KelabMama

AMBIL BERAT TAHAP KESIHATAN ANAK, WALAUPUN DEMAM RINGAN – IBU & BAPA ARWAH BABY AISY ZULQARNAIN (PEMENANG TEMPAT KETIGA PERADUAN BAYI COMEL KELABMAMA)

Mungkin ramai yang tidak pernah merasai pengalaman kehilangan anak tersayang. Dan jika boleh, sesiapapun tidak sanggup untuk melalui pengalaman itu. Tetapi, jika ditakdirkan berlaku, adakah kita sebagai ibu bapa bersedia dan reda menerima hakikat kehilangan anak tersebut? Sudah pasti, hanya tangisan yang mampu mengiringi pemergian bayi yang baru berusia 6bulan ketika itu, seperti yang menimpa Pemenang Ketiga Peraduan Bayi Comel Kelabmama, Allahyarham Aisy Zulqarnain Bin Amirul Faiz, mangsa demam denggi berdarah yang meninggal dunia pada 23 Februari lalu.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Ibu kandungnya, Siti Zanariah Makhdar dan bapa arwah Aisy, Amirul Faiz Mohd Asri, sudah tidak mampu lagi mengeluarkan air mata mengenangkan kehilangan anak lelaki tunggal kesayangannya. Sebak, pilu dan berlinangan air mata, itulah yang dilalui oleh ibu dan bapa arwah Aisy selepas insiden itu dan setiap kali nama Aisy Zulqarnain disebut.

Ingatkan Demam Biasa, Denggi Berdarah Ragut Nyawa Arwah Aisy

Berkesempatan bertemu dengan kedua ibu bapa arwah baby Aisy Zulqarnain ketika sesi penyerahan hadiah Peraduan Bayi Comel Kelabmama minggu lalu memberi kesempatan kepada team Kelabmama untuk menemubual secara langsung kedua ibu bapa yang masih dalam kesedihan. Walau bagaimanapun kedua-dua mereka sedang berusaha untuk kuat dan redha dengan pemergian anak tercinta demi meneruskan kehidupan normal seperti biasa.

‘Kami bersyukur dan redha anak kami pergi dalam keadaan yang sangat mudah dan senang. Kebetulan hari arwah Aisy meninggalkan kami merupakan malam Jumaat. Menurut doktor, kalau Aisy ditakdirkan mempunyai peluang untuk hidup pun, dia akan menanggung pelbagai komplikasi dan penyakit lain ketika hayatnya,’ beritahu ayah arwah memulakan bicara.

Hampir seminggu si kecil ini bertarung nyawa sendirian dan kuat melawan jangkitan yang menyerangnya. Akhirnya arwah Aisy hanya mampu bertahan hingga hari ke-6 selepas diberitahu dijangkiti Denggi Berdarah. Pada mulanya simptom yang ditujukkan kepada arwah Aisy hanya demam panas berpanjangan. Ibu dan bapa arwah sangat mengambil berat mengenai kesihatan anak mereka sejak dari hari pertama anaknya mengalami demam. Mereka memantau setiap kondisi kesihatan Aisy. Namun semuanya telah tertulis.

‘Dari awal arwah tak sihat kami dah bawa pergi klinik, dah buat ujian darah semua. Tapi keputusan menunjukkkan arwah bebas daripada sebarang jangkitan. Jadi kami ingat demam biasa. Tapi berlarutan dan panas makin tinggi. Kami terus buat keputusan ke hospital. Sampai dihospital pelbagai ujian juga dilakukan, namun keputusan yang diterima masih sama. Arwah bebas daripada segala jangkitan, juga Denggi. Doktor masih tidak pasti jangkitan virus apa yang menyerang Aisy. Sebab tu saya menyeru semua ibu bapa agar jangan ambil mudah dengan tahap kesihatan anak-anak. Jika anak tidak sihat, walaupun hanya demam ringan cepat-cepatlah dapatkan rawatan. Setidak-tidaknya anda dapat tahu apa penyakit yang menyerang anak-anak,’ pesan ibu arwah Aisy.

Tidak Salahkan Pihak Hospital & Doktor

Disebabkan kes kelewatan mendapat keputusan ujian untuk mengenalpasti jangkitan yang menyerang Arwah Aisy, Zanariah dan Amirul dihujani dengan pelbagai soalan daripada orang ramai. Ada yang menyelar pengurusan hospital yang menempatkan arwah Aisy kerana lambat mengenalpasti punca penyakit arwah, tidak kurang juga yang mendesak agar kedua ibu bapa ini mengambil tindakan undang-undang. Namun, menurut Amirul, pihak hospital dan doktor yang merawat arwah Aisy telah melakukan yang terbaik. Bagi seluruh pihak keluarga arwah Aisy mereka redha dengan pemergian buah hati kesayangan mereka dan tidak menyalahkan mana-mana pihak.

