KelabMama

Bayi Hampir Maut, Ibu Sapu Bonjela Untuk Kurangkan Sakit Tumbuh Gigi

Kita yang dewasa kalau sapu bonjela pun ‘terasa’ inikan pula bayi. Baru-baru ini bayi 7 bulan hampir maut gara-gara si ibu sapu bonjela untuk kurangkan sakit tumbuh gigi. Aduhai ajaran dari mana ni?

Sememangnya di fasa anak nak tumbuh gigi ni macam-macam ragam yang akan mama hadapi. Ada si manja yang demam, meragam sebab tak selesa tapi itu perkara biasa yang akan dilalui anak kecil. Tak perlu nak sabu ubat cuma kita perlu tahu cara yang betul untuk tangani situasi anak nak tumbuh gigi ni. Semoga perkongsian daripada Pegawai Pergigian, Iqbal Rosali ini menjadi panduan kepada mama semua.

UBAT TEETHING

Ubat ini, kalau digunakan untuk ulser dalam mulut, saya tahu. Kalau untuk sakit teething, belum pernah jumpa lagi rasanya.

Dilaporkan seorang bayi berhenti bernafas selepas ibunya menggunakan gel tersebut. Si ibu sapu gel itu bila anaknya asyik menangis sebab sakit gigi nak tumbuh. Baby baru umur 7 bulan. Doktor kata baby jadi macam itu sebab si ibu terlebih guna (overdose) gel tersebut.

Teething ialah proses gigi nak tumbuh keluar. Tanda-tanda yang biasa dapat dilihat ialah:

1. Anak kuat merengek, disebabkan sakit dan tidak selesa.

2. Suka menggigit. Tindakan si anak untuk kurangkan sakit pada gusinya.

3. Air liur meleleh. Baby tak tutup mulut sebab tak selesa gigi nak keluar.

4. Demam dalam sesetengah kes.

Persoalannya, perlu ke ubat tahan sakit macam gel ini, untuk masalah teething?

Bergantung. Sakit ini bergantung pada masing-masing. Ada baby kuat, ada baby tak tahan. Kalau hendak guna, adalah lebih baik dapatkan nasihat doktor dulu.

Ini beberapa tips untuk atasi sakit teething pada anak kita:

1. Urutkan gusi anak kita pada tempat gigi nak tumbuh. Gunakan kain bersih yang dilembapkan dengan air sejuk, kemudian urut-urut di sekitar gusi.

2. Gunakan teether. Banyak dijual. Tips gunakan teether, masukkan dalam peti sejuk beku (freezer) dulu. Sudah jadi ais, baru bagi anak gigit.

3. Bagi kain bersih untuk dia gigit.

4. Lapkan juga air liur yang meleleh. Kalau dibiarkan nanti boleh menjadi ruam.

5. Sabar. Anak mungkin akan kuat menggigit ketika menyusu badan. Ini memang menguji kesabaran. 

Sebarang ubat-ubatan, perlulah dapatkan nasihat daripada doktor terlebih dahulu lebih-lebih lagi untuk baby yang berumur kurang daripada 2 tahun.

Dr Muhamad Iqbal
Pegawai Pergigian

Sumber : Iqbal Rosali

BACA JUGA LEGAKAN KESAKITAN BAYI TUMBUH GIGI

Pesan Mama Siti

Kalau tak pasti jangan memandai-mandai ye nak sapu apa-apa ubat pada si manja. Tak bermakna ubat yang elok untuk kita elok untuk anak kecil. Kandungan serta kuantiti ubat tersebut belum tentu sesuai untuk anak kecil. Lebih baik rujuk pada nurse ataupun doktor.