KelabMama

Aktiviti Malam di Kuala Lumpur: Sisi Menarik Kota Raya Buat Seisi Keluarga

Aktiviti malam di Kuala Lumpur semestinya terkenal dengan pelbagai tempat dengan pemandangan dan aktiviti menarik yang menjadi tumpuan utama bagi ramai pengunjung luar, mahupun rakyat Malaysia.

Banyak tempat menarik di KL waktu malam yang boleh Mama Papa kunjungi. Sesuai untuk meluangkan masa bersama keluarga, pasangan atau rakan-rakan. Kuala Lumpur sememangnya sangat cantik pada waktu malam dan dihiasi lampu berwarna-warni dan meriah.

Ramai yang suka untuk keluar ke mana-mana tempat pada waktu malam. Terutama bagi rakyat tempatan, waktu malam lebih tenang dan sejuk berbanding waktu siang dan ada juga yang suka keluar pada waktu malam untuk merehatkan dan menenangkan diri setelah penat bekerja.

Tapi ingat ya, tempat-tempat yang Mama Siti nak kongsikan memang akan dipenuhi pengunjung terutama sekali pada hujung minggu.

Tanpa buang masa, jom Mama Siti kongsikan tempat-tempat menarik di Kuala Lumpur yang boleh Mama Papa kunjungi bersama keluarga (ataupun dating berdua).

10 Aktiviti Malam di Kuala Lumpur

Dataran Merdeka

Kredit gambar: Malaysia Now

Jarum jam gergasi bangunan Sultan Abdul Samad menunjukkan waktu hampir pukul 1 pagi, namun orang ramai masih terus menikmati malam mereka.

Lampu neon skuter bertebaran dengan lampu bandar dan cahaya yang lebih kecil dipancarkan oleh telefon bimbit, memberikan suasana perayaan.

Bendera Malaysia berkibar ditiup angin malam di atas kerumunan orang ramai yang datang untuk menikmati malam.

Tua dan muda beramai-ramai ke Dataran Merdeka yang ikonik di Kuala Lumpur. Dari serata tempat, keluarga mengunjung untuk menikmati waktu malam, membaw anak kecil bersama mereka.

Inilah antara permandangan yang boleh anda lihat di Dataran Merdeka pada waktu Malam. Tempat yang bersejarah dan megah ini.

Bukit Ampang

Kredit gambar: Adasya blogspot

Bukit Ampang merupakan salah satu tarikan yang terkenal oleh golongan muda sebagai tempat untuk menikmati pemandangan keseluruhan kota raya Kuala Lumpur.

Kelipan lampu-lampu bangunan, jalan raya dan kereta yang tidak terbilang boleh di lihat dan menimbulkan perasaan tenang bagi sesiapa sahaja yang melihat.

Bukan sekadar waktu malam sahaja, di sini juga ramai berkumpul untuk menikmati pemandangan matahari terbenam.

Selain golongan remaja, ramai juga yang membawa ahli keluarga mereka ke sini untuk menikmati pemandangan dan ada juga yang mengadakan sesi photoshoot di sini.

Jalan TAR

Kredit gambar: MStar

Jalan Tar lazimnya terkenal dengan syurga membeli-belah pakaian. Namun ia juga cukup sinonim dengan kemeriahan pasar malam yang menjual pelbagai jenis makanan lazat.

Dibuka dari 5.00 petang hingga 10.00 malam, Mama Papa boleh dapatkan makanan tempatan, makanan barat, kuih muih dan sebagainya dengan harga berbaloi. Barang keperluan harian dan cenderamata juga turut ada dijual di sini dengan berpatutan.

Pasar malam ini juga adalah antara pasar malam terbesar di Kuala Lumpur dengan anggaran lebih 400 peniaga. Kalau naik kenderaan sendiri, datanglah pada hari Sabtu seawal yang mungkin kerana pada pukul 5.00 petang kawasan ini sudah mulai sesak.

Jalan Bukit Bintang

Kredit gambar: Travelgasm

Jalan Bukit Bintang juga meriah pada waktu malam dan menjadi tumpuan pelancong tempatan mahupun luar negara. Bukan sahaja penuh dengan tempat membeli-belah, namun juga cukup terkenal dengan aktiviti hiburan.

Bukit Bintang sinonim dengan pusat membeli-belah yang trendy dan mewah seperti Pavilion, ISETAN, Lot 10, Sephora dan pelbagai kedai berjenama yang lain.

Tak cukup dengan itu, kawasan ini juga terkenal dengan persembahan secara langsung oleh band atau busker tempatan. Ada juga artis yang datang membuat persembahan bersama mereka.

Selepas penat berjalan, beratur untuk tunggu makanan-makanan yang viral di sini, layan persembahan mereka sambil menikmati makanan yang lazat memang satu pengalaman yang mengasyikkan.

Uptown Danau Kota

Kredit gambar: VOCKET

Tidak lengkap senarai ni kalau Mama Siti tidak masukkan Uptown Danau Kota sebagai pilihan tempat menarik di KL waktu malam.

Uptown Danau Kota juga antara tempat yang ramai dikunjungi oleh penduduk tempatan atau dari luar negara. Suasananya sangat meriah walaupun sudah larut malam.

Aneka pakaian, kasut tudung dan sebagainya anda boleh dapatkan dengan harga yang murah dan sangat berbaloi dengan kualitinya. Ada juga yang ke sini untuk mencari dan merasai pelbagai variasi makanan yang lazat. Ada menu western, masakan panas dan sebagainya.

