KelabMama

AWASI PENYAKIT BERJANGKIT DI TASKA ANAK ANDA

HARI ini sekiranya kita berbicara mengenai bayi atau pun kanak-kanak, antara perkara yang paling dikhuatiri ialah tentang keselamatan mereka ketika berada di pusat jagaan atau taman asuhan kanak-kanak (taska). Bukan tidak mempercayai kredibiliti para pekerja pusat jagaan yang ditugaskan untuk menjaga kanak-kanak atau bayi yang diamanahkan, tetapi cerita-cerita mengenai kemalangan yang berlaku di taska dari semasa ke semasa sedikit sebanyak membuatkan hati ibu bapa dilanda kebimbangan.

Sebenarnya, selain kemalangan kanak-kanak yang dihantar ke pusat jagaan atau taman asuhan kanak-kanak (taska) juga terdedah kepada pelbagai penyakit berjangkit yang dibawa daripada kalangan penghuninya. Walaupun sedar tentang risiko tersebut, bagi ibu bapa yang bekerjaya, mereka tiada pilihan dan apa yang mampu dilakukan hanya mengharapkan agar perkara tidak diingini itu tidak berlaku kepada anak mereka.

Antara penyakit berjangkit yang sering dihidapi oleh kanak-kanak di pusat jagaan ialah penyakit telinga seperti otitismedia. Didapati secara keseluruhan 13 hingga 15 peratus kanak-kanak berumur antara tiga hingga enam tahun akan dijangkiti penyakit berjangkit tersebut. Tidak dinafikan kanak-kanak yang dihantar ke pusat jagaan berisiko tinggi dan mudah untuk mendapat penyakit berjangkit, malah angkanya semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Berbanding tekak dan hidung, kanak-kanak ini lebih mudah dijangkiti penyakit telinga. Perlu diingatkan kepada ibu bapa bahawa penyakit ini boleh mengakibatkan kesan jangka panjang kepada kanak-kanak tersebut. Oleh yang demikian, ibu bapa yang menghantar anak masing-masing ke pusat jagaan perlulah memantau kesihatan anak mereka dan sekiranya mengesan sesuatu yang aneh segeralah berjumpa doktor.