KelabMama

7 KESILAPAN BESAR IBU BAPA MENDIDIK ANAK

Mendidik anak-anak adalah perkara yang sering memeningkan kepala ramai ibu bapa. Tidak ada seorang ibu pun yang mahukan anak-anak mereka membesar menjadi orang gagal dan bermasalah. Dalam membesarkan anak-anak, pelbagai kesilapan dilakukan tanpa kita sedari. Kesilapan ini berlaku kerana kurangnya pengetahuan mengenai aspek keibubapaan. Dalam mendidik, anak-anak perlu diingatkan, didikan bukan melalui paksaan tetapi teladan. Anak-anak lebih percaya dengan apa yang dilihat daripada apa yang didengar. Jika kita menyuruh anak-anak menguruskan masa dengan baik sedangkan kita sendiri sentiasa tidak menepati waktu dan sering tertangguh, maka mereka lebih mudah terikut-ikut dengan apa yang mereka lihat kita lakukan.

Membanding-Bandingkan

 

Ibu bapa sering kali membanding-bandingkan kebolehan ataupun kelemahan anaknya dengan orang lain. Ada ketikanya, perbandingan ini dibuat antara adik-beradik ATAU orang lain seperti anak jiran, saudara, sepupu, dan rakan sekelas.  Memanglah tujaan perbandingan itu dibuat bagi mendorong ataupun memberi semangat kepada anak. Tetapi, kerap kali anak-anak menyalah tafsir tujuan ibu bapa berbuat sedemikian. Sekiranya perbandingan itu dibuat antara adik-beradik, maka subur perasaan cemburu dan iri hati dalam diri anak-anak. Sekiranya perbandingan dibuat dengan orang lain, anak mudah merasa rendah diri dan hilang kekuatan bersaing. Yang dikatakan membanding-banding itu adalah apabila kita mengambil contoh seseorang ataupun  menyebut nama seseorang semasa kita rasa tidak puas hati dan sedang memarahi anak.

Merendahkan Kebolehan Anak

 

Seringkali tanpa sedar, kita merendahkan kebolehan anak secara tidak langsung. kerap kali ibu bapa yang resah mengenai masalah anak meluahkan keluhannya kepada orang lain di hadapan anak-anak. Ada ketikanya ketika bertemu jiran, kita beritahu mereka mengenai kelemahan anak kita. Ibu bapa perlu sedar, setiap patah perkataan yang kita ucapkan kepada anak-anak kita merupakan doa. Oleh itu, carilah kebaikan dalam diri anak-anak walaupun kecil. Subur-suburkanlah kebaikan itu. Mendidik anak adalah proses yang berterusan. Jangan mengharapkan perubahan yang mendadak dalam diri anak. Sebagai pendidik, ibu