KelabMama

Baby Carrier: Bahaya Guna Ketika Berlari

Baby carrier memang memudahkan mama berlari atau berjogging tapi tahukah mama berlari dengan baby carrier adalah satu tindakan yang boleh membahayakan diri mama sendiri serta si manja? Mungkin tak nampak sekarang mungkin di masa akan datang. Atau sesuatu yang tak diingini berlaku semasa mama sedang berlari?

Jom kita baca penjelasan dari seorang doktor tentang isu berlari dengan baby carrier yang mama perlu tahu. Lepas ni confirm mama akan fikir banyak kali dulu sebelum berlari dengan baby carrier 🙂

BERLARI DENGAN BABY CARRIER

Anda bersemangat untuk mengamalkan gaya hidup aktif, lalu anda mengambil larian sebagai aktiviti pilihan. Namun anda ada anak. Siapa yang akan jaga mereka? Oh senang! bawa mereka bersama. Tapi bagaimana? Anda terfikir yang anda baby carrier atau baby sling. Mungkin ini masanya untuk memanfaatkannya? Persoalannya, adakah berlari dengan baby carrier/ baby sling itu selamat?

Jawapan mudahnya TIDAK. Kenapa?

Kita perlu mengetahui bahawa baby carrier mahupun baby sling dibuat supaya bayi mahupun kanak-kanak boleh dibawa dalam keadaan kita berdiri atau berjalan. Satu keadaan di mana kanak-kanak tersebut tidak banyak bergerak ketika dalam kendongan. Namun, larian merupakan aktiviti yang melibatkan banyak pergerakan berbeza dengan berjalan. Ketika larian, badan kita lebih banyak mengunakan kekuatan otot, lebih banyak memerlukan keseimbangan dan lebih banyak melibatkan sendi.

Berlari melibatkan keadaan di mana badan kita perlu menyeimbangkan diri dengan satu kaki, ada ketika juga, badan kita terapung dengan kedua-dua kaki tidak menjejak tanah. Berlari juga melibatkan tenaga elastic dari bahagian bawah badan ke atas badan. Ketika kaki menyentuh tanah pula terdapat daya impak ke atas badan yang boleh mencecah 250% berat badan kita sendiri.

BANYAK RISIKO

Semua ini akan mendedahkan kanak-kanak kepada banyak risiko, pergerakan atas bawah (sagital movement) mahupun pergerakan tepi (rotational movement) akan menyebabkan badan bayi digoncang seterusnya memberikan risiko untuk shaken baby syndrome (keadaan apabila otak bayi digoncang). Impak daripada larian juga mendedahkan tulang belakang dan sendi mereka yang belum tubuh lengkap kepada kecederaan.

Ini belum lagi risiko kepada ibu bapa itu sendiri, ketika anda mengendong kanak-kanak, pusat graviti anda berubah, badan anda juga memerlukan lebih pergerakan dan tenaga untuk mengimbangkan badan. Anda lebih berisiko untuk jatuh dan sekiranya jatuh dan anak anda dihempap, mereka berisiko untuk mengalami kepatahan tulang.

Sekiranya anda ingin membawa kanak-kanak semasa berlari, gunakanlah jogging stroller. Sekiranya masih mahu bersenam mengunakan baby carrier, pilih senaman yang sesuai seperti berjalan, hiking, stretching, lunge dan lain-lain. Google sahaja, anda akan dapat banyak senaman yang sesuai mengunakan baby carrier.

SISTEM BERGILIR-GILIR

Saya juga ada anak dan orang rumah saya juga merupakan pelari, ultramarathoner yang kena buat LSD 30km setiap hujung minggu lagi. Kebiasaannya kami bergilir, siapa yang perlu menjaga anak. Kalau pagi dia berlari, saya akan berlari petang/malam. Kalau minggu ini dia ada event, maka saya akan ambil event minggu yang lain. Kalau kedua-dua kami kena pergi event yang sama, kami tinggalkan dengan adik-beradik kami. Kalau kedua-dua kami mahu pergi ke taman bersama-sama, kami buat interval, satu loop salah seorang akan lari, satu loop lagi salah seorang kena rest dan jalan dengan anak.

Semua benda boleh bawa bincang. Yang penting jaga keselamatan diri dan yang tersayang.

Marathoner anda
Dr Fadly Khairie
Doktor Kesihatan Awam
#runwithm3

Sumber : Fadly Khairie

BACA JUGA ISU BABY CARRIER: BOLEH KE GENDONG ANAK MENGHADAP KE DEPAN?

PESAN MAMA SITI

Mama Siti faham bila ada anak kecil ni pergerakan kita terbatas. Apetah lagi nak berjogging/berlari. Terpaksa bawa anak kecil sekali. Tapi jangan sebab kepentingan diri sendiri sampai mama tak ambil kira keselamatan si manja. Bersukan tu bagus tapi dengan menggunakan baby carrier tu bukanlah tindakan yang sesuai. Berbincanglah dengan encik suami untuk gilir-gilir menjaga anak sementara mama berlari/berjogging ye!

  1. Kenapa bahaya guna baby carrier / baby sling ketika berlari?

    Ia akan mendatangkan banyak risiko kepada anak, pergerakan atas bawah (sagital movement) mahupun pergerakan tepi (rotational movement) akan menyebabkan badan bayi digoncang seterusnya memberikan risiko untuk shaken baby syndrome (keadaan apabila otak bayi digoncang).

  2. Adakah ia juga boleh mendatangkan risiko kepada papa/mama?

    Ya kerana ketika mama/papa mengendong kanak-kanak, pusat graviti mama/papa berubah, badan mama/papa juga memerlukan lebih pergerakan dan tenaga untuk mengimbangkan badan. Mama/papa lebih berisiko untuk jatuh dan sekiranya jatuh dan anak dihempap, mereka berisiko untuk mengalami kepatahan tulang.

  3. Bagaimana kalau terpaksa membawa anak bersama ketika berlari/jogging?

    Sekiranya mama/papa ingin membawa anak semasa berlari, gunakanlah jogging stroller.