KelabMama

Bayi Dijumpai Dalam Kotak, Ditinggalkan Di Belakang Masjid

Semakin menjadi-jadi kes buang bayi ni. Kes terbaru ni berlaku di Tasek Gelugor dimana seorang bayi perempuan yang cukup sifat ditemui dalam kotak yang ditinggalkan di belakang sebuah masjid iaitu Masjid Lama Ara Kuda.

Bayi perempuan tu telah dijumpai oleh seorang kanak-kanak lelaki yang kemudiannya memaklumkan penemuannya itu kepada orang dewasa dan terus menghubungi polis.

Dengar Jeritan Budak

Semasa azan sedang berkumandang, Ahmad Abdullah sedang bersiap untuk menunaikan solat Zohor. Tiba-tiba dia terdengar jeritan budak lelaki yang memberitahu ada bayi dalam kotak di belakang masjid.

“Saya terkejut apabila melihat bayi perempuan comel yang dibalut kain batik dalam kotak itu dan terus membawanya ke dalam masjid kerana ketika itu hujan lebat serta angin kencang.

“Mujur bayi itu ditemui, jika tidak saya tak tahu apa nasib menimpanya kerana ketika itu hujan lebat serta angin kencang,”


Ahmad Abdullah, 59

Bayi perempuan itu dijumpai dalam keadaan dibalut kain batik dan sedang enak dibuai mimpi sedangkan cuaca pada ketika itu hujan lebat dan angin kencang. Allahu..mujur tak jadi apa-apa pada bayi ni. Tali pusatnya yang masih belum tertanggal, bayi itu dipercayai baru berusia seminggu.

“Pemeriksaan di kawasan masjid mendapati ia tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan bayi 2.8 kilogram itu dibawa ambulans ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut.

“Bayi itu ditemui penduduk pada jam 1:20 tengah hari semalam dalam keadaan sihat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.”  


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor

Warga Emas Bersubahat Dengan Anak Perempuan

Wanita berusia 63 tahun, dikatakan ibu kepada anak perempuan yang membuang bayi itu didapati bersubahat dengan anak perempuannya. Kini dia ditahan di Kulim, Kedah pada 12.30 malam tadi, manakala anak perempuannya berusia 28 tahun masih dirawat di hospital. Perbuatan anak beranak ni dikesan selepas anak kepada wanita warga emas itu yang juga janda beranak satu mendapatkan rawatan di klinik swasta kerana uri masih melekat dalam perut, kira-kira 3 petang semalam.

“Doktor yang merawat mangsa di klinik itu merujuk kes berkenaan ke hospital kerajaan dan kita berjaya mengesan wanita terbabit.

“Ibu wanita terbabit yang melihat kes buang bayi yang dilakukan anaknya tular di media sosial dan mendapat liputan meluas media akhirnya menyerah diri di Balai Polis Kulim Hi-Tech,”


Menurutnya lagi, siasatan awal mendapati dua beranak itu pada mulanya nak tinggalkan bayi itu di pusat jagaan, namun mereka bertukar fikiran dan meninggalkannya di belakang masjid tersebut.

“Pemeriksaan mendapati bayi itu dilahirkan pada 3.30 pagi dan kita masih belum menahan ibunya kerana dia masih dirawat di hospital.

“Setakat ini, siasatan lanjut masih dijalankan dan polis akan menahan ibu bayi itu dalam masa terdekat,”



Pesan Mama Siti

Apa yang Mama Siti pelik dengan manusia zaman sekarang ni, tak ada ke walau segelumit perasaan kasihan atau sayang pada bayi tu sampai sanggup tinggalkan bayi tu di belakang masjid? Allahu..Mama Siti tak boleh terima betul kes-kes buang bayi ni. Si kecil yang tak berdosa menjadi mangsa. Orang lain bersusah payah nak dapatkan anak, tapi manusia begini boleh buang macam tu je. Semoga pesalah ini dihukum atas apa yang dia lakukan.