KelabMama

ANDA KAKI SHOPPING? AWAS! JANGAN SAMPAI MENDERITA

Golongan wanita sering kali dikaitkan dengan sikap suka membeli-belah secara tidak terkawal hingga boleh menyebabkan mereka terjerumus ke dalam bebanan hutang besar.Kata pepatah Barat, ‘shop till you drop’ dan ‘keeping up with Jonesses’, sudah cukup menggambarkan sikap segelintir yang gemar membeli-belah untuk memenuhi nafsu selain mahu menunjukkan kemampuan masing-masing. Pada masa sama, sifat materialistik yang ada dalam diri kebanyakan wanita yang diklasifikasikan sebagai ‘shopaholic’ atau ‘kaki shopping’ terus subur mekar dengan kewujudan begitu banyak medium membeli-belah, sama ada secara fizikal ataupun maya dengan hanya menekan kekunci gajet.

Kemudahan membeli-belah yang terlalu banyak tidak membantu golongan itu terutama di kawasan Lembah Klang. Malah kemudahan kad kredit dan kad debit juga memberi galakan kepada golongan ‘kaki beli’ untuk memburu pelbagai barangan terutama yang berjenama bagi menunjukkan kuasa beli masing-masing tanpa memikirkan kesannya di kemudian hari. Tidak semestinya keluar rumah, di rumah juga terdapat kemudahan membeli-belah secara atas talian dan ini sememangnya menggalakkan sikap materialistik dalam kalangan pembeli yang semakin menjadi-jadi. Golongan wanita lebih mudah menjadi ‘kaki shopping’ kerana mereka suka membeli-belah bukan saja untuk diri sendiri, tetapi kerana orang lain seperti keluarga. Wanita juga mudah terpengaruh selain suka kepada sesuatu yang cantik dan ini kebiasaannya akan menyebabkan pengurusan kewangan mereka berada pada tahap sederhana. Sikap sesetengah wanita yang menjadikan aktiviti membeli-belah sebagai suatu terapi setiap kali berhadapan dengan tekanan tidak membantu aspek kewangan mereka.

Bagi golongan ‘kaki shopping’, golongan ini sukakan barangan berjenama dan harga tidak menjadi masalah biarpun terpaksa berhutang dan tidak mempunyai kemampuan untuk membayar balik. Yang menjadi masalahnya adalah barangan yang dibeli pada harga mahal itu bukanlah diperlukan sangat, cuma untuk rasa seronok sehingga menyusahkan diri sendiri. Sedangkan Islam menganjurkan sifat bersederhana dan kita pula kenalah faham mengapa kita mahu membeli sesuatu barang itu. Sifat golongan ‘shopaholic’ adalah mereka tidak mempunyai matlamat yang jelas, tetapi sekadar obses untuk menunjuk dan bagi mereka ‘biar papa, asal bergaya’. Ini adalah sejenis masalah psikiatri.

Statistik yang dikeluarkan Persatuan Pusat Beli-Belah Malaysia menunjukkan terdapat kira-kira 300 pusat membeli-belah di Malaysia dengan separuh daripadanya berada di kawasan Lembah Klang.Manakala menurut IBM Digital Analytics Benchmark, jualan runcit secara atas talian meningkat 10 peratus berbanding tahun sebelumnya. Pembelian menerusi telefon pintar dan tablet pula meningkat 46 peratus. Pada masa sama, menurut statistik daripada Paypal dan AC Nielsen, 1.1 juta rakyat Malaysia sanggup berbelanja dengan nilai purata RM2,461 untuk produk yang dijual secara atas talian.  Disebabkan sikap itulah, ramai diisytihar muflis kerana penggunaan kad kredit yang tidak terkawal.

Alasan muflis yang diberikan adalah 23 peratus mengatakan tidak tahu berapa banyak mereka berhutang manakala 33 peratus lagi mengaku lemah dalam pengurusan kewangan. Mereka selalunya terdiri daripada golongan muda antara usia 20 hingga 29 tahun. Ia jelas menggambarkan pengguna di Malaysia mempunyai kuasa beli yang tinggi dan ada kemungkinan peningkatan perbelanjaan ini juga banyak disumbang oleh sekumpulan pengguna yang digelar ‘shopaholic’. 90 peratus daripada mereka yang dikelaskan sebagai ‘shopaholic’ adalah wanita yang membeli mengikut naluri, tiada perancangan dan seakan ketagihan hingga membawa kepada masalah kewangan.

Antara ciri golongan itu adalah:

Cara untuk mengawal sikap ‘shopaholic’ adalah menerima hakikat diri mempunyai masalah, elak diri daripada berkunjung ke pusat beli-belah atau melayari laman beli-belah atas talian, jangan memasuki kedai yang mengadakan jualan murah, jangan bawa kad kredit mahupun tunai, bawa rakan sebagai peneman, dapatkan kaunseling atau buku bantu diri selain mendapatkan rawatan pakar.

 

 

 

Sumber: Ketua Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohamad Faz­li Sabri & Harian Metro