Kerajaan Malaysia melalui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan satu langkah signifikan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan pembinaan fasiliti pendidikan khas khusus untuk kanak-kanak autisme di setiap negeri.
Langkah ini dijangka memberi impak besar kepada Mama Papa yang mempunyai anak autisme, khususnya dari segi akses kepada pendidikan berkualiti tanpa perlu berpindah atau melakukan perjalanan jauh.
Dengan Pusat Pendidikan Khas Autisme, setiap negeri akan mempunyai pusat pendidikan yang direka untuk memenuhi keperluan pembelajaran anak-anak autisme secara holistik.
Kenapa Ini Penting untuk Anak Autisme?
Menurut data terkini, hampir 171,000 kanak-kanak dengan masalah pembelajaran telah dikenal pasti setakat Jun 2025. Ramai daripada mereka berada dalam spektrum autisme dan memerlukan pendekatan pembelajaran berbeza berbanding murid arus perdana.
Bagi anak-anak autisme, persekitaran pembelajaran yang selamat, tenang, dan difahami oleh guru yang terlatih sangat penting. Dengan adanya pusat khas ini, anak akan mendapat:
- Pendekatan pembelajaran yang lebih individual mengikut tahap perkembangan mereka.
- Sokongan intervensi awal untuk bantu kemahiran komunikasi, sosial, dan emosi.
- Persekitaran mesra sensori yang mengurangkan gangguan dan tekanan kepada anak.
Selain membina pusat pendidikan autisme baharu di setiap negeri, kerajaan juga akan:
- Menaik taraf 34 sekolah sedia ada dengan menambah blok Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
- Memastikan setiap sekolah baharu mempunyai fasiliti PPKI lengkap supaya anak-anak tidak perlu berulang jauh untuk ke sekolah khas.
- Menambah tenaga pengajar dan pakar intervensi awal, termasuk guru terlatih dan terapis yang memahami keperluan anak autisme.
Kenapa Berita Ini Penting Sangat?
Mama Siti tahu membesarkan anak istimewa ni memerlukan tenaga, masa, dan sokongan yang luar biasa.
Kadang-kadang kita rasa macam “terseorangan” bila nak cari tempat terapi atau sekolah yang betul-betul faham cara pembelajaran anak. Dengan adanya fasiliti ni:
- Anak-anak akan dapat pendidikan yang sesuai mengikut tahap dan gaya belajar mereka.
- Mama Papa boleh lebih fokus beri sokongan emosi dan fizikal sebab tak perlu lagi pening kepala cari sekolah jauh-jauh.
- Lebih banyak guru dan tenaga pengajar terlatih akan disediakan untuk bantu anak-anak berkembang.
Ia juga memberi isyarat bahawa kerajaan serius dalam memastikan setiap anak-anak tanpa mengira keupayaan mendapat peluang belajar dan berjaya dalam hidup.
Mama Siti nampak ini sebagai satu langkah besar untuk martabatkan anak-anak syurga kita. Pendidikan awal yang sesuai bukan saja bantu mereka belajar, tapi juga tingkatkan keyakinan diri dan peluang masa depan.
Langkah RMK13 ni ibarat sinar baru untuk keluarga yang ada anak istimewa. Lagi awal kita beri intervensi yang betul, lagi cerah masa depan mereka, insyaAllah.
Mama Siti harap projek Pusat Pendidikan Khas Autisme akan cepat dijalankan, sebab ada ramai Mama Papa di luar sana dah lama menunggu kemudahan seperti ni.
Untuk anak-anak kita, setiap peluang belajar adalah satu hadiah yang tak ternilai.
Nak tambah ilmu keibubapaan dan dapatkan tip berguna untuk Mama Papa? Klik di SINI.