KelabMama

Beg Sekolah Berat & Skoliosis – Patutkah Anda Bimbang?

Sekolah bakal dibuka semula tidak lama lagi dan tiba masanya untuk para pelajar kembali menggalas beg berat mereka seusai menjalani sesi pembelajaran virtual selama hampir dua tahun. Sebelum wabak COVID-19 melanda, polemik mengenai beg sekolah berat telah mendapat perhatian yang meluas, dan isu kesihatan yang sering dikaitkan dengannya ialah skoliosis, iaitu kelengkungan pada tulang belakang yang lazimnya dikesan dalam kalangan remaja.

Di Malaysia, kajian mendapati bahawa skoliosis dialami oleh dua hingga tiga peratus populasi negara, diterjemahkan kepada 600,000 hingga 900,000 individu.1 Dan kondisi ini biasanya dihidapi oleh golongan remaja yang berumur antara 10 hingga 17 tahun, di mana lonjakan dalam kadar tumbesaran mereka berlaku. Lengkungan tersebut lazimnya berbentuk C atau S, dan ukuran melebihi 10 darjah seperti yang dilihat pada imbasan sinar-X adalah dikategorikan sebagai skoliosis. Antara komplikasi yang mungkin berpunca daripada skoliosis ialah kesakitan kronik, kesukaran untuk bernafas, dan kekurangan kapasiti untuk melakukan senaman.

Adakah Beg Sekolah Berat Menyebabkan Skoliosis?

Gambar sekadar hiasan. Sumber: pendidik.com.my

Sejak sekian lama, ramai yang menyangka bahawa bebanan beg yang berat mampu menyebabkan tulang belakang kita melengkung. Bagaimanapun, kajian dan laporan perubatan tidak menemui sebarang kaitan antara skoliosis dan beg sekolah yang berat.2 Ia juga tidak dapat menyokong idea yang menyebut bahawa beg berat mampu mengubah struktur tulang belakang kanak-kanak yang sedang membesar.

Meskipun beg yang berat tidak menyebabkan skoliosis, jika ia digalas dengan cara yang salah atau untuk jangka waktu yang panjang, ia boleh menjurus kepada komplikasi tulang belakang yang lain seperti sakit belakang, postur yang bermasalah, kelemahan pada otot, serta keletihan. Bukti menunjukkan bahawa golongan remaja yang mengalami kesakitan pada bahagian belakang juga berkemungkinan untuk mengalami sakit belakang yang kronik apabila mereka sudah dewasa.

Jadi, Apa Sebenarnya yang Menyebabkan Skoliosis?

Yang pasti, skoliosis tidak diakibatkan oleh beg sekolah yang berat mahupun sesuatu perkara yang pernah dilakukan atau tidak oleh anak-anak atau ibu bapa mereka. Skoliosis boleh dialami oleh individu dengan kondisi seperti palsi serebrum atau distrofi otot, namun dalam kebanyakan kes, skoliosis bersifat idiopatik, yang bermakna tiada sebab jelas yang diketahui. Sungguhpun begitu, terdapat beberapa faktor risiko yang telah dikenal pasti seperti:

Kebanyakan kes skoliosis tidak serius, namun lengkungan tersebut akan menjadi lebih parah seiring dengan tumbesaran kanak-kanak, dan skoliosis yang dikategorikan parah mampu melumpuhkan penghidapnya. Kes-kes skoliosis dengan punca yang diketahui adalah lebih jarang berbanding kes skoliosis idiopatik. Skoliosis bukan idiopatik lazimnya disebabkan oleh kecacatan pada pembentukan tulang belakang, atau akibat kesan sampingan daripada penyakit lain seperti kondisi neuromuskular, penyakit tisu penghubung, dan kondisi genetik.

Cara untuk Mengesan Gejala Skoliosis Pada Anak Anda:

Skoliosis boleh menjadi lebih teruk dengan cepat di usia remaja kerana anak-anak juga sedang membesar dengan cepat ketika fasa ini. Simptomnya juga biasanya tidak ketara bagi kes yang tidak serius, maka mustahak bagi para ibu bapa untuk memeriksa anak mereka dari semasa ke semasa. Jika ia dikesan lebih awal, maka lebih tinggi peluang untuk mencegah skoliosis daripada mengakibatkan masalah yang serius kelak.

