KelabMama

Kenapa Bayi Anda Susah Tidur? Jom Cuba 10 Cara Ini!

Sumber: istockphoto

Terutama bagi ibu bapa yang berkerjaya, menjaga bayi yang baru lahir memang cukup mencabar. Dengan siang hari yang sibuk dengan kerja dan waktu malam yang kepenatan, memang menguji kesabaran bila si comel meragam susah nak tidur kan?

Kenapa ya? Apa puncanya si comel anda susah nak tidur?

8 Punca Bayi Susah Tidur

Bayi anda berkomunikasi melalui tangisan dan gerak serta gaya badan. Bila mereka sukar untuk tidur, anda boleh meneka punca sebenarnya melalui pemerhatian dan ilmu yang ada.

1. Tumbuh gigi

Apabila gigi mereka mulai tumbuh, gusi si comel akan mulai bengkak. Mereka akan rasa tidak selesa dengan perubahan baru ini dan seterusnya akan menganggu tidur mereka.

2. Demam

Suhu badan yang meningkat dan rasa tidak selesa ketika demam juga akan menganggu kitaran tidur bayi. Biasalah kan, orang dewasa pun susah nak tidur apabila demam. Apetah lagi kanak-kanak dan bayi kan?

3. Perlukan susu

Perasan tak, walaupun baru sahaja anda menyusu si comel 2 jam yang lepas, mereka tiba-tiba terjaga dan nak menyusu lagi? Susu badan terutamanya memang cepat hadam tau. Disebabkan itulah penyusuan susu dada adalah berkonsep demand and supply.  

4. Keliru tentang siang dan malam

Apabila bayi berada dalam suasana yang gelap dan senyap pada waktu siang, mereka akan salah anggap bahawa waktu ketika itu adalah waktu malam dan sebaliknya. Jadi apabila tiba waktu malam yang sebenar, mereka akan keliru dan mengalami kesukaran untuk tidur.

5. Jam tidur terganggu

Sumber: istockphoto

Jika si comel anda terbiasa tidur di siang hari, jam tidur mereka akan terganggu dan berkemungkinan terbalik. Mereka akan mengantuk di siang hari dan berjaga pada waktu malam.

6. Sakit perut atau kembung perut

Kadang-kadang, si comel mungkin susah tidur kerana sakit atau kembung perut. Bila tak selesa macam tu, mereka akan mengeliat dan mudah menangis.

7. Perlukan perhatian

Menurut Carissa Stephens, bayi anda mungkin susah untuk tidur hanya kerana mereka memerlukan anda. Mereka ingin bermanja, dibelai, ingin berada dekat dengan anda dan tidak ingin berjauhan. Walaupun pada jam 3 pagi, mereka tetap mahukan kasih sayang anda!

8. Perubahan tempat tidur

Bukan orang dewasa sahaja ya yang mengalami kesukaran untuk melelapkan mata apabila berada di tempat yang baru. Menurut Nadia, bayi pun sama juga. Mereka dapat rasakan perubahan di sekeliling mereka dan mungkin menyebabkan mereka rasa tidak selesa atau tidak selamat untuk tidur.  

10 Cara-Cara Mengatasi Bayi Susah Tidur Di Waktu Malam

Kadang-kadang, susah juga untuk kita faham kenapa si comel susah untuk tidur. Anda sudah menyusu, periksa pampers dan keadaan perutnya, tapi mereka tetap menangis dan tidak mahu tidur.

Namun janganlah risau ya. Banyak sebenarnya cara yang anda boleh lakukan untuk mengatasinya. Menurut Dr Imelda Balchin, supaya si comel mudah untuk tidur dan teratur, waktu tidur mereka perlu dicorakkan dari seawal kelahiran lagi. Bagaimana caranya?

Untuk mengajar anak-anak rutin, maka ibubapa mesti sendiri berdisiplin dan mesti bersepakat, supaya tiada percanggahan dari rutin biasa setiap hari, sama ada dijaga oleh ibu atau dijaga oleh bapa.

Dr Imelda Balchin

Berdasarkan pengalaman sendiri, Dr Imelda Balchin telah kongsikan beberapa cara:

1. Ajarkan bayi perbezaan konsep siang dan malam

Sebelum membiasakan mereka dengan rutin siang dan malam, para ibu mestilah mengajar mereka perbezaan kedua-dua waktu terlebih dahulu.

Misalnya, pada siang hari, jangan duduk dalam bilik yang gelap tetapi pastikan suasana di sekeliling bayi cerah. Pada waktu malam pula, malapkanlah lampu dan kurangkan cahaya sehabis boleh.

Lama-kelamaan, mereka akan terbiasa dengan rutin ini dan secara automatik akan menjadi lebih mengantuk dan kurang aktif apabila tiba waktu malam.

2. Berinteraksi dengan bayi

Sumber: istockphoto

Selain itu, beliau juga menyarankan untuk berinteraksi dengan bayi supaya mereka mendapat stimulasi yang cukup. Sebagai contoh, memanggil nama si comel, menggeleteknya dan menyanyi sambil melihat ke matanya.

Rangsanglah pancaindera mereka seperti memakaikan bau-bauan yang wangi dan menunjukkan gambar pattern hitam dan putih untuk menarik dan menimbulkan minat mereka.

Apabila melakukan aktiviti seperti ini, si comel akan lebih aktif dan susah untuk tidur di siang hari. Stimulasi yang cukup di siang hari akan membuatnya penat apabila tiba waktu malam dan seterusnya akan lebih mudah untuk tidur.

3. Penyusuan yang kerap di siang hari

Anda juga harus menggalakkan penyusuan pada siang hari ya. Untuk setiap 2 hingga 3 jam, susukanlah si comel supaya mereka lebih kenyang dan akan kurang menyusu pada waktu malam.

4. Kurangkan stimulasi pada malam hari

Jika si comel terjaga untuk menyusu, jangan sesekali buka lampu sampai cerah. Pastikan ia malap, sekadar cukup untuk anda melihat supaya tiada stimulasi yang diberikan pada mereka. Elakkan berinteraksi dengan bayi dan sesudah menyusu, tidurkan mereka.

Dr Imelda Balchin juga berpendapat bahawa jika bayi anda menangis selepas itu, biarkan sahaja tanpa memberikan apa-apa respons supaya mereka faham apabila gelap dan malam, anda tidak mahu bermain dan melakukan aktiviti dengannya.

Jika anda ada aktiviti lain seperti perlu menghadiri jamuan, elakkan dari membawa si comel kerana mereka akan terkeliru dengan stimulasi yang diterima kelak.

Dengan melakukan ini, mereka akan belajar perilaku yang berbeza pada siang dan malam dan seterusnya akan membentuk rutin mereka.

5. Nap hanya pada tengah hari

Waktu yang sesuai untuk nap si comel adalah ketika jam 1 hingga 4 petang. Pastikan mereka tidur sekejap antara waktu ini supaya mereka tidak akan tidur pada waktu petang dan berjaga pada malam nanti.

Jangan ganggu ya waktu nap mereka ni. Nanti jam tidur mereka akan terganggu sama.

6. Mandi air suam ketika petang

Mandikan bayi dengan air suam dipercayai dapat membuatkan mereka lebih relaks dan nyaman. Mereka akan rasa lebih mengantuk dan cepat lena.

7. Banyakkan aktiviti pada waktu petang

Lakukankanlah pelbagai aktiviti bersama si comel. Sebaiknya di luar rumah supaya mereka terdedah dengan bunyi dan cahaya. Apabila menjelang malam, mereka akan kepenatan dan tidur akan lebih nyenyak.

8. Jaga pemakanan bayi menjelang waktu malam

Untuk bayi yang berusia 6 bulan ke atas, walaupun mereka sudah boleh menerima makanan lain selain dari susu ibu, anda hendaklah mengelakkan dari memberi mereka makanan segera dan yang mengandungi gula.

Kesannya, mereka akan jadi hyperaktif pada waktu malam nanti. Sudah tentunya susah untuk tidur kan?

9. Membaca doa tidur untuk bayi

Jika anda beragama Islam, sebaiknya bacakanlah doa untuk bayi supaya tidur lebih lena dan dijauhi sebarang gangguan dan keburukan.

twitter.com/MyJAKIM

10. Sediakan tempat tidur yang selesa dan selamat

Bayi amat peka ya sebenarnya dengan keadaan sekeliling mereka. Jadi keselesaan di tempat tidur mereka adalah antara faktor penting supaya mereka kekal lena.

Jangan lupa juga untuk pastikan pemilihan fabrik tilam dan selimut bayi sesuai dengan kulit mereka dan cuaca semasa ya.

Semoga Tidur Si Comel Lebih Lena..

Atasilah punca bayi susah tidur dengan mencuba beberapa tips yang diberikan di atas ya. InsyaAllah, moga-moga si comel anda akan lebih lena selepas ini. Tetapi jika mereka sering menangis dan kelihatan seperti kesakitan, bawalah si comel berjumpa dengan doktor segera.