KelabMama

AWAS! ANAK MAMA MUNGKIN DIDERA KALAU ADA TANDA-TANDA INI

Terlalu banyak kes dera di taska/ tadika kini sampai buatkan mama jadi takut nak hantar anak ke taska/ tadika kan? Tapi disebabkan tuntutan kerja, nak tak nak mama kena juga hantar anak ke taska/ tadika. Walaupun dalam hati mama resah gelisah memikirkan keadaan anak mama.

Ada juga mama yang letak 100% kepercayaan pada taska/tadika dalam menjaga anak kerana mama kenal atau baik dengan mama. Tapi harus mama ingat, walaupun mama hantar anak pada orang yang mama percaya sekalipun belum tentu dia akan jaga anak mama dengan baik. Mama Siti bukan nak kata semua tak boleh dipercayai tapi lebih baik berhati-hati sebelum kejadian yang tak diingin terjadi.

TANDA-TANDA ANAK KENA DERA DI TASKA/TADIKA

Mama kena ALERT kalau anak mama ada tanda-tanda ni. Anak-anak tak mungkin dapat pertahankan diri mereka bila didera. Jadi kita sebagai ibu bapalah yang kena main peranan dan peka dengan perubahan yang berlaku pada anak. Jom kita tengok tanda-tanda jika anak mama didera.

#Anak tiba-tiba berubah perangai

#Anak tiba-tiba menjadi sangat patuh atau sangat memberontak

#Anak kelihatan sangat takut pada pengasuhnya

#Ada lebam-lebam dan luka atau kecederaan yang di luar kebiasaan

#Perkembangan anak terganggu

#Anak sering mimpi buruk

Kalau anak mama ada tanda-tanda seperti ini cepat-cepatlah ambil tindakan yang sepatutnya. Jangan dibiarkan nanti lama-lama ia akan mendatangkan kesan yang negatif pada anak-anak.

TIPS MEMILIH TASKA/TADIKA TERBAIK UNTUK ANAK MAMA

Khas untuk mama yang baru bercadang untuk hantar anak ke taska/tadika tapi masih dibelenggu kerisauan tentang keselamatan anak-anak, ini tips untuk mama!

1) Pastikan taska yang mama pilih itu berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan tadika pula dengan Jabatan Pelajaran –jumpa pengusaha taska dan minta dia tunjukkan sijil dan dokumen berkenaan

2) Pemilik taska tinggal ditempat berkenaan dan bukannya bekerja ditempat lain dan gajikan orang lain untuk jaga anak-anak. Kalau berlaku apa-apa kecemasan pekerja mereka akan call pemilik terlebih dahulu, jika pemilik tinggal jauh, macam-macam perkara boleh terjadi kepada anak-anak pada masa tersebut

3) Kena pastikan juga cara mereka tidurkan anak-anak, ada sesetengah taska yang bagi ubat tidur atau meletakkan kain untuk menutup mata anak-anak supaya mereka cepat tidur

4) Kebersihan dan susun atur perabot yang selamat untuk bayi dan kanak-kanak – masuk sendiri untuk tengok keadaan dalam taska

5) Sebagai ibu bapa , kita kena buat spot check kadang-kadang, bagi alasan hendak menyusukan anak pun boleh, masa tersebut boleh kita tengok apa-apa yang menjadi tanda tanya kepada kita sebelum ini tentang pengurusan taska itu

6) Akhlak dan tatacara penjaga di taska hendaklah baik, mesra, peramah dan penyayang. Di sini kita boleh lihat pengalaman dan minat ikhlas mereka untuk menjaga anak-anak

7) Perhatikan keadaan anak-anak kita semasa kita ingin menghantar mereka ke tempat tersebut,jika mereka menangis dan takut-takut maka kita kenaberjaga-jaga takut anak kita menjadi magsa dera.

8) Jika ada anak yang dah besar dan faham, boleh tanya mereka seronok tak tinggal kat taska,makan apa hari ini, penjaga taska baik ker dan macam-macam soalan bagi anak-anak bercerita kepada kita.

9) Operasi kebersihan yang dilakukan – misalnya sekali seminggu taska dinyah kuman. Tengok juga dapur dan tandas taska tersebut.

10) Makanan yang disediakan adalah yang berkhasiat dan tidak berkongsi bekas makanan dengan anak-anak lain.

11) Program yang dilaksanakan sesuai untuk perkembangan bayi.Jika anak-anak dah besar sedikit ada juga diselitkan dengan kelas fardu ain seperti menghafal doa, baca Iqra, belajar wuduk, azan dan solat.Adanya unsur yang mementingkan nilai-nilai moral dan Islamik.

12)Bayaran yuran-bertanya dengan sejelasnya dan kalau memungkinkan boleh tawar menawar jika yurannya terlalu mahal. Buat perbandingan dengan pusat jagaan lain. Tanyakan juga bayaran lebih masa jika kita lambat mengambil anak.

Semoga bermanfaat!

Sumber: Dr.Taufiq Razif & friscomedia