakan nyawa mereka.

 

                Tidak dinafikan ada di kalangan wanita yang berjaya hamil walaupun telah lanjut usia atau mempunyai berat badan yang berlebihan, namun tidak semua mempunyai tuah dan nasib yang baik seperti itu. Sekali pun mampu hamil dalam keadaan itu, hakikatnya mereka merupakan wanita-wanita yang hamil dalam keadaan berisiko seperti keguguran, gangguan tumbesaran bayi, darah tinggi kencing manis, selain mampu menjejaskan kandungan atas faktor-faktor lain. Sekiranya wanita obesiti atau usia lanjut mengandung, mereka perlu mendapatkan pemeriksaan dengan segara dengan pakar sakit puan agar kandungan dapat dipantau. Adalah sangat berbahaya jika ibu berkenaan tidak mendapat rawatan dan nasihat yang betul daripada pakar sakit puan dan pakar pemakanan kerana jika hamil, wanita obesiti tidak boleh menurunkan berat badan kerana bahaya pada kandungan.