KelabMama

Mama Papa Bercerita Tentang Nuzul al-Quran kepada Anak-anak

peristiwa nuzul al-Quran

Sempena dengan Nuzul al-Quran esok hari, apa kata kalau Mama Papa ceritakan kepada anak-anak tentang bagaimana peristiwa ini berlaku – macam mana al-Quran diturunkan, siapa yang menerima al-Quran, dan sebagainya.

Berikut Mama Siti kongsikan apa yang Mama Papa boleh ceritakan pada anak-anak. Dalam masa yang sama, kita boleh refresh minda kita juga!

Bagaimana Peristiwa Nuzul al-Quran Berlaku?

Nuzul al-Quran bermaksud penurunan ayat-ayat suci al-Quran dari langit kepada Nabi Allah yang terakhir iaitu Nabi Muhammad SAW. Peristiwa Nuzul al-Quran ini berlaku pada malam Jumaat 17 Ramadan, di mana ketika itu baginda Nabi Muhammad SAW sedang beribadat seorang diri di Gua Hira’.

Ayat al-Quran ini diturunkan Allah melalui perantaraan Malaikat Jibril. Malaikat Jibril menyampaikan wahyu penurunan ayat al-Quran yang pertama iaitu lima ayat tarawal dari Surah al-Alaq kepada Nabi Muhammad SAW. Malaikat Jibril memerintahkan Nabi Muhammad SAW untuk membaca ayat-ayat tersebut sebanyak tiga kali, namun Nabi Muhammad tidak mampu dan terus pulang ke rumahnya dengan ketakutan.

Kredit Gambar: keranakasihnabi.blogspot.com

Selepas peristiwa itu, ayat al-Quran diturunkan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW ini secara berperingkat-peringkat selama 23 tahun, di dua buah kota iaitu kota Mekah dan Madinah dan kini menjadi sebuah kitab al-Quran yang lengkap.

Peristiwa Nuzul al-Quran ini memberi makna yang terlalu besar kepada umat Islam dan kehidupan Nabi Muhammad SAW khasnya.

Pada peringkat pertama, al-Quran diturunkan secara sekaligus dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah. Manakala, pada peringkat kedua pula, al-Quran diturunkan secara beransur-ansur dari Baitul Izzah kepada Nabi Muhammad SAW.

Peristiwa ini bukan sekadar kisah penurunan al-Quran kepada baginda Rasulullah SAW semata-mata tapi ia membawa satu mesej yang mana al-Quran itu bukan sekadar untuk dibaca, dan dialunkan tetapi sebagai panduan dalam kehidupan setiap yang bergelar manusia.

Kuiz Tentang Nuzul al-Quran kepada Anak-anak

Lepas dah bercerita, Mama Papa bolehlah bermain kuiz pula dengan anak-anak. Bukan sekadar bermain je, ini untuk melihat setakat mana anak-anak ingat tentang peristiwa ini.

1. Bilakah al-Quran diturunkan?

A. 17 Ramadan
B. 15 Ramadan
C. 12 Ramadan

2. Al-Quran diturunkan kepada siapa?

A. Nabi Adam
B. Nasi Isa
C. Nabi Muhammad

3. Berapakah usia Nabi Muhammad ketika al-Quran diturunkan?

A. 40 tahun
B. 41 tahun
C. 45 tahun

4. Berapakah tempoh al-Quran diturunkan?

A. 23 tahun
B. 21 tahun
C. 22 tahun

5. Apakah surah yang pertama diturunkan dalam al-Quran?

A. Surah al-Fatihah
B. Surah al-Alaq
C. Surah al-Ikhlas

6. Berapakah jumlah surah dalam al-Quran?

A. 114 surah
B. 104 surah
C. 144 surah

7. Berapakah jumlah ayat dalam al-Quran?

A. 6236 ayat
B. 6326 ayat

8. Dimanakah al-Quran diturunkan?

A. Gua Hira’
B. Gua Thur

Semarak Minat Membaca al-Quran Bersama Anak-anak

Mengajak anak-anak membaca al-Quran bersama-sama adalah langkah penting dalam membentuk ikatan keagamaan yang kuat dalam keluarga Mama Papa.

Mama Papa boleh luangkan masa selepas solat dengan mengajak mereka sama-sama membaca al-Quran, Mama Papa boleh mulakan dengan membaca surah-surah lazim, nanti lama-lama boleh baca surah panjang pula seperti al-Mulk.

Selain tu, Mama Papa pun boleh buat jadual harian mengaji dengan mereka, walaupun anak-anak sudah dihantar kelas mengaji tetapi tidak salah untuk Mama Papa mengajar dan mendengar bacaan mereka.

Mama Siti ada idea, di mana Mama Papa berikan hadiah sekiranya anak-anak berjaya hafal surah serta maksud terjemahan surah. Anak-anak mesti lagi semangat nak menghafal, lagi pun ini juga boleh dijadikan sebagai motivasi kepada anak-anak untuk terus belajar dan meningkatkan keterampilan membaca mereka.

Jadi bersempena dengan peristiwa Nuzul al-Quran ini, marilah kita sama-sama membaca, mentadabbur dan menghayati makna-makna yang dibawa oleh al-Quran supaya kita dapat mengambil ilmu, iktibar dan teladan daripadanya agar mendapat kesejahteraan di dunia dan di akhirat.

Tambah pula bulan Ramadan ni, bulan yang penuh keberkatan. Jangan lupa ajak anak-anak baca al-Quran sekali tau Mama Papa!


Dapatkan lebih banyak koleksi-koleksi doa dan amal ibadah di SINI.