KelabMama

Mama, Anak Kecil Anda Mungkin Rabun

Bagi kanak-kanak, pengesanan masalah gangguan fungsi penglihatan cukup penting kerana pada ketika inilah sistem penglihatan sedang berkembang dan sebarang gangguan akan menimbulkan masalah lain yang lebih serius. Bagi memastikan seseorang itu mempunyai bacaan optimum, mereka semestinya mempunyai tahap penglihatan 6/6 pada kedua-dua belah mata mereka. Kanak-kanak yang mempunyai tahap penglihatan 6/9 atau kurang dikategorikan sebagai mempunyai masalah penglihatan. Manakala mereka yang mempunyai tahap penglihatan kurang dari 6/18 pula dikategorikan sebagai penglihatan yang terhad.

Ambil Tahu Tahap Penglihatan Anak

Apabila anak-anak anda rabun dan memerlukan cermin mata, memang mereka memerlukannya! Jangan beranggapan bahawa mereka terlalu kecil untuk memakai cermin mata! Sekiranya terdapat gangguan penglihatan dan boleh diperbetul dengan memakai cermin mata walaupun penglihatan tidak dapat dibaiki sepenuhnya, tidak ada alasan untuk tunggu lagi. Usia sekecil mana sekali pun boleh belajar memakai cermin mata.

Bayi atau kanak-kanak yang didapati mengalami kemerosotan penglihatan dan hanya boleh dibaiki dengan cermin mata perlu memakai cermin mata secepat mungkin. Ibu bapa tidak perlu berasa kecewa apabila mendapati anak mereka perlu memakai cermin mata di usia muda (bayi atau anak kecil). Adalah dianggarkan 80-90% proses pembelajaran memerlukan penglihatan. Tahap penglihatan yang berkurangan boleh menjejaskan pembelajaran dan perkembangan tumbesaran.

Mengapa perlu memakai cermin mata?

Bayi atau kanak-kanak memerlukan cermin mata untuk membaiki rabun jauh, rabun dekat, astigmatism atau bagi sesetengah kes juling. Selain itu, cermin mata dapat mengelakkan daripada penglihatan menjadi lebih teruk serta mata malas.

Bilakah kanak-kanak rabun boleh mula memakai cermin mata?

Kanak-kanak boleh mula memakai cermin mata seawal umur 1 tahun. Bagi perkembangan bola mata yang sihat, imej yang jelas perlu terbentuk di retina mata.

Apa akan terjadi sekiranya tidak memakai cermin mata awal?

Perkembangan sistem penglihatan bayi dan kanak-kanak bermula dari lahir sehingga umur lebih kurang 8 tahun. Sekiranya bayi atau kanak-kanak mengalami rabun pada usia sebelum 8 tahun dan tidak diperbaiki dengan cermin mata, perkembangan penglihatan normal akan terjejas.

Adakah pemakaian cermin mata akan mengakibatkan penglihatan anak saya menjadi lebih teruk dan akan terlalu bergantung kepada pemakaian cermin mata?

Tidak. Pendapat sebegini tidak benar sama sekali. Sekiranya kanak-kanak tidak memakai cermin mata sepertimana yang dicadangkan, perkembangan penglihatan normal akan terjejas dan boleh mengakibatkan mata malas atau penglihatan terhad.

Adakah anak saya berkemungkinan memakai cermin mata sekiranya saya memakai cermin mata atas faktor keturunan?

Ya,sekiranya ibu bapa memakai cermin mata, anak anda juga mungkin memerlukan cermin mata

Bagaimana optometris menentukan tahap penglihatan dan kuasa cermin mata bagi golongan bayi dan kanak-kanak kecil?

Tidak dapat dinafikan bahawa adalah sukar untuk mengukur tahap penglihatan bayi atau kanak-kanak terutama di bawah umur 4 tahun. Walau bagaimanapun, optometris boleh menilai tahap penglihatan dan kuasa cermin mata secara objektif menggunakan peralatan tertentu.

Bilakah cermin mata perlu dipakai? Berapa kerap cermin mata perlu dipakai?

Bagi kebanyakan kes, kanak-kanak perlu memakai cermin mata sekerap mungkin. Kebanyakan kanak-kanak akan gemar memakai cermin mata apabila menyedari bahawa tahap penglihatan mereka jauh lebih baik dengan pemakaian cermin mata. Sekiranya kanak-kanak mendapati penglihatan mereka lebih baik dengan cermin mata,mereka akan sentiasa memakai cermin mata dan perkara pertama yang akan diminta pada awal pagi adalah cermin mata.

Bagaimana mengajar kanak-kanak menjaga cermin mata mereka?

Kanak-kanak perlu diajar menanggalkan cermin mata menggunakan kedua belah tangan dengan betul. Gunakan air dan sabun untuk membasuh cermin mata dan gunakan kain yang lembut untuk mengelapnya bagi mengelakkan calar pada kanta cermin mata. Bingkai cermin mata kanak-kanak perlu kerap dibaiki kedudukannya.

Tips sekiranya anak anda tidak mahu memakai cermin mata:

Tidak cukup dengan hanya mengatakan kanak-kanak kelihatan menarik dengan cermin mata. Ibu bapa perlu memberi komen mengenai warna cermin mata, bentuk cermin mata sesuai dengan bentuk muka dan personaliti kanak-kanak. Tanpa komen yang baik, kanak-kanak mungkin rasa malu atau sedih untuk memakai cermin mata

Sumber: Pensyarah Kanan Jabatan Optometris, Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Rokiah Omar & Utusan