“Eh, anak Mama berdengkur lah!”
Mungkin ada Mama yang terkejut apabila terdengar bunyi dengkuran halus daripada bilik anak Mama. Ada yang menganggap ia perkara biasa, malah ada yang rasa comel apabila anak kecil berdengkur seperti orang dewasa.
Tetapi sebenarnya, berdengkur dalam kalangan kanak-kanak bukan sesuatu yang boleh terus dianggap normal, terutamanya kalau berlaku dengan kerap.
Walaupun ada keadaan tertentu yang menyebabkan anak berdengkur untuk sementara waktu, seperti selesema atau hidung tersumbat atau dengkuran yang berulang setiap malam boleh menjadi petanda bahawa terdapat gangguan pada saluran pernafasan mereka ketika tidur.
Jadi, bagaimana Mama nak bezakan antara dengkuran yang biasa dan dengkuran yang memerlukan pemeriksaan doktor?
Kenapa Anak Boleh Berdengkur?
Secara mudahnya, berdengkur berlaku apabila aliran udara yang masuk dan keluar melalui saluran pernafasan tidak lancar. Apabila laluan udara menjadi sempit atau sebahagiannya terhalang, tisu di sekitar tekak akan bergetar semasa anak bernafas. Getaran inilah yang menghasilkan bunyi dengkuran.
Dalam kalangan kanak-kanak, terdapat beberapa punca yang sering menyebabkan keadaan ini berlaku.
1. Hidung Tersumbat Akibat Selesema atau Alahan
Ini merupakan penyebab paling biasa. Apabila anak mengalami selesema, resdung atau alahan, saluran hidung akan menjadi sempit akibat keradangan dan pengumpulan lendir. Keadaan ini menyebabkan mereka sukar bernafas melalui hidung lalu beralih kepada pernafasan melalui mulut ketika tidur.
Apabila udara tidak mengalir dengan lancar, bunyi dengkuran boleh berlaku. Biasanya, dengkuran jenis ini akan berkurangan atau hilang selepas anak sembuh daripada selesema atau alahan tersebut.
2. Tonsil dan Adenoid Membesar
Mama tidak menyedari bahawa tonsil dan adenoid yang membesar boleh menjadi punca utama anak berdengkur.
Tonsil terletak di bahagian belakang tekak, manakala adenoid berada di belakang rongga hidung. Apabila kedua-duanya membesar, ruang untuk udara melalui saluran pernafasan menjadi lebih sempit. Akibatnya, anak mungkin berdengkur setiap malam walaupun mereka tidak mengalami selesema.
Keadaan ini lebih kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia antara tiga hingga lapan tahun kerana pada usia ini, tisu adenoid dan tonsil biasanya lebih besar.
3. Berat Badan Berlebihan
Walaupun tidak berlaku kepada semua kanak-kanak, berat badan berlebihan juga boleh meningkatkan risiko berdengkur. Ini kerana lebihan tisu lemak di sekitar leher dan saluran pernafasan boleh menyebabkan laluan udara menjadi lebih sempit ketika tidur.
Apabila saluran pernafasan semakin sempit, usaha untuk bernafas menjadi lebih sukar dan bunyi dengkuran lebih mudah berlaku.
4. Saluran Pernafasan yang Sempit
Sesetengah kanak-kanak dilahirkan dengan struktur hidung, rahang atau saluran pernafasan yang lebih sempit berbanding biasa. Walaupun keadaan ini tidak semestinya berbahaya, ia boleh menyebabkan mereka lebih mudah berdengkur terutamanya ketika tidur dalam posisi tertentu.
Apa Tanda-tanda Mama Perlu Alert?
Sekali-sekala berdengkur ketika selesema biasanya tidak membimbangkan. Tapi, kalau anak Mama selalu berdengkur setiap malam, Mama perlu perhatikan sama ada anak menunjukkan tanda-tanda seperti:
- Dengkuran yang kuat dan berpanjangan.
- Kerap bernafas melalui mulut.
- Kelihatan seperti berhenti bernafas beberapa saat ketika tidur.
- Tidur gelisah dan sering berubah posisi.
- Mudah mengantuk pada waktu siang.
- Sukar fokus atau mudah meragam.
Tanda-tanda ini mungkin menunjukkan anak mengalami Obstructive Sleep Apnea (OSA), iaitu keadaan di mana saluran pernafasan tersumbat berulang kali ketika tidur.
Walaupun ia kedengaran menakutkan, tapi masih ada Mama yang tidak menyedari masalah ini kerana ia berlaku ketika anak sedang tidur. Sebab itu Mama Papa perlu berikan perhatian kepada anak-anak lagi-lagi melibatkan kesihatan mereka.
Jangan Anggap Semua Dengkuran Itu Normal
Kadangkala kita terlalu biasa mendengar bunyi dengkuran anak sehingga menganggap ia perkara biasa. Namun, sekiranya berlaku secara berterusan, sebenarnya boleh menjadi petunjuk bahawa ada sesuatu yang mengganggu pernafasan mereka ketika tidur.
Mama tak perlu panik setiap kali mendengar anak berdengkur. Tetapi Mama juga tidak seharusnya mengabaikannya sekiranya berlaku dengan kerap. Sedikit perhatian terhadap corak tidur anak Mama hari ini mungkin membantu memastikan mereka membesar dengan lebih sihat, aktif dan ceria pada masa hadapan.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta petua yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak Kelab Mama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Dapatkan lebih banyak informasi tentang kesihatan anak Mama Papa DI SINI!
