KelabMama

BAYI LELAKI DITEMUI DALAM KOTAK DI SEBUAH SURAU DI AMPANG

Seorang bayi lelaki telah ditemui di dalam kawasan sebuah surau di AU1, Taman Keramat, Ampang malam tadi. Penemuan bayi tersebut juga telah tular di laman sosial sejak jam 11 malam tadi.

Alhamdulillah, masih hidup & lengkap berpakaian.

Menurut laporan yang dikeluarkan Berita Harian, bayi malang tersebut ditemui lengkap berpakaian dan masih hidup. Lampin pakai buang dan susu juga diletakkan bersama bayi tersebut. Dia ditemui oleh jemaah surau pada jam 8:56pm sebelum dimaklumkan kepada pihak polis. 

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias, berkata pihaknya kemudian mengarahkan anggota kereta peronda ke lokasi kejadian. 

Pemeriksaan mendapati bayi masih bernyawa itu diletakkan dalam kotak warna coklat bersama lampin pakai buang dan susu. Pegawai perubatan yang melakukan pemeriksaan turut mengesahkan bayi dalam keadaan sihat,

katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dibawa ke Hospital Ampang untuk rawatan.

Bayi tersebut telah dibawa ke Hospital Ampang untuk rawatan dan pemeriksaan susulan oleh pihak berkuasa. Dia dikatakan berada dalam keadaan stabil dan ditempatkan di Zon Kuning.  

Sehingga kini, kita (polis) masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti ibu bapa dan pihak bertanggungjawab meletakkannya di surau berkenaan. 

Mohon bantuan orang ramai.

Orang ramai yang memiliki maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil membantu siasatan,

katanya.