KelabMama

Bayi 5 Bulan Maut Selepas Disunatkan Ibu Bapa Sendiri di Rumah

Bayi 5 bulan maut selepas disunatkan ibu bapa sendiri di rumah mereka, di Itali. Sumber melaporkan, bayi tersebut telah dikejarkan ke sebuah hospital di Itali dengan menggunakan sebuah helikopter. Mangsa kemudiannya dilaporkan mengalami serangan jantung pada tengah hari Jumaat tersebut, sebelum dilaporkan meninggal dunia pada malam yang sama.

Menurut laporan DailyMail UK, ibu bapa kepada bayi berkenaan dipercayai berasal dari Ghana, kini menghadapi tuduhan membunuh, dan kes telah dibuka terhadap mereka oleh Pejabat Pendakwa di wilayah utara Reggio Emilia. Mayat bayi yang malang itu juga akan dibedah siasat untuk membantu siasatan.

Kejadian Kedua di Itali

Kejadian ini merupakan yang kedua berlaku di Itali, selepas seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun juga dilaporkan meninggal pada Disember lalu akibat kehilangan darah yang banyak selepas disunatkan ibu bapa sendiri di Rome.

Dalam kes tersebut, saudara kembarnya juga dilaporkan hampir mati, tetapi sempat diselamatkan selepas diberi rawatan rapi. Kedua kanak-kanak itu dirawat di sebuah bangunan yang disediakan oleh badan bukan kerajaan Arci, Rome. Doktor yang merawat kedua-dua mangsa dipercayai merupakan warganegara Amerika, yang berasal dari Libya. Lapor media Itali mengenai kejadian itu, beliau dikatakan telah meminta bantuan kecemasan apabila budak lelaki tersebut mula mengalami pendarahan yang berlebihan.

Kembar lelakinya juga telah melakukan pembedahan susulan, dan kemudiannya dibawa ke Hospital Sant Andrea, sebelum dibawa ke unit rawatan rapi kanak-kanak di Hospital Gemelli, Rome.

Ibu kanak-kanak tersebut yang berasal dari Nigeria, dipercayai telah meminta perlindungan di Itali dan dia juga mempunyai lima orang anak yang lain di Nigeria. Dia juga dikatakan telah meminta untuk sunatkan anak-anak lelakinya kerana mengikut adat Islam di Nigeria, walaupun dia merupakan seorang Katolik.

Di Itali, amalan bersunat bagi kanak-kanak lelaki sebenarnya tidak diamalkan, terutamanya bagi mereka yang beragama Katolik. Hanya mereka yang beragama Islam dan menetap di Itali sahaja yang sering melakukan amalan ini. Namun, tidak mudah untuk pendatang dari negara luar untuk sunatkan anak mereka di hospital tempatan di Itali. Hal ini kerana, kos bersunat di hospital dan klinik-klinik swasta adalah sangat mahal dan doktor hanya akan sunatkan kanak-kanak lelaki apabila mereka berumur empat tahun dan ke atas. Namun, dilaporkan lebih 5,000 rawatan berkhatan diadakan di Itali setiap tahun, di mana lebih satu per tiga dijalankan secara haram.

Apa itu Berkhanat atau Bersunat?

Secara umumnya, berkhatan adalah proses membuang kulit lebihan yang menutupi kepala zakar. Ia merupakan proses membuang anggota tubuh yang menjadi tempat dimana kotoran, virus dan najis terperangkap. 

Berkhatan Dalam Islam

Berdasarkan pandangan Imam Syafie, berkhatan wajib dilakukan ke atas mereka yang beragama Islam. Menurut riwayat al-Bukhari,

Abu Huratrah daripada Nabi SAW bersabda: “Lima perkara fitrah manusia iaitu berkhatan, istihdad, cabut bulu ketiak, potong misai dan memotong kuku.” (al-Bukhari)

Berdasarkan hadis di atas, Mazhab Shafie menegaskan bahawa amalan berkhatan adalah wajib bagi kaum lelaki dan wanita. Keengganan berbuat demikian akan menyebabkan mereka berdosa kerana telah melanggar kewajipan yang disyariatkan Islam dari zaman Nabi Ibrahim lagi. Selain Nabi Ibrahim ia juga turut menjadi syariat Nabi Muhammad SAW.

Pesan Mama Siti

Harap Mama dan Papa ambil iktibar daripada kejadian yang berlaku di Itali ini. Mama Siti nak pesan, jangan pula Mama Papa pandai-pandai sunatkan anak teruna anda sendiri ya. Walaupun anda berdua mungkin pakar bedah, adalah lebih baik Mama dan Papa bawa anak anda untuk disunatkan mereka yang lebih mahir. Lebih baik mengelak daripada menyesal kemudian hari bukan? ;)