KelabMama

INI MAMA PERLU LAKUKAN APABILA SI KECIL TUMBUH GIGI

Telah menjadi tanggungjawab ibu bapa menjaga kesihatan mulut bayi sejurus selepas lahir. Walaupun bayi masih belum mempunyai gigi, dinasihatkan membersihkan gusi bayi dengan kain lembut dan basah dua kali sehari untuk membuang sisa susu dan juga menjaga kesihatan mukosa mulut bayi. Selain itu, ini ialah cara halus dan perlahan untuk memperkenalkan bayi dan membiasakan bayi anda dengan proses memberus gigi apabila giginya tumbuh kelak.

Gigi bayi akan mula tumbuh seawal umur enam bulan. Semasa proses tumbuh gigi, sudah semestinya bayi anda akan meragam kerana keadaan gusinya yang sakit dan tidak selesa serta membengkak. Ada juga bayi yang akan demam semasa proses tumbuh gigi ini, tidak berselera makan, tidak lena tidur, sering menangis serta air liurnya menjadi banyak dan meleleh keluar. Anda boleh legakan ketidakselesaan akibat tumbuh gigi ini dengan memberikan bayi anda benda lembut yang selamat untuk dikunyah dan buah-buahan seperti epal untuk dia menggeselkan gusinya yang tidak selesa. Keadaan ini akan berlalu apabila gigi tumbuh sepenuhnya.

BERSIHKAN GIGI JIKA ANAK KERAP MENYUSU

Apabila gigi telah tumbuh dan ada di dalam mulut, anda haruslah memberus gigi bayi anda dengan berus gigi yang lembut dan bersaiz kecil. Pada ketika bayi terlalu kecil dan tidak pandai meludah keluar, pilihlah ubat gigi tanpa flourida. Apabila anak anda sudah cukup besar dan pandai meludah keluar, tukarlah ubat giginya dengan ubat gigi berflourida bertujuan menguatkan gigi dan mengelakkan berlakunya karies gigi.

Karies gigi amat senang berlaku pada gigi susu jika tidak dijaga kebersihannya dengan optimum. Ini kerana gigi susu mempunyai enamel yang lebih nipis dan lebih cenderung terhakis. Jika kebersihan gigi tidak dijaga, plak yang terkumpul pada enamel akan mengeluarkan asid yang melembutkan struktur enamel tersebut seterusnya terjadilah karies gigi apabila enamel tersebut melembut dan pecah. Pada kanak-kanak yang menyusu botol, keadaan ini kerap berlaku pada kawasan gigi depan terutama jika anak tersebut menyusu botol pada waktu tidur. Air susu akan berkumpul dalam mulut seterusnya menyebabkan keadaan di panggil karies rampan.

GIGI SUSU TETAP PENTING!