Berita baiknya ialah terdapat kaedah pemeriksaan mudah yang boleh dilakukan di rumah oleh ibu bapa untuk mengesan gejala dan simptom skoliosis. Antara gejala skoliosis yang paling lazim meliputi perbezaan pada ketinggian atau posisi bahu, tulang kipas (shoulder blades), atau pinggul – misalnya, bahu sebelah lebih rendah berbanding bahu yang lagi satu. Kepala yang tidak berkedudukan di tengah berdasarkan anggota badan yang lain merupakan satu lagi gejala.

Ibu bapa juga boleh melakukan sebuah ujian ringkas yang dinamakan ‘Adam’s Forward Bend Test’ untuk mengesan lengkungan pada tulang belakang. Ibu bapa boleh melakukannya dengan meminta anak mereka tunduk ke hadapan dan mengunjurkan kedua-dua tangan hingga melepasi jurang antara lutut mereka, jika ada yang tidak kena pada bahagian tulang rusuk atau terdapat kecacatan lain pada bahagian belakang, ia mungkin menandakan skoliosis. Jika anda terlihat sesuatu yang mencurigakan, dapatkan nasihat pakar perubatan dalam kadar segera.

Adam’s Forward Bend Test

Rawatan untuk Skoliosis

Bagi kes skoliosis yang tidak serius, kaedah rawatan tanpa pembedahan seperti senaman dan pendakapan boleh membantu memperlahankan atau menghentikan pembentukan lengkungan daripada terus berlanjutan, ia juga boleh membantu menghilangkan kesakitan yang berpunca daripada kondisi tersebut. Bagaimanapun, kaedah ini tidak dapat memperbaiki lengkungan pada tulang belakang dan pesakit perlu dipantau sepanjang hayat mereka untuk memastikan kondisi tersebut tidak menjadi lebih buruk.

Pembedahan hanya perlu dilakukan jika teruk lengkungannya selain turut mengganggu kualiti hidup pesakit. Jika pembedahan diperlukan, kemajuan dalam kaedah pembedahan masa kini telah melahirkan pelbagai prosedur yang selamat lagi efektif, malah waktu pemulihan selepas menjalani sesuatu prosedur juga adalah lebih singkat.

Di ALTY Orthopaedic Hospital, semasa menentukan pelan rawatan yang terbaik bagi penyakit skoliosis dalam kalangan kanak-kanak, pasukan pakar perubatan kami akan memfaktorkan keparahan lengkungan, termasuk di mana lengkungan berkenaan terbentuk pada tulang belakang, serta usia kanak-kanak dan peringkat tumbesaran mereka. Jika ibu bapa gagal membuat diagnosis atau pemeriksaan susulan bagi kondisi anak mereka untuk tempoh yang lama, kami mungkin tidak lagi berpeluang untuk memanfaatkan kaedah yang efektif untuk mencegah skoliosis yang telah berkembang seiring dengan tumbesaran pesakit, dan rawatan bagi komplikasi ini mungkin akan menjadi lebih mencabar.

Kes skoliosis baharu haruslah ditangani secepat yang mungkin, meskipun kita sedang dilatari oleh wabak COVID-19. Dalam kes golongan remaja khususnya, jika dilengahkan walaupun untuk tempoh beberapa minggu sahaja, ia masih berpotensi untuk menjejaskan pelan serta hasil rawatan komplikasi ini secara signifikan. Pandemik semasa mungkin telah mengganggu kebanyakan aktiviti kita, namun proses tumbesaran kanak-kanak masih sedang giat berjalan seperti biasa.

Sebagai pembekal perkhidmatan kesihatan, saya ingin menyarankan para ibu bapa untuk mendapatkan nasihat pakar perubatan sebaik sahaja mereka mengesan sebarang perubahan pada anak-anak mereka. Dengan melakukan pemeriksaan berkala dan mengambil tindakan yang tepat pada masanya, komplikasi seperti skoliosis dapat ditangani dengan lebih baik, dan anak anda juga berpeluang untuk menjurusi kehidupan yang lebih sejahtera.

Rujukan:

  1. https://www.nst.com.my/opinion/letters/2021/01/653585/sharing-expertise-can-boost-scoliosis-treatment
  2. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/15211269/

Artikel ini telah dikongsikan oleh Dr. Lim Sze Wei, Pakar Bedah Ortopedik, Tulang Belakang & Trauma, ALTY Orthopaedic Hospital