KelabMama

Islam Ajar 10 Adab Menuntut Ilmu Ini Dari Segi Duniawi dan Ukhrawi

adab menuntut ilmu dalam Islam

Ada pernah tular suatu masa dahulu frasa bahasa Inggeris “Islam is the way of life”. Buktinya, Islam benar-benar mengajarkan kita adab bahkan dalam menuntut ilmu sekalipun. 

Mama Siti kongsikan 10 adab menuntut ilmu agar menjadi seorang yang mengikut resmi padi yang semakin menunduk, apabila semakin banyak ilmu di dada.  

10 Adab Menuntut Ilmu Dalam Islam

#1 Niat Kerana Allah SWT 

Rasulullah SAW  juga bersabda, “Barangsiapa yang menuntut ilmu syari’ yang semestinya ia lakukan untuk mencari wajah Allah dengan ikhlas, namun ia tidak melakukannya melainkan untuk mencari keuntungan duniawi, maka ia tidak akan mendapat harumnya aroma syurga pada hari kiamat.” 

(Hadis riwayat Ahmad)

Belajar ikhlas dalam menuntut ilmu. Tabahkan hati ketika dihimpit ujian semasa menuntut ilmu kerana ia merupakan adab menuntut ilmu. Ilmu itu datangnya dari Allah, maka ia juga perlu diniatkan kerana Allah. 

#2 Lazimi Amalan Berdoa

Kredit gambar: Hong Kong Tourism Board

Agak klise, tetapi amalan berdoa memang bertindak sebagai senjata orang Islam. Banyakkan berdoa agar mendapat ilmu yang bermanfaat serta diberikan kemudahan sepanjang proses menuntut ilmu. 

Sekiranya Mama atau Papa masih keliru untuk membaca doa apa, Mama Papa boleh rujuk SINI.

#3 Bersungguh-sungguh

Kredit gambar: I Muslim Network

Bak kata pepatah, “alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan”. Adab menuntut ilmu adalah dengan bersungguh-sungguh mendalaminya. Insya Allah, ilmu tersebut menjadi ilmu yang berguna untuk kita.  

#4 Menjauhi Maksiat

Kredit gambar: Dictio COmmunity

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- قَالَ « إِنَّ الْعَبْدَ إِذَا أَخْطَأَ خَطِيئَةً نُكِتَتْ فِى قَلْبِهِ نُكْتَةٌ سَوْدَاءُ فَإِذَا هُوَ نَزَعَ وَاسْتَغْفَرَ وَتَابَ سُقِلَ قَلْبُهُ وَإِنْ عَادَ زِيدَ فِيهَا حَتَّى تَعْلُوَ قَلْبَهُ وَهُوَ الرَّانُ الَّذِى ذَكَرَ اللَّهُ ( كَلاَّ بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ) »

Dari Abu Hurairah, dari Rasulullah SAW, beliau bersabda;

“Seorang hamba apabila melakukan suatu kesalahan, maka dititikkan dalam hatinya sebuah titik hitam. Apabila ia meninggalkannya dan meminta ampun serta bertaubat, hatinya dibersihkan. Apabila ia kembali (berbuat maksiat), maka ditambahkan titik hitam tersebut hingga menutupi hatinya. Itulah yang diistilahkan “ar raan” yang Allah sebutkan dalam firman-Nya (yang maksudnya), ‘Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka’.”

Menurut portal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, JAKIM, maksiat bermaksud perbuatan yang membawa dosa iaitu yang bertentangan dengan akidah, syariat dan ajaran Islam.

#5 Rendah Hati

Adab menuntut ilmu yang berisiko menjadi ilmu yang sia-sia ialah apabila seseorang lupa merendah diri walaupun mempunyai ilmu pengetahuan. 

Mari sama-sama kita saling mengingatkan bahawa tujuan menuntut ilmu adalah untuk keluar dalam kebodohan dan bukannya untuk memandang jelek kepada mereka yang belum tahu tentang sesuatu ilmu. 

#6 Fokus

Ramai yang salah sangka dengan memikirkan bahawa duduk diam dan lihat guru mengajar itu ialah fokus. Itu belum tentu betul, boleh jadi juga orang yang seperti ini dalam diam sedang berangan-angan tentang sesuatu. 

Ternyata fokus ialah apabila minda dan jasmani kita dalam keadaan sedar dan wujud pada masa menuntut ilmu. Apabila kedua-dua saling bekerjasama, maka adab menuntut ilmu pun semakin tinggi.  

#7 Semak Kandungan

Kredit gambar: Gramedia

Ketika guru mengajar, kita hendaklah menumpukan perhatian dengan menyemak ilmu yang sedang diajarkan. 

Perkara ini juga penting agar apa yang dipelajari tidak bercanggah dengan aliran ahli sunnah wal jamaah serta menggunakan fakta yang sahih dari sumber yang dipercayai.  

#8 Menghafal Ilmu

Kredit gambar: Kapanlagi Plus

Satu lagi adab menuntut ilmu adalah dengan mengingat atau menghafal ilmu tersebut. Sekiranya ada yang terlupa, segera ulang kaji agar ilmu tersebut kekal diingati. 

Rasulullah SAW bersabda;

“Semoga Allah memberikan cahaya kepada wajah orang yang mendengar perkataanku, kemudian ia memahaminya, menghafalkannya dan menyampaikannya. Banyak orang yang membawa fiqih kepada orang yang lebih faham daripadanya…” 

(Hadis riwayat at-Tirmidzi).

#9 Amalkan Ilmu

Kredit gambar: ttct108.co.uk

Nabi SAW bersabda, “Perumpamaan seorang alim yang mengajarkan kebaikan kepada manusia, kemudian ia melupakan dirinya (tidak mengamalkan ilmunya) adalah seperti lampu (lilin) yang menerangi manusia, namun membakar dirinya sendiri.” 

Sangat sia-sia bagi mereka yang mempunyai ilmu pengetahuan tetapi tidak mengambil peluang untuk mengamalkannya. Sehingga diibaratkan seperti lilin yang menerangi orang lain tetapi diri sendiri berada dalam kegelapan. 

(Hadis riwayat at-Tabrani)

#10 Berkongsi Dengan Orang Lain

Kredit gambar: Taska Ummi Ida

Bahkan baginda Nabi Muhammad SAW juga pernah bersabda melalui riwayat daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda;

بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً

Maksudnya: “Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat.”

(Hadis riwayat al-Bukhari & al-Tirmizi)

Jelaslah di sini bahawasanya mana-mana umat Islam yang menuntut ilmu sangat disarankan untuk mengajarkannya atau menyampaikannya kepada orang lain sebagai salah satu adab menuntut ilmu. 

Kredit gambar: Media Dakwah

Agama yang syumul ini mengajarkan kita untuk menjaga adab ketika menuntut ilmu supaya ia menjadi ilmu yang bermanfaat kepada diri sendiri dan orang sekeliling. 

Mudah-mudahan, 10 adab menuntut ilmu yang dikongsikan ini dapat sentiasa diamalkan. 


Tingkatkan amal ibadah lain dengan panduan dan bacaan yang betul seperti dikongsikan DI SINI.