KelabMama

Checklist Amalan Sunat Hari Raya Haji Yang Boleh Diamalkan ( + Infografik Comel!)

Malaysia telah menetapkan pada 29 Jun ini bersamaan dengan 10 Zulhijjah sebagai tarikh keramat untuk meraikan Hari Raya Aidiladha atau orang Melayu kita memanggilnya Hari Raya Haji.

Maka, hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi lah umat Islam di negara ini akan menyambut perayaan yang mempunyai banyak kisah tauladan dan keinsafan.

Kalau sambutan Aidilfitri dianggap sebagai hari kemenangan untuk umat Islam yang berjaya menahan lapar dan dahaga serta mengawal nafsu, bagaimana pula dengan Aidiladha?

Jom ketahui lebih lanjut mengenai fakta dan info tentang Hari Raya Haji ini.

Fakta dan Info Tentang Hari Raya Haji

Sama seperti Aidilfitri, Aidiladha juga mempunyai kisah tersendiri berunsurkan pengorbanan dan keinsafan untuk umat Islam.

Telah diceritakan di dalam Al-Quran mengenai pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang diperintahkan untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail AS.

Jom kita pelajari sirah Nabi Ibrahim dan anaknya hingga mewujudkan suatu hari yang terus dikenang umat Islam setiap kali tibanya Aidiladha.

Diceritakan bahawa Nabi Ibrahim tidak dikurniakan zuriat sehinggalah mencecah usia 86 tahun.

Baginda sebelum itu sangat terkenal dengan sikap suka menyembelih haiwan ternakan dalam jumlah yang banyak iaitu 1,000 ekor kambing, 300 ekor lembu dan 100 ekor unta bagi tujuan disedekahkan kepada umat Islam.

Perbuatan mulia baginda ini dikagumi oleh para Malaikat.

Bagaimanapun, Nabi Ibrahim pernah berkata kepada Malaikat: “Semua yang menjadi qurbanku itu belumlah menjadi apa-apa bagiku. Demi Allah, kalau aku mempunyai anak lelaki, tentu aku akan persembahkan juga di jalan Allah dan aku korbankan dia untuk Allah SWT.”

Ketika usia 86 tahun, doa Nabi Ibrahim untuk dianugerahkan zuriat akhirnya dimakbulkan Allah. Lahirlah Nabi Ismail yang menjadi putera pertama baginda.

Tidak lama kemudian, Nabi Ibrahim telah meminta Siti Hajar dan Ismail yang masih bayi untuk menetap di Mekah. Pada masa itu, Mekah tidak ada penduduk dan tidak ada setitis air pun.

Siti Hajar dan Ismail telah ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim dengan dibekalkan botol air serta beg kecil yang mengandungi kurma. Siti Hajar keliru dengan tindakan Nabi Ibrahim lalu bertanya berkali-kali namun tidak mendapat sebarang jawapan.

Kemudian wanita mulia itu bertanya lagi “Adakah Allah yang memerintahkanmu untuk melakukan perkara ini?” Hati Siti Hajar berasa lega setelah Nabi Ibrahim menjawab “Ya” dan yakin bahawa pasti ada sebab Allah memerintahkan Nabi Ibrahim untuk berbuat demikian.

Nabi Ibrahim kemudian pergi ke suatu tempat yang jauh bernama Tsamiyah dan menadah tangan sambil wajahnya menghadap ke Baitullah lalu berdoa:

“Ya Allah Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah meninggalkan sebahagian daripada keturunanku di sebuah lembah yang langsung tidak mempunyai tanaman, berdekatan dengan rumahMu (Baitullah) yang terhormat, agar mereka mendirikan solat. Maka, jadikanlah hati sebahagian daripada manusia manusia supaya cenderung kepada mereka dan kurniakanlah rezeki kepada mereka daripada buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur”. (Ibrahim [14]:37)

Setelah beberapa ketika, air yang ditinggalkan kepada Siti Hajar oleh Nabi Ibrahim telah habis. Siti Hajar terpaksa meninggalkan Ismail seketika untuk mencari sumber air.

Kemudian, Siti Hajar berlari ke bukit yang paling dekat dengannya iaitu Bukit Safa untuk mencari jika ada orang di sana. Namun, tidak terdapat seorang pun yang Siti Hajar dapat lihat daripada bukit tersebut.

Kemudian, Siti Hajar cuba sekali lagi dengan berlari ke Bukit Marwah untuk mencari jika ada orang di sana. Perbuatan itu telah dilakukan oleh Siti Hajar sebanyak tujuh kali sebelum beliau terdengar satu suara semasa kali terakhir mendekati Bukit Marwah.  

Siti Hajar berkata “Engkau telah memperdengarkan, adakah Engkau dapat menolong?”.

Malaikat kemudiannya membantu dua beranak itu melalui sumber air zam-zam yang berada dalam tanah.

Siti Hajar minum air zam-zam tersebut lalu menyusui Ismail. Siti Hajar menjaga Ismail dengan baik dan membesar dengan sihat.

Setelah Nabi Ismail mencecah tujuh tahun, diceritakan lagi bahawa Nabi Ibrahim mendapat mimpi untuk menyembelih puteranya itu.

Nabi Ibrahim telah terlupa akan nazarnya yang pernah diberitahu kepada Malaikat suatu masa dahulu mengenai korban paling bernilai adalah ke atas anaknya sekiranya dia mempunya zuriat suatu hari nanti.

Pada 8 Zulhijjah (malam tarwiyah), satu perintah dalam mimpi Nabi Ibrahim berkata “Wahai Ibrahim tunaikanlah nazarmu”. Nabi Ibrahim tidak pasti sama ada ini adalah perintah Allah atau mimpi dari syaitan. 

Disebabkan peristiwa ini, ia dinamakan ‘tarwiyah’ yang bermaksud ‘fikir’ dalam bahasa Arab.

Pada hari keesokannya (9 Zulhijjah) dan juga hari ketiga (10 Zulhijjah), Nabi Ibrahim mempunyai mimpi yang sama. 9 Zulhijjah digelar ‘Arafah’ yang bermaksud ‘pasti’ kerana Nabi Ibrahim pasti bahawa mimpi tersebut datang daripada Allah.

10 Zulhijjah digelar ‘Nahrun’ yang bermaksud ‘sembelih’ kerana Nabi Ibrahim yakin bahawa Allah memerintahkan baginda untuk melakukan penyembelihan.

Rentetan kepada peristiwa ini, maka sehingga ke hari ini umat Islam di dunia terus melaksanakan dua ibadah ketika musim Aidiladha iaitu amalan korban terhadap binatang ternakan serta seruan mengerjakan haji.

Sama seperti Hari Raya Aidilfitri, terdapat beberapa amalan sunat yang dianjurkan untuk kita mengamalkannya semasa Hari Raya Aidiladha. Nak senang, Mama rujuk je infografik di bawah dan jangan lupa kongsi di lama media sosial Mama.


Dapatkan pelbagai info menarik lain mengenai Hari Raya Haji di SINI.