KelabMama

8 Idea Balkoni Rumah Paling ‘Best’ Bakal Jadi Ruang Kegemaran Terbaru Seisi Keluarga

ruang balkoni rumah

Balkoni ialah bahagian dalam rumah yang paling banyak mendapat kelebihan semula jadi. Bayangkan, berdiri sahaja di balkoni Mama disambut dengan angin sepoi-sepoi bahasa. Ditambah pula dengan kicauan burung sambil melihat pemandangan indah.

Bagi memastikan tiada pembaziran ruangan di rumah, kini Mama Siti kongsikan lapan cara menukarkan balkoni yang membosankan kepada tempat paling digemari.

8 Idea Deco Balkoni Rumah Yang Menjadi Kegilaan Ramai

#1 Ruang Bacaan

Kredit gambar: Bored Panda

Bagi Mama yang memang seorang ulat buku, ruang membaca yang selesa sangat mempengaruhi mood kan? 

Kalau selalu kita baca buku di ruangan tertutup, apa kata kali ini kita sediakan ruang istimewa untuk ‘me time’ di balkoni rumah.

Bayangkanlah Mama membaca buku sambil ditiup angin sepoi-sepoi dan disambut dengan bunyi burung-burung berkicauan. Indah kan.

#2 Ruang Berkebun

Kredit gambar: Pinterest

Manfaatkan ruang balkoni rumah Mama sebagai tempat bercucuk tanam. Pilih sahaja sama ada ingin menanam pokok hiasan ataupun tanaman sayuran. 

Melalui teknik penanaman yang betul dan cara penjagaan teliti, silap hari bulan macam-macam pokok ada di balkoni rumah Mama. 

#3 Ruang Kerja

Kredit gambar: ambiancedesignstudio.in

Gambar contoh yang Mama tunjukkan ialah ruang kerja di balkoni yang telah diubah suai. Namun begitu, Mama sebenarnya masih boleh jadikannya sebagai pejabat kecil di rumah hanya dengan menggantungkan bidai di balkoni. 

Bidai tersebut untuk mencipta sedikit privasi dan berlindung dari panas matahari. Apabila selesai bekerja, Mama boleh naikkan bidai untuk membenarkan udara masuk ke ruangan kerja. Cara ini mungkin boleh mengurangkan tekanan bekerja. 

#4 Ruang Santai

Kredit gambar: Homedit

Selepas penat bekerja, Mama akan perlukan tempat berehat bagi menenangkan fikiran. Hanya dengan meletakkan kerusi dan meja kecil sudah memadai menukarkan balkoni kepada ruang santai.

Dekorasi dinding dan lampu hiasan serta sedikit tumbuhan hijau bakal meningkatkan lagi suasana santai di sini. 

#5 Ruang Anak-Anak

Kredit gambar: Pinterest

Keperluan anak di waktu kecil ialah bermain kerana ia sangat menyumbang kepada perkembangan kognitif, fizikal, sosial dan kesihatan emosi mereka. Sebagai ibu bapa yang menyokong perkembangan anak-anak, berikan ruang tambahan untuk mereka bermain dan melakukan aktiviti. 

Mulakan dengan menyediakan dua buah kerusi beserta meja kecil yang sesuai dengan saiz kanak-kanak. Lama-kelamaan, ruang balkoni ini akan dipenuhi dengan pelbagai jenis mainan dan buku kanak-kanak. 

#6 Tempat Haiwan Peliharaan (Cat Friendly)

Kredit gambar: Pinterest

Buat pencinta haiwan, Mama Siti rasakan elok juga kalau kita jadikan balkoni sebagai tempat khusus untuk haiwan peliharaan

Selain dapat melihat persekitaran di luar rumah, Mama pun tak perlu risau lagi kalau-kalau haiwan peliharaan Mama merosakkan perabot di dalam rumah. 

Pasangkan beberapa alat permainan, bekas makanan dan tempat haiwan membuang najis. Oh ya, jangan lupa juga untuk pasangkan jaring di balkoni untuk mengelakkan haiwan kesayangan Mama terjatuh. 

#7 Lokasi ‘Shooting’

Balkoni ialah tempat paling banyak mendapatkan cahaya matahari semulajadi. Hasil gambar dan video diambil di balkoni lebih jelas berbanding di ruangan tertutup. 

Lebih-lebih lagi jika Mama berniaga dari rumah atau bekerja sebagai pembuat kandungan (content creator), sekali sekala mesti akan mengadakan siaran langsung (live streaming) di telefon pintar masing-masing.

Oleh itu, pencahayaan yang terang dan pengudaraan yang baik diperlukan untuk melancarkan proses tersebut. 

#8 Ruang Dobi

Kredit gambar: Design Cafe

Manfaatkan balkoni dengan menukarkannya sebagai ruang dobi. Selain menjadikan rumah lebih teratur, ia juga mempercepat pengeringan baju yang disidai disini. 

Pemasangan penggantung baju dan saterika di tempat ini melengkapkan idea bilik pakaian. Secara tidak langsung kita menjadikan balkoni sebagai ruang yang dikhaskan berkaitan pakaian.  

Kredit gambar: IKEA

Ruang balkoni sepatutnya dimanfaatkan menjadi tempat yang berfaedah di rumah Mama. Mahu itu sebagai ruang bacaan, tempat anak-anak bermain ataupun sebagai ruang dobi, semuanya menyumbang kepada urusan Mama di rumah.

Mungkin Mama boleh cuba kembangkan idea yang lebih baik dengan perkongsian dari artikel ini. Mama Siti percaya Mama ada idea lebih baik untuk balkoni rumah kan.


Dapatkan rumah idaman Mama dengan pelbagai tips dan inspirasi dekorasi DI SINI.