KelabMama

Bersih Sangat Pun Tak Bagus Mama!

Bersih Sangat Pun Tak Bagus Mama!

Kan mama dah kata tak boleh main kat luar, TAK BERSIH! KOTOR! Kalau anak mama ni sakit macam mana?

Uish, garang betul mama ni. Habis kalau anak mama tak boleh main kat luar, dia nak buat apa saja kat dalam rumah. Kalau hari-hari mengadap mainan yang sama pun boring juga mama ooi…

Anak kecil yang tak terdedah kepada aktiviti luar akan menjadi lebih lemah dari segi emosi dan fizikal.

Hujan-hujan ni kalau main lumpur, lompat-lompat atas lecak tu, fuuhh… Best tu! Kalau mama kata kotor, Mama Siti pula kata, “Eh, okay je…”. Ha, kenapa pula macam tu? Sebab anak-anak yang bersih sangat ni mudah dijangkiti penyakit.

Ada ke pula macam tu Mama Siti ni… Tak percaya? Jom baca selanjutnya.

5 Sebab Pentingnya Dedahkan Anak Kepada ‘Kuman’ & ‘Bakteria’

1. Menstimulasikan Sistem Imun

Mama tahu tak, persekitaran yang terlalu bersih dan steril boleh membuatkan anak-anak kita lebih terdedah kepada penyakit.

Aik? Macam tu pula. Bersih la bagus! Ha, termenung sekejap mama kan? Memang pelik tapi inilah fakta yang dirungkaikan oleh beberapa kajian sains.

Menurut Prof Gilbert, penulis buku ‘Dirt is Good: The Advantage of Germs for Your Child’s Developing Immune System’, tak semua kuman tu jahat.

Konsep kita pula, kuman ni memang tak bagus. Boleh mendatangkan penyakit. Hakikatnya, sebahagian besar kuman ini sebenarnya akan menstimulasikan sistem imun dan menjadikan kanak-kanak lebih kuat.

2. Mengurangkan Risiko Alergi

Siapa kat sini yang memang alergik dengan anak main lumpur, pegang kucing liar? Katanya tak bersih, nanti gatal-gatal dan sebagainya.

Ironinya, tindakan ni lah membuatkan sistem imun kanak-kanak menjadi lemah, sensitif dan mudah dapat alergi.

Pendedahan sejak awal haiwan peliharaan kepada kanak-kanak akan membantu meningkatkan daya ketahanan terhadap alergi dan mengurangkan risiko asma.

Menurut sebuah artikel dalam Hello Doctor, para pengkaji percaya bahawa kebanyakan alergi ini boleh dikurangkan dengan membiarkan anak-anak bermain dan didedahkan dengan ‘kotoran’.

Sebuah kajian pada tahun 2011 mendapati penggunaan triclosan (iaitu bahan aktif dalam sabun antibakteria) mempunyai kesan negatif terhadap sistem imun. Mereka yang selalu terdedah kepada triclosan ini didapati menunjukkan kadar alergi dan demam yang lebih kerap.

Jadi, mama tak payah nak alergik sangat. Bagi saja mereka bermain di luar!

3. Mencetus Tindak Balas Pada Sistem Imun

Menurut pakar, pendedahan kepada parasit, bakteria dan kuman dapat membantu membina ketahanan sistem imun kanak-kanak.

Sebab sistem imun kanak-kanak perlu belajar untuk merespon terhadap mikrob apabila terdedah kepada persekitaran tersebut.

4. Mengurangkan Risiko Asthma

Mengikut kajian yang pernah diterbitkan menerusi TIME Magazine, saintis percaya bahawa pendedahan kepada mikrob akan mematangkan sistem imun mereka lebih awal berbanding anak-anak normal, sekaligus mengurangkan risiko asthma dan alahan (alergi).

Aktiviti fizikal adalah baik untuk mengurangkan risiko asma terhadap kanak-kanak.

Kurangkan penggunaan penyembur antibakteria di rumah secara kerap sebab kajian menunjukkan yang ia akan meningkatkan kebarangkalian anak mendapat asma.

Tak percaya? Kalau mama nak tahu, kanak-kanak yang tinggal di dalam rumah yang mempunyai haiwan peliharaan adalah yang paling kurang mendapatkan rawatan respiratori di klinik.

5. Banyak Yang Dapat Anak Belajar Di Luar

Kalau dulu boleh lah nak mandi sungai, main tarik upih, masak-masak pakai pasir. Tak ada siapa yang halang. Tapi zaman sekarang ni dah makin ‘rare’ sangat nak tengok anak-anak main kat luar. Faktor rumah di kawasan bandar itu satu, tapi faktor yang paling utama ialah MAK BAPAK TAK KASI!

Aktiviti luar ni bukan saja dapat tingkatkan kecergasan fizikal anak-anak, tapi ia juga penting untuk kecerdasan mental mereka.

Layankan sajalah sifat ingin tahu mereka. Mereka pun dapat belajar menghayati serta menghargai keunikan alam semulajadi kalau main kat luar kan? Tak adalah terperuk di rumah saja.

Rugi sangat kalau anak-anak kita tak didedahkan dengan alam semulajadi ciptaan Allah ni. Barang ‘free’ tapi orang tak pandang dan sering dipandang rendah nilainya oleh masyarakat zaman sekarang. Masa kecil inilah mama kena ajar dia.

Kebersihan itu Penting, Tapi Janganlah Sampai ‘Paranoid’

Mama Siti kata biarkan anak lepas bebas di luar. Maksudnya, ibu ayah boleh ‘lepas tangan’ saja lah tentang kebersihan anak?

Benarkan anak bermain di luar kerana ia dapat merangsang perkembangan saraf motorik.

Ke situ pula ceritanya. MESTILAH TIDAK. Mama dan papa perlu faham bahawa anak-anak perlu diberi pendedahan kepada alam semulajadi dan persekitaran yang normal.

Kalau anak sentuh tahi kucing dan masukkan tangannya ke dalam mulut, itu mestilah perlu dilarang. Kotor tetap kotor dan ibu bapa perlu tahu membezakannya.

Tak perlu takut atau paranoid kalau anak main kotor sebab semua ini ada kebaikannya buat anak-anak kita. Lepas main nanti, kan boleh basuh baju tu. Anak mama pun boleh mandi.

Jadi, mama dan papa kenalah banyakkan aktiviti luar dengan anak lepas ni. Kalau dia minta nak main kat luar, berikan. Mama pun dah belajar tak semua kuman itu jahat!

Sumber: Sirap Limau

BACA JUGA LUANGKAN MASA BERSAMA KELUARGA DAPAT MENYIHATKAN FIZIKAL DAN MENTAL

Pesan Mama Siti:

Rugi tak bagi anak-anak main kat luar ni. Bagilah mereka peluang untuk explore dunia luar. Mana tahu dia jumpa hobi baru atau bakat yang terpendam dalam diri dia, tak gitu? Kita sebagai ibu bapa jangan takut sangat bab kotoran ni. Bantu anak-anak untuk membesar. Lagipun, kotoran ni boleh cuci tau!