KelabMama

Belon Hidrogen Punca Letupan, Hati-Hati Belikan Untuk Anak!

Belon Hidrogen Punca Letupan, Hati-Hati Belikan Untuk Anak!

Kalau bawa anak pergi pasar malam, berlari-lari si kecil mengejar peniaga yang menjual belon. Yalah, macam-macam karakter terjual disana. Kita pun beli sajalah tanpa menghiraukan kandungan dalam belon tersebut. Gas apa yang diisi? Belon itu diisi dengan gas helium atau ianya belon hidrogen?

Insiden letupan belon Sabtu lalu, 12 Oktober sangat mengejutkan Mama Siti. Laporan awal polis mendapati belon yang meletup selepas Program Kecergasan Kementerian Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2019 di Dataran Putrajaya tersebut telah mencederakan 16 mangsa!

Menurut Berita Harian, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan, berkata bahawa kandungan dalam belon adalah hidrogen, dan bukannya helium. 

“Ya, (kandungan dalam belon) hidrogen, bukan helium. Hidrogen sangat sensitif dengan alat atau bahan membakar.”

Asisten Komisioner Rosly Hassan

Siasatan awal polis mendapati letupan berlaku ketika pengunjung berebut memotong tali yang mengikat tiga gugusan belon berkenaan, termasuk menggunakan pemetik api.

Belon yang menjadi ‘prop’ untuk program kecergasan sempena Bulan Sukan Negara 2019 di Dataran Putrajaya meletup menyebabkan 16 orang termasuk kanak-kanak melecur.

Apa Yang Mama Perlu Tahu Tentang Belon Apung (Floating Balloon)

1. Sifat Gas Hidrogen

Gas hidrogen boleh terapung seperti gas helium.

Tapi, berbeza dengan gas helium, gas hidrogen sangat reaktif dan mudah terbakar.

Sebab itulah gas helium merupakan pilihan yang paling selamat!

2. Sifat Gas Helium

Gas helium adalah gas nadir dan bersifat lengai. Maksudnya, gas ni tak reaktif, tak berwarna dan tak bertindak balas dengan bahan kimia lain.

Jadi penggunaan gas ni untuk isi belon apung adalah stabil dan selamat kerana sifatnya yang tak mudah terbakar.

3. Kenapa Gas Hidrogen Jadi Pilihan Peniaga?

KOS merupakan faktor utama kenapa gas hidrogen digunakan dalam belon dan bukannya gas helium.

Buat pengetahuan mama, gas helium tak boleh dihasilkan sendiri tetapi, gas hidrogen boleh dihasilkan sendiri melalui kaedah DIY tertentu!

Sebab itulah, harga gas helium lebih mahal daripada hidrogen kerana sumbernya yang terhad.

Bagi pengusaha belon apung yang mementingkan pulangan yang tinggi, pastinya mereka akan memilih gas hidrogen kalau nak dibandingkan dengan gas helium.

Ada sesetengah peniaga yang tidak mementingkan aspek keselamatan dan hanya ingin mengaut keuntungan semata-mata.

4. Bagaimana Cara Untuk Mengenali Belon Hidrogen

Malangnya, belon yang diisi dengan gas hidrogen tak dapat dibezakan secara fizikalnya berbanding gas helium.

Tapi, mama dengan papa boleh cuba tips ni. Perhatikan tong gas yang digunakan oleh pengusaha belon tersebut.

Menurut sumber, gas helium biasanya menggunakan tong khas manakala tong gas hidrogen biasanya dimodifikasi daripada tong gas atau tong yang asal.

Contoh helium tank yang biasa digunakan oleh pengusaha belon apung.

5. Tips Membeli Belon Apung

Memandangkan kita sukar untuk bezakan belon apung helium dengan belon hidrogen, ibu bapa dan pembeli kena lebih berhati-hati apabila membeli belon ini.

Jauhkan belon apung dan juga anak-anak mama daripada sumber api termasuklah rokok, pemetik api, peralatan elektrik, dan sebagainya. Terutama untuk papa yang merokok, ini WARNING!

Yang paling penting, mama dan papa kena pantau anak-anak ketika bermain dengan belon ni.

Sukar untuk kita kenalpasti belon yang dijual itu diisi dengan gas helium atau ianya belon hidrogen.

Ibubapa Kena Alert!

Jadi, lepas ni ibu bapa memang kena alert! Memang berat hati nak belikan belon apung ni untuk anak bila dah jadi kes-kes macam ni. Anak meminta, tapi kita pula risau dengan keselamatan dia.

Selain faktor keselamatan, kita juga mesti tak mahu ditipu oleh pengusaha yang tak bertanggungjawab mengambil kesempatan mengaut keuntungan berkali ganda dengan ‘menjual nama’ belon helium sedangkan belon itu diisi dengan gas hidrogen yang berbahaya.

Mama Siti harap untuk yang dah tahu kesan belon hidrogen ni terhadap anak-anak dan juga orang ramai dapat kongsikan maklumat ini kepada umum agar isu keselamatan penting seperti ini diketahui oleh semua.

Jadi, seeloknya elakkan daripada membeli belon hidrogen ini sebab ianya berisiko mencederakan anak mama. Banyak lagi pilihan belon yang mama boleh dapatkan di luar sana. Tak pun beli saja belon biasa. Cantik pun cantik. Selamat pun memang gerenti selamat, betul tak?

Sumber: Berita Harian, SirapLimau

BACA JUGA KESELAMATAN ANAK DIUTAMAKAN! BABY CAR SEAT DIWAJIBKAN TAHUN DEPAN

Pesan Mama Siti:

Kalau setakat RM5-RM7 untuk satu belon, tak ada masalah pun. Duit bukan masalahnya. Masalahnya bila anak-anak kita melecur di permukaan badan. Tak kiralah dekat kening ke rambut ke, kalau boleh kita tak nak anak kita sakit walaupun sedikit. Tapi disebabkan sesetengah pihak yang tak bertanggungjawab yang hanya mahu mengaut keuntungan, habis cedera anak-anak kita. Sebab tu lah, kalau boleh elakkan daripada membeli belon apung ni.