‘Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak di atas kematian anak saya. Bagi saya, ia adalah takdir yang sudah tertulis. Saya dan isteri redha dengan pemergian anak kami. Doktor dan pihak hospital telah melakukan prosuder yang betul dari awal hingga akhir walaupun keputusan ujian yang mengesahkan anak kami dijangkiti Denggi Berdarah lewat diterima,’ – Amirul Faiz Mohd Asri, Bapa Arwah Aisy

‘Kebetulan dikawasan kami tinggal memang banyak kes denggi. Ada jiran yang terkena jangkitan demam denggi ni. Tak sangka anak kesayangan kami pun kena. Bukan demam denggi biasa tapi Denggi Berdarah.’ – Siti Zanariah Makhdar, Ibu Arwah Aisy

Kenangan Terindah Bersama

                Hanya beberapa bulan diberikan kesempatan memiliki dan menyayangi empunya nama Aisy Zulqarnain Bin Amirul Faiz, merupakan anugerah terindah yang tidak akan luput dalam ingatan bagi pasangan Amirul dan Zanariah. Paling tidak dapat dilupakan mereka, beberapa minggu sebelum pemergian arwah, arwah sangat gemar didukung dan dipeluk erat. Arwah akan meragam jika tidak menunaikan hasratnya itu. Mungkin sebagai tanda memberi peluang kepada orang-orang yang menyayanginya untuk terus ingat momen tersebut.

‘Kami berpuas hati dan sempat memberikan segalanya kepada arwah. Alhamdulillah, saya dapat menyusukan arwah secukupnya hingga ke akhir hayatnya. Hingga hari ini, saya masih mempunyai susu badan dan mengepam susu yang sepatutnya merupakan hak arwah. Susu tersebut saya sedekahkan kepada anak susuan,’ cerita Siti Zanariah tersenyum.

‘Arwah sempat merasa naik kapal terbang. Kami sempat terbang bercuti ke Sabah bersama keluarga. Sepanjang percutian tersebut, arwah sangat baik dan tidak meragam pun. Mungkin nak beri kami kenangan, supaya tidak lupakannya. Paling tak boleh lupakan, arwah sangat suka permainan berbentuk bola dan tengok bola dekat tv. Kalau ada game kat tv, memang dia kusyuk tengok, dia memang peneman saya la kalau tengok bola. Yang terkilan arwah tak sempat ikut masuk pindah rumah baru bulan hadapan. Kami merancang nak buat majlis aqiqah arwah masa masuk rumah baru nanti. Tapi tak mengapalah, kami akan teruskan juga niat tu tanpa arwah nanti, in sha allah,’ujar Amirul.

Temubual Bersama Ibu Bapa Arwah Aisy

../../../video/INTERVIEW.mp4

(Perkongsian Daripada Facebook Ibu Arwah Aisy –Puan Siti Zanariah)

Alhamdulillah syukur Ya Allah di atas anugerahMu yang terindah. Amanat yang dipinjamkan selama 5bulan 8hari cukup bermakna. Walaupun hanya seketika tapi mampu membuatkan ummi dan baba merasa sangat sangat bahagia sayang.. Anak syurgaku Aisy Zulqarnain bin Amirul Faiz, tunggu ummi dan baba ye sayang. Tahniah sayang, Ummi ingatkan Aisy dah pandai meniarap je, rupanya Aisy memang bijak sampai boleh lawan dengan penyakit yang sangat kuat.. 6 hari Aisy bertarung lawan demam panas, sampai hari ke6 akhirnya doktor berjaya kesan denggi berdarah. Takpe sayang, syurga menantimu di sana.

AISY ZULQARNAIN BIN AMIRUL FAIZ

15 September 2016-23 Februari 2017

Ummi tak perasaan sayang, banyak rupanya tanda yang aisy tunjukkan. Aisy sentiasa nak berdukung, tidur berdodoi.. Dulu aisy taknak baring dalam stroller, nak kene dudukkan. Tapi masa ni, lama sangat aisy bole duduk dalam stroller.. Aisy nak jalan2 dengan ummi dekat taman ye sayang.. InsyaAllah nanti Aisy bawa Ummi ke taman syurga pula ye.

Sabtu 18 feb 2016, hari pertama Aisy demam panas. Suhu aisy 38,39.. Ummi & baba risau sangat sayang. 9.00 pm suhu aisy cecah 40, terus baba ajak ke hospital.. Doc bg ubat demam dganmasukkan ubat dekat Aisy.. Gambar ni hari kedua Aisy demam. Suhu masih 39. Ummi sentiasa mandikan dan lap aisy.. Ummi ikhtiar sejukkan bdn aisy dgn daun bunga raya. Wangi Aisy masa ni, bau segar anak syurga ummi..

