Sempena Hari Susu Sedunia, ATLAS Vending, cabang perniagaan mesin layan diri Etika Sdn Bhd, hari ini melancarkan ‘ATLAS Nutri Aid’ di The Goodday Milk Factory, Petaling Jaya. Dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dan Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS), inisiatif tanggungjawab sosial korporat ini bertujuan menangani isu jurang nutrisi dalam kalangan murid sekolah rendah daripada keluarga kurang berkemampuan.
ATLAS Nutri Aid memanfaatkan teknologi mesin layan diri pintar bagi menyediakan akses harian yang konsisten kepada susu berkualiti tinggi secara percuma untuk pelajar yang memerlukan.
Bagi kebanyakan kanak-kanak dalam komuniti B40 di Malaysia, akses kepada zat makanan harian yang mencukupi kekal menjadi cabaran kritikal yang sering kali terlepas pandang. Melalui inisiatif ini, khasiat berasaskan tenusu bukan sahaja dapat disediakan, malah disalurkan secara berterusan dalam persekitaran sekolah dan komuniti yang selamat.
Pelancaran rasmi ini menyusuli kejayaan program perintis di beberapa sekolah terpilih yang mencatatkan kadar penglibatan murid yang tinggi serta kelancaran transaksi yang lebih baik. Berikutan maklum balas yang memberangsangkan itu, program ini akan diperluaskan menerusi penempatan 10 mesin layan diri ATLAS Nutri Aid di sekolah-sekolah yang terpilih.
Inisiatif ini turut disokong rapat oleh YRMS yang memainkan peranan penting dalam aspek pembiayaan, penyelarasan komuniti, dan proses mengenal pasti penerima yang layak bagi memastikan bantuan yang disalurkan sampai kepada kumpulan sasar dan kanak-kanak yang lebih memerlukan.
ATLAS Nutri Aid diasaskan atas komitmen padu untuk menangani cabaran kesihatan kompleks dalam kalangan golongan muda di Malaysia, khususnya isu kelaparan tersembunyi (hidden hunger) serta masalah tumbesaran terbantut yang semakin membimbangkan. Situasi kritikal ini menandakan isu kesihatan awam yang serius, ditambah pula dengan kajian SEANUTS II yang menunjukkan lebih daripada 70% kanak-kanak tidak mencapai tahap pengambilan harian Kalsium dan Vitamin D yang disyorkan.
Di sebalik peningkatan kos sara hidup, kebanyakan keluarga B40 berdepan cabaran besar untuk menyediakan hidangan seimbang buat anak-anak sehinggakan kadar kelaparan kanak-kanak dilaporkan mencecah 58.4% di beberapa kawasan bandar berpendapatan rendah.
Memahami kesukaran ini, program ATLAS Nutri Aid membekalkan susu paket Goodday Charge Milk setiap hari persekolahan secara percuma melalui mesin layan diri khas ini. Sebagai jenama susu di bawah portfolio Etika Sdn Bhd, Goodday Charge dirumus unik dengan 10 nutrien penting yang saling melengkapi bagi memulihkan tenaga, menyokong kesihatan tulang, serta membantu fungsi kognitif demi tumbesaran fizikal dan mental kanak-kanak.
“Bagi kebanyakan keluarga, memastikan pemakanan harian anak-anak sentiasa terjamin merupakan satu cabaran besar, dan kekangan ini tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada potensi tumbesaran mereka,” kata Hemalatha Ragavan, Ketua Pegawai Eksekutif Etika Sdn Bhd & Eksport Antarabangsa.
“Melalui ATLAS Nutri Aid, kami memastikan setiap kanak-kanak mendapat akses kepada keperluan asas seperti susu pada setiap hari persekolahan. Dengan menggabungkan inovasi teknologi dan misi sosial yang jelas, kami mampu menyalurkan nutrisi secara konsisten, bermaruah, dan berimpak tinggi. Usaha ini secara tidak langsung membantu meningkatkan kadar kehadiran ke sekolah, sekali gus memastikan generasi masa depan kita tidak tercicir daripada peluang keemasan untuk menimba ilmu.”
Berasaskan rangka kerja Hygiene Aid, ATLAS Nutri Aid memanfaatkan teknologi mesin layan diri pintar milik ATLAS Vending bersama sistem kad “tap-and-go” bagi membolehkan murid yang layak menerima bekalan nutrisi harian secara tersasar, telus dan sistematik.
Kad tersebut diselaraskan dengan kalendar persekolahan bagi memastikan agihan hanya dibuat pada hari persekolahan, sekali gus mengelakkan penyalahgunaan dan pengagihan yang tidak terkawal. Pendekatan berasaskan data ini membolehkan ATLAS Vending memantau keberkesanan program secara lebih menyeluruh, di samping memberikan pengalaman yang lebih bermaruah, mudah dan berdikari kepada para murid.
Muhammad Syazwan Bin Mohd Daut, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) berkata, “Misi kami di YRMS sentiasa tertumpu kepada usaha memangkin potensi golongan muda. Pemakanan yang seimbang merupakan asas utama kepada keupayaan seorang kanak-kanak untuk belajar, memberikan tumpuan, dan berkembang maju di sekolah. Melalui ATLAS Nutri Aid, kami bukan sekadar menyediakan nutrisi harian, malah kami bersama-sama meruntuhkan tembok halangan terhadap akses pendidikan. Langkah ini sekali gus memberikan kanak-kanak tenaga dan peluang yang saksama untuk mengejar impian mereka.”
Inisiatif ATLAS Nutri Aid mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat dalam memacu tumpuan optimum murid di dalam bilik darjah serta menyokong perkembangan fizikal generasi masa depan. Dengan menyediakan sumber nutrisi yang konsisten, program ini bukan sahaja berkesan merapatkan jurang kritikal dalam isu kesihatan kanak-kanak, malah menjadi sistem sokongan penting buat keluarga yang menghadapi tekanan ekonomi.
ATLAS Nutri Aid dibina berasaskan satu kepercayaan utuh bahawa setiap kanak-kanak berhak mendapat peluang yang saksama untuk membesar, belajar, dan berkembang maju, yang pastinya bermula dengan pemakanan yang sempurna.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta petua yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak Kelab Mama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Dapatkan lebih banyak tips tentang keibubapaan untuk Mama Papa DI SINI!
