KelabMama

Bahaya Jerebu dan Langkah Pencegahan untuk Keselamatan Anak-anak

jerebu

Mama Papa mesti dah tahu kan kes jerebu sekarang yang semakin meningkat bacaan indeksnya. Kawasan yang terkena jerebu ini sembilan negeri termasuk Cheras di ibu negara yang merekodkan indeks pencemaran udara (IPU) tertinggi bacaannya 164.

Dan sekolah, tadika dan taska akan dijangkakan akan ditutup sekiranya bacaan IPU makin meningkat sehingga 200!

Kanak-kanak adalah salah satu yang paling rentan terhadap kesan jerebu ini. Jadi, Mama Papa kena ambik langkah berjaga-jaga untuk melindungi anak-anak daripada kesan jerebu.

Kesan Jerebu kepada Kanak-Kanak

1. Masalah Pernafasan

Kanak-kanak adalah lebih terdedah kepada masalah pernafasan semasa episod jerebu. Partikel halus dalam keadaan jerebu ini boleh merosakkan saluran pernafasan mereka dan menyebabkan batuk, sesak nafas, dan kesukaran bernafas.

Kanak-kanak yang mempunyai asma atau alergi pernafasan mungkin mengalami peningkatan simptom semasa jerebu.

2. Iritasi Pada Mata dan Kulit

Kredit Gambar: Doktor Sehat

Jerebu ni jugak boleh mengakibatkan mata dan kulit menjadi gatal, kemerahan, dan lebih sensitif. Partikel tersebut boleh meresap ke dalam mata dan kulit akan menyebabkan ketidakselesaan pada anak-anak.

Jangan lupa untuk sentiasa alert kalau ada anak Mama Papa yang alergi pada habuk atau debu. Iritasi ini boleh menyebabkan mereka mengalami masalah ini dengan lebih teruk lagi.

3. Menganggu Rutin Harian

Pencemaran udara ini boleh mengganggu aktiviti harian kanak-kanak. Aktiviti luar seperti sukan dan bermain terpaksa ditangguhkan, menyebabkan gangguan kepada rutin harian mereka.

Anak-anak tak boleh nak beriadah seperti biasa disebabkan indeks bacaannya yang semakin meningkat. Jadi, tidak sesuai untuk anak-anak melakukan aktiviti seperti biasa.

4. Peningkatan Risiko Kesihatan Jangka Panjang

Pendedahan berulang kepada jerebu dalam jangka panjang boleh meningkatkan risiko masalah kesihatan seperti penyakit pernafasan kronik, alergi, dan penyakit jantung pada masa dewasa.

Kanak-kanak yang terdedah kepada jerebu mungkin berisiko lebih tinggi mengalami masalah ini pada masa akan datang.

5. Pembelajaran Terganggu

Kredit Gambar: Berita Harian

Jerebu juga boleh mengganggu proses pembelajaran kanak-kanak. Seperti yang dinyatakan di atas, sekolah mungkin terpaksa ditutup semasa jerebu, dan ini boleh mengganggu jadual pembelajaran kanak-kanak.

Kanak-kanak yang terdedah kepada jerebu juga mungkin mengalami kesan kesihatan yang boleh mengganggu fokus mereka dalam pembelajaran.

Langkah Pencegahan kepada Anak-anak

1. Gunakan Penutup Muka

Kredit Gambar: BERITA Mediacorp

Pakai penutup muka apabila mereka perlu berada di luar rumah, terutamanya ketika anak-anak berada di sekolah.

Pastikan Mama Papa berikan penutup muka yang sesuai untuk kanak-kanak dan mempunyai filtar untuk menyaring habuk.

2. Lakukan Aktiviti dalam Rumah

Kredit Gambar: Lifestyle Kompas

Time jerebu teruk, Mama Papa elakkan anak-anak daripada melakukan aktiviti luar seperti bermain di taman atau sukan luar.

Galakkan kanak-kanak untuk melakukan aktiviti dalam rumah je semasa jerebu yang teruk. Aktiviti seperti membaca buku, main permainan indoor, menonton filem bersama adalah alternatif yang lebih selamat.

3. Hidratkan Badan Secukupnya

Jerebu boleh menyebabkan kekeringan, jadi pastikan kanak-kanak sentiasa minum air yang mencukupi untuk mengelakkan dehidrasi.

Berikan mereka makanan yang berkhasiat untuk mengukuhkan sistem imun mereka.

4. Penjagaan Khas untuk Kanak-kanak Asma

Jika kanak-kanak mempunyai masalah pernafasan atau penyakit kronik seperti asma, pastikan mereka sentiasa mengambil ubat-ubatan yang telah ditetapkan oleh doktor. berjumpa dengan doktor untuk nasihat lanjut.

5. Penjagaan Kesihatan

Pastikan kanak-kanak mendapat makanan berkhasiat yang membantu memperkukuhkan sistem imun mereka. Ini termasuk makanan yang mengandungi vitamin C, vitamin E, dan antioksidan.

Penting untuk Mama Papa memantau IPU jerebu di kawasan Mama Papa dan sentiasa mengikuti arahan dari pihak berkuasa tempatan dan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk melindungi kanak-kanak dan kesihatan keluarga Mama Papa.

Mama Papa jangan lupa terangkan kepada anak-anak mengenai bahaya jerebu dan kenapa mereka perlu mengambil langkah-langkah berjaga-jaga. Selalu ingatkan mereka untuk sentiasa mendengar arahan guru ketika di sekolah.


Mama nak buat resepi popia goreng inti kentang tapi tak tahu? Klik di SINI.