Hari ke3, Ummi lapkan aisy sebab suhu aisy masih 38,39.. ummi dah xberani pakaikan baju aisy sebab nanti suhu aisy boleh naik balik..aisy minum susu ummi byk masa ni,3oz setiap kali minum.. sampai hari terakhir aisy hanya minum 0.5oz.. Sayang dah tak larat rupanya sebab perut dah sakit ye..Ummi halalkan setiap titik susu ummi untuk Aisy. Alhamdulillah cukup susu ummi untuk Aisy..

Sejuk anak syurga ummi, ummi pakaikan napkin basah dekat bdn sayang.. sebab suhu aisy tak turun jugak walaupun dah makan ubat demam setiap 6jam.. Kuat betul aisy berlawan dengan penyakit tu..

Ya Allah ummi masih terdengar-dengar suara anak syurga ummi panggil ummi dan baba.. tak berhenti merengek sebab demam ye sayang.. Hari ke3 ni ummi & baba bawak lagi aisy jumpa doktor untuk amik darah.. Doktor sahkan darah aisy bersih. Takde jangkitan kuman dan bukan denggi.. Ummi syukur sangat.. Ummi terus ikhtiar sembuhkan aisy..Lemah sangat anak ummi.. Sentiasa nak dimanja dan dibelai.. Ummi rindu sayang nk peluk, dodoikan aisy..Tangan kecil anak syurga ummi yang selalu ummi cium.

Hari ke4, tinggi sayang suhu badan aisy.. ummi rasa ni bukan demam biasa sebab terlalu lama aisy menahan.. aisy terlalu pasif masa ni..Ummi dah tak sanggup tengok aisy dekat rumah lemah sangat.. ummi bawak pergi emergency, dan aisy kene admit wad.. doktor test lagi darah aisy dan memang clear dari jangkitan kuman atau denggi..Doktor dah mula on drip dekat aisy.. Masuk air dan antibiotik dlm bdn aisy.. badan aisy dah dehydrated sebab aisy kurang minum susu.. Tonsil sakit ye sayang sebab demam aisy dah lama..suhu tinggi sangat..Anak syurga ummi dah dehyrated.. kulit muka pun dah kering.. comelnya anak ummi

Hari ke 5, aisy masih demam..doktor cakap tu mungkin viral fever..sebab takde tanda lain..Anak syurga ummi kuat sangat..Petang hari ke5.. aisy dah sejuk sgt, menggigil2 sebab ummi mandikan aisy dan lap badan aisy ..Aisy Zulqarnain Anak ummi yang baik.. tunggu ummi di syurga sayang..

Hari ke6, 3am.. aisy tiba2 muntah keluar warna coklat seakan-akan darah.. Doktor cuma cakap tu hanya ubat yang aisy makan. Tapi ummi dapat rasa yang itu darah..4 kali Aisy muntah2.. sampai keluar airmata syg..Oxygen aisy dah tak sampai ke tisu badan.. walaupun masa ni pernafasan aisy masih normal, tapi doktor bg oxygen dan aisy perlu masuk ICU..Akhirnya, setelah beberapa jam aisy dalam ICu baru dapat detect aisy kene denggi berdarah.. MasyaAllah.. bukan denggi biasa yang aisy bertarung selama ni.. denggi berdarah sayang.. kuatnya anak syurga ummi..Ummi redha dengan pemergianmu sayang.. Ummi halalkan setiap titik susu yang masuk dlm badan Aisy.. tenanglah anak ku, tunggu ummi dan baba..

Masa ni Aisy happy sangat, ummi terus snap pic.. Bila nampak peraduan bayi comel kelab mama, ummi submit gambar anak syurga ummi.. Ya Allah murah rezeki aisy, aisy terpilih shortlisted dalam peraduan ni.. Tapi ummi tak kuat sayang, ummi rasa kalau aisy menang peraduan ni ummi akan jadikan hadiah itu sebagai kenangan terindah untuk ummi & baba..Kalau ada rezeki Aisy, menang peraduan mesti sebab insan2 yang seikhlas hati like gambar sayang dekat link ni.

Kisah sayu dan detik-detik terakhir si kecil ini yang dicoretkan sendiri oleh ibu arwah dalam laman sosial peribadinya. Ia bukan untuk mencari simpati, tetapi sebagai pengalaman yang tidak ingin dilupakan juga sebagai iktibar kepada masyarakat diluar sana agar sentiasa mengambil berat mengenai tahap kesihatan anak dan kes denggi.

Kami di Kelabmama sekali lagi ingin mengucapkan takziah kepada ibu bapa dan seluruh keluarga arwah.

-Al-Fatihah Baby Aisy Zulqarnain-