KelabMama

Batuk Kering | Beri Perhatian Jika Anak Asyik Batuk

Sering kali anak-anak kita batuk-batuk, demam dan selsema. Ada masa mungkin jangkitan yang dialami mereka merupakan jangkitan yang biasa. Batuk sikit, demam sikit, “Biasalah tu, kurang air lah tu.” Tapi, Mama tahu tak apa akan berlaku jika anak Mama dijangkiti batuk kering atau Tuberkulosis (TB) ini? Ikuti perkongsian Dr Amirul Amzar mengenai jangkitan TB, khusus untuk golongan antivaksin.

Apa itu Batuk Kering/Tuberkulosis (TB)?

Tuberkulosis (TB) ataupun batuk kering adalah disebabkan oleh jangkitan bakteria Mycobacterium tuberculosis. Bakteria ini boleh menjangkiti pelbagai organ namun lebih kerap menjangkiti paru-paru. Oleh sebab itu jangkitan ini terbahagi kepada dua; pulmonary TB ataupun jangkitan TB pada paru-paru, dan juga extrapulmonary TB iaitu jangkitan pada organ selain paru-paru. Organ lain yang biasa dijangkiti kuman TB ini termasuklah kelenjar, sistem pencernaan, tulang belakang dan selaput otak.

Jangkitan selaput otak akibat kuman ini; Tuberculous Meningitis adalah jangkitan yang serius terutama pada kanak-kanak. Kadar kematiannya adalah setinggi 20% dan lebih separuh kanak-kanak yang mengalami jangkitan ini mendapat komplikasi kecacatan otak kekal. Insiden jangkitan ini adalah tinggi dalam populasi yang mempunyai jangkitan TB yang tinggi.

Kanak-kanak di Malaysia dilindungi dari jangkitan selaput otak kuman TB ini melalui vaksinasi BCG. Vaksin ini diberikan sewaktu lahir. Insiden kuman TB di negara kita masih lagi tinggi akibat pelbagai faktor. Sebab itu ia diperlukan.

Salah satu puncanya, disebabkan migrasi pekerja warga asing dan juga perkembangan sektor pelancongan. Oleh itu, adalah penting bagi mereka yang mengalami tanda-tanda TB mendapatkan ujian pengesanan awal.

Tanda-tanda Jangkitan TB pada Paru-paru

  1. Batuk berpanjangan
  2. Batuk berdarah
  3. Kurang selera makan
  4. Kurang berat badan
  5. Demam terutama waktu malam
  6. Berpeluh-peluh pada waktu malam

Siapa yang Berisiko Dijangkiti TB?

Risiko untuk mendapat jangkitan ini lebih tinggi jika anda:

1. Kurang daya tahan imuniti – kencing manis, jangkitan HIV dengan rawatan suboptimum, kanak-kanak (sebab itu vaksin diutamakan pada kanak-kanak), dan pesakit kanser yang mengambil kemoterapi.
2. Anda bergaul dengan warga asing sama ada secara sosial atau di tempat kerja.
3. Anda baru balik dari negara yang tinggi situasi jangkitan TBnya – India, Indonesia, Filipina, China, Pakistan, Nigeria dan Afrika Selatan.

Ujian Saringan TB

  1. Mantoux test – ujian bagi mengesan kehadiran jangkitan TB dalam badan. Suntikan protein kuman TB yang telah disaring akan dilakukan pada kulit. Sekiranya anda mempunyai jangkitan TB, antibodi yang terhasil akibat jangkitan tadi akan bertindakbalas dengan suntikan tadi dan menghasilkan tanda merah pada kawasan suntikan. Ukuran kawasan merah itu akan diambil selepas 72 jam suntikan dilakukan. Sekiranya melebihi julat normal, anda berkemungkinan dijangkiti TB.
  2. Sampel kahak akan diambil untuk dilihat dibawah mikroskop dan juga untuk kultur.
  3. X-ray paru-paru juga akan dilakukan bagi mengenalpasti jangkitan TB pada paru-paru.

Betul ke TB Tak Boleh Dirawat? -SALAH!

Menurut Dr Amirul Amzar, antara salah faham masyarakat berkaitan TB adalah ianya sejenis penyakit terminal yang tidak boleh dirawat. Ianya adalah SALAH sama sekali!

Rawatan dengan ubat antiTB boleh menyembuhkan jangkitan TB. Tuberkulosis boleh dirawat. Namun tanpa rawatan, ia boleh menjadi serius hingga meragut nyawa, terutama pada kanak-kanak. Maka pencegahan itu adalah langkah terbaik.

Rawatan untuk TB paru-paru perlu diambil selama 6 bulan (2 bulan gabungan 4 ubat + 4 bulan gabungan 2 ubat). Ini adalah terapi umum (first line) untuk rawatan TB. Sekiranya kuman TB itu menunjukkan kerintangan terhadap ubat tersebut, ubat akan ditukar.

Oleh itu, amatlah penting bagi seseorang yang dimulakan ubat antiTB bagi memastikan kerintangan tidak berlaku. Rawatan perlu diselesaikan selama 6 bulan bagi TB paru-paru dan 9 bulan atau lebih bagi TB selain paru-paru.

Pengambilan ubat TB mempunyai risiko kesan sampingan yang amat kecil. Risiko-risiko ini akan dipantau rapi oleh doktor yang memulakan ubatan. Jika kesan sampingan serius berlaku, ubat itu akan digantikan dengan ubat lain (second line). Namun jangka masa rawatan masih perlu disempurnakan bagi memastikan kuman itu benar-benar terhapus.

“Jangan terpedaya dengan dakyah Antivaksin!”

Dr Amirul Amzar dalam status yang dikongsikannya turut menyarankan ibu bapa agar tidak terpedaya dengan golongan antivaksin!

Pesan Mama Siti

Mama Siti harap Mama dan Papa semua faham betapa pentingnya vaksin-vaksin yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Janganlah buat endah tak endah je suntikan vaksin yang diperlukan anak-anak. Ianya menjamin kesihatan mereka juga dalam jangka masa panjang.