Uptown Danau Kota dibuka bermula Selasa hingga Ahad dari pukul 9.00 malam hingga 3.00 pagi. Jangan lepaskan peluang datang ke sini jika anda bercuti ke Kuala Lumpur sambil menikmati kemeriahan Danau Kota.

River Of Life

Kredit gambar: The Sun Daily

Bukan sekadar sungai biasa, sungai ini telah diinovasikan dan dibaikpulih menjadi lebih cantik hingga menjadi salah satu tarikan pengunjung ke Kuala Lumpur. River of Life perlu ada dalam short list anda jika anda bercuti di sini.

Panorama River of Life sangat cantik pada waktu malam. Dihiasi dengan lampu kebiru-biruan dengan persekitaran yang nyaman dan bersih. Ramai ke sini untuk melihat keindahan sungai yang berada di tengah bandar dan tidak ketinggalan untuk bergambar.

Ada jambatan kecil yang menyeberangi atau menghubungkan dua sungai. Bergambarlah sepuasnya di tengah jambatan ini kerana anda akan dapat hasil yang menakjubkan, seolah-olah berada di alam fantasi.

Alamat: Kuala Lumpur City Centre, 50050 Kuala Lumpur, Federal Territory of Kuala Lumpur.

Sangat cantik dan meriah tempat menarik di KL waktu malam. Memang rugi percutian anda ke Kuala Lumpur jika tidak mengunjungi tempat-tempat tersebut. Tak perlu ke luar negara, negara sendiri sudah cukup istimewa jika anda terokai dan manfaat apa yang disediakan.

Saloma Link Bridge

Kredit gambar: Malaysian Flavors

Terletak di antara Lorong Raja Muda Musa 3 (Sebelah Kampung Baru) dan Jalan Saloma (sebelah KLCC-Ampang), jambatan ini, yang mengambil masa hampir 2 tahun untuk disiapkan, dan akhirnya dibuka kepada orang ramai pada awal Februari 2020!

Keseluruhan jambatan ini tidak panjang, hanya 69m tetapi begitu cantik dengan reka bentuk seni bina yang diilhamkan oleh Sireh Junjung, atau susunan daun sirih. Berjalan di bawah bumbung dan terpesona oleh reka bentuk serta kilauan warna yang membanggkan Malaysia!

Nikmati pemandangan indah KLCC, ambil beberapa gambar di atas jambatan bersama keluarga.

Tasik Simfoni

Kredit gambar: Dr Singa

Bersebelahan Suria KLCC, terdapat sebuah tasik buatan di tengan kesibukan kota ini. Di tengah-tengah tasik terdapat dua lingkaran air pancut yang sangat cantik. Tasik ini lain daripada yang lain kerana dihiasi lampu yang beraneka warna serta mempunyai lagu.

Persembahan air pancut akan diadakan pada setiap hari. Untuk melihat pancutan air berwarna-warni diiringi muzik yang tenang, datanglah pada pukul 8.00 malam, 9.00 malam dan 10.00 malam. Manakala persembahan air pancut sahaja pada pukul 7.30 malam, 8.00 malam dan 9.30 malam.

Alang-alang berada di sekitar KLCC untuk bergambar dengan menara berkembar, rugi jika tidak datang ke Tasik Simfoni untuk melayan panorama yang sangat cantik ini.

Rooftop Garden @ Lalaport

Kredit gambar: Malaysian Flavours

Jangan terkejut, jangan pelik! Gabungan kejuruteraan, teknologi hiasan, dan keindahan landskap taman yang lapang, meriah, dan menyajikan pemandangan indah. Semuanya diatas bumbung sebuah Mall.

Ramai sebenarnya yang masih tidak tahu mengenai tempat ni, jadi Mama Siti nak kongsikan kepada Mama Papa tarikan yang sangat genius ni.

Selain pemandangan yang cantik, kafe dan pelbagai tempat beli belah yang berdekatan, menjadikan taman diatas bumbung ini sangat mudah diakses. Tidak perlu risau tentang tempat letak kereta dan makanan, kerana semuanya telah tersedia di sini!

Psst! jangan risau tau dah Mama Papa nak tanya benda ni. MASUK PERCUMA!

Petaling Street

Kredit gambar: SAYS

Diberi gelaran sebagai syurga pembeli-belah di seluruh Kuala Lumpur, Petaling Street ialah jalan paling popular di Kuala Lumpur, yang terkenal dengan ratusan gerai yang menjual sebanyak barangan yang mungkin pada harga rendah.

Dibumbungi oleh awning hijau yang besar, ratusan pengunjung berjalan-jalan di sini dalam masa lapang, terlindung oleh hujan sambil mereka menyemak imbas koleksi beg tangan, jam, pakaian, aksesori, kraftangan dan banyak lagi.

Jalan Petaling juga merupakan tempat bagi puluhan kafe dan kedai makan, lukisan-lukisan mural kreatif di dinding bangunan, dan hiasan lampu tanglung di sepanjang jalan menepati nama lainnya “China Town” Kuala Lumpur.

Mesti Mama Papa tak sabar kan nak pergi berjalan dengan anak-anak. Tak perlu tunggu hujung minggu. Kuala Lumpur tak pernah tidur! Aktiviti malam di Kuala Lumpur ni pun sama tau!

Tapi kalau inginkan suasana yang lebih meriah, jangan lupa untuk pergi pada waktu hujung minggu.


Mama Siti akan kongsikan lebih banyak tempat-tempat menarik di SINI.