KelabMama

BAHAGIAN MUKA IBU KEGEMARAN BAYI BARU LAHIR

Bayi anda yang baru lahir mungkin kelihatan mengerekot dengan tangan dan kakinya belum betul-betul lurus. Ini adalah normal, dan tangan dan kakinya akan melurus apabila dia bertambah selesa dengan keadaan di luar perut anda. Jika kakinya kelihatan melengkung bengkok, jangan bimbang. Ini adalah sebahagian proses meregang dan akan membetul dengan sendirinya apabila dia berusia lima atau enam bulan.

 

                Menjelang akhir bulan, bayi anda akan dapat mengangkat kepalanya untuk seketika apabila dia berbaring atas perutnya dan mungkin boleh memusingkan kepala dari sisi ke sisi. Pergerakan yang tersentak-sentak akan menjadi lebih lancar apabila sistem urat sarafnya menjadi lebih matang. Namun begitu, refleksnya yang masih primitif, seperti menghisap dan mengunyahkan tangannya, masih dominan. Bayi baru lahir masih sedang mengubahsuaikan diri kepada dunia baru yang sangat berbeza daripada keadaan dalam rahim yang selesa hangat dan selamat, dan inilah sebabnya kebanyakan bayi amat gemarkan bedungan, dibalut selamat dalam selimutnya.

                Harus diingat bahawa setiap bayi adalah unik dan akan mencapai peringkat-peringkat pencapaian fizikalnya mengikut masa dan jadual mereka tersendiri. Semua di atas hanya merupakan garis panduan am mengenai potensi yang boleh dicapai oleh bayi anda, jika bukan sekarang, mungkin tidak lama lagi.

 

Bayi Baru Lahir Sentiasa Kelaparan

                Makanan adalah perkara yang amat penting dalam kehidupan bayi baru lahir, dan tidur adalah yang kedua penting. Kebanyakan bayi baru lahir akan menyusu dua atau tiga jam sekali siang dan malam.

                Pola tidur bayi seperti itu juga. Kebanyakan bayi baru lahir tidur sejumlah 16 hingga 17 jam dalam masa 24 jam, tetapi ini meliputi jumlah tidur yang tidak panjang masanya sebanyak lebih kurang lapan kali. Menjelang akhir bulan, bayi anda akan dapat menunjukkan satu pola menyusu dan tidur yang agak tetap. Namun begitu, anda mungkin tidak mendapati sebarang pola yang tetap untuk beberapa bulan lagi.

 

Menangis Merupakan Komunikasi Bayi

                Ketika ini juga bayi anda belum lagi menunjukkan sebarang personaliti atau apa yang kita boleh kenali sebagai personaliti. Tetapi dia giat mengekspresikan dirinya dengan cara yang paling diketahuinya menangis. Dia menghabiskan masanya dengan melalui dan merentasi beberapa alam mengantuk, berjaga senyap dan berjaga aktif.

                Bayi baru lahir juga akan menjadi senyap dan tenang apabila anda bercakap dengannya dengan suara lembut dan apabila anda menegakkan badannya. Dia mungkin juga mengeluarkan bunyi “ah” apabila dia mendengar suara anda dan melihat muka anda. Kebanyakan bayi suka dipeluk, dibelai, dicium, diusap, diurut dan didukung. Sentuhan adalah cara penting bagi anda berkomunikasi dengan bayi anda.

 

Bahagian Muka Anda Kegemaran Bayi

                Penglihatan bayi anda masih kabur dan samar-samar. Muka anda adalah yang paling menarik baginya pada masa ini, selain dari objek yang berkontras. Inilah sebabnya mainan hitam dan putih, dan mainan gantungan dikenalkan. Sebenarnya, jangkauan penglihatan bayi baru lahir hanya dalam lebih kurang 30cm. Dalam erti kata lain, bayi anda dapat melihat muka orang yang mendukungnya dengan jelas, tetapi tak boleh nampak lebih jauh dari itu.  Kajian menunjukkan bahawa bayi lebih suka melihat muka orang daripada lain-lain pola atau warnaan. Oleh itu, letakkan muka anda berhampiran dengan dengan bayi anda supaya dia boleh mengkaji raut muka, hidung, mata dan mulut anda, dan bercakaplah dengannya.

 

Pembelajaran Bayi Bermula Dengan Serta-Merta

                Anda mungkin memerhatikan ada masa tertentu di mana bayi anda yang baru lahir itu senyap dan berjaga. Ini adalah masa yang prima untuk pembelajaran. Gunakan masa-masa ini untuk bermain dan bercakap dengan bayi anda. Tetapi, jika anda cuba berinteraksi dengannya dan dia tidak begitu responsif, dia mungkin terlalu mengantuk atau telah berganjak masuk ke alam berjaga aktifnya.  Bayi anda akan menunjukkan yang dia dirangsang berlebihan dengan menguap, mengalih pandangannya, melengkuk badannya, memusing kepalanya, meragam atau menangis. Dia juga akan memberitahu anda apa yang disukainya, dan percayalah, anda akan memahami isyarat-isyaratnya dalam sedikit masa sahaja.

 

Perkembangan Bayi Pramatang

                Dan sekiranya bayi anda dilahirkan pramatang, anda mungkin mendapati bahawa dia memerlukan masa yang lebih lama untuk melakukan sesuatu yang telah dapat dilakukan oleh bayi sama usia dengannya. Sebab itu, kebanyakan bayi yang dilahir pramatang diberi dua kiraan usia oleh pakar pediatrik – usia mengikut kronologi (dikira dari tarikh lahir) dan usia yang diubahsuai (dikira dari tarikh dia dijangka lahir). Anda harus mengukur perkembangan bayi anda berdasarkan usia yang telah diubahsuai, bukan usia kronologinya. Jangan bimbang, kebanyakan doktor menilai perkembangan bayi pramatang berpandukan tarikh dia sepatutnya dilahirkan dan menilai tahap pencapaian kemahirannya dari tarikh itu.