KelabMama

MALANG TIDAK BERBAU, BAYI 14 BULAN LEMAS DALAM BALDI

Baru-baru ini, seorang bayi lelaki berusia 14 bulan ditemui lemas di dalam baldi di bilik air rumahnya di Jalan Pangkalan Lambak, Sungai Rambai, Jasin, tengah hari tadi.

Bayi lelaki yang bernama Muhammad Arash Zahrain Osman, ditemui ibunya dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kedua-dua belah kaki ke atas dan kepala di dalam baldi berisi air.

Berdasarkan laporan yang dikeluarkan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu, berkata ketika kejadian, ibu dan ayah kanak-kanak terbabit sedang makan tengah hari di belakang rumah manakala tiga abang mangsa di bilik tidur.

Ibu mangsa memaklumkan, terdengar bunyi air di tandas dan bergegas ke tempat kejadian sebelum mendapati mangsa dalam keadaan terlungkup di dalam baldi yang mengandungi air.

Ibunya mendapati mangsa kaku tidak bersuara lalu mendapatkan suami. Sebelum kejadian, ibunya mengesahkan tiada air dalam baldi selepas memandikan abang mangsa berumur dua tahun,

katanya.

MANGSA TELAH DIBAWA KE KLINIK UNTUK BANTUAN PERNAFASAN

Ketua Polis Daerah Jasin tersebut turut berkata, mangsa kemudian dibawa ke klinik kesihatan Sungai Rambai pada jam 1.30 tengah hari bagi mendapatkan bantuan pernafasan sebelum disahkan mati oleh pengadu yang juga pegawai perubatan klinik berkenaan.

Setakat ini, tiada kecederaan luaran di badan mangsa yang hanya berpakaian lampin pakai buang selain tiada sebarang unsur perbuatan jenayah terhadap mangsa namun siasatan akan diteruskan,

ujarnya lagi.

Mayat bayi malang itu telah dihantar ke Hospital Sultanah Fatimah, Muar untuk bedah siasat dan siasatan awal kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Takziah diucapkan kepada keluarga mangsa. Semoga ahli keluarga tabah dan kuat menghadapi dugaan ini.