KelabMama

BAHAYA URI BAWAH RAHIM SELEPAS KANDUNGAN BERUSIA 28 MINGGU

Uri adalah organ yang terdapat di dalam rahim wanita hamil dan bertanggungjawab membawa oksigen dan nutrisi daripada ibu kepada bayinya. Kedudukan uri yang normal apabila ia berada di tengah atau di bahagian atas rahim. Ini bermakna ia jauh daripada kawasan bayi sepatutnya keluar dari rahim. Uri di kedudukan bawah pula berada di kawasan bawah rahim, menutup ruang laluan bayi (pintu rahim) semasa kelahiran. Ini seterusnya akan memberikan komplikasi semasa proses bersalin.

Ia bukanlah sesuatu yang jarang ditemui di awal kehamilan kerana 20 peratus daripada uri berada di bawah pada awalnya, tetapi apabila kandungan berusia melebihi 28 minggu, kebanyakan uri sudah tertarik ke atas oleh rahim yang semakin membesar dan cuma lima peratus yang masih berada pada bahagian bawah rahim. Jika uri ini masih kekal di bawah, keadaan ini dipanggil Placenta Previa (PP). Sekiranya uri anda masih di bawah selepas kandungan 28 minggu, tidak banyak yang anda boleh buat untuk menaikkannya. ke atas. Rawatan pula bergantung kepada tahap PP tersebut, sama ada ia menutup keseluruhan laluan bayi (pintu rahim) atau separuh sahaja.

 

TAHAP SERIUS

Sekiranya wanita mengalami PP jenis keempat, terdapat risiko tinggi kelahiran pramatang dan pendarahan. Kadang-kadang pendarahan boleh menjadi terlalu banyak sehingga membahayakan nyawa. Doktor selalunya memantau simptom pesakit dengan memasukkan mereka ke wad pada usia kandungan 32 minggu sekiranya terdapat risiko pendarahan yang tinggi. Sekiranya anda mengalami pendarahan tidak normal dari faraj, cepat-cepatlah berjumpa dengan doktor untuk memastikan yang anda tidak mengalami PP.

 

RISIKO

 

RAWATAN

Dalam menangani PP, doktor akan mengesyorkan ibu supaya melahirkan kandungan dengan kaedah yang selamat, iaitu pembedahan caesarean. Bagaimanapun apabila pembedahan itu harus dilakukan, ia bergantung kepada penilaian dan faktor-faktor berikut iaitu tahap keseriusan pendarahan, usia bayi dalam kandungan dan juga sokongan perkhidmatan pediatrik. Kebiasaannya jika seseorang ibu yang mengalami PP tetapi tiada pendarahan, pembedahan caesarean secara elektif akan dilakukan pada minggu ke 38 usia kandungan. Jika pendarahan berlaku sebelum usia kandungan tersebut, keputusan pembedahan akan dibuat oleh pakar setelah mempertimbangkan faktor-faktor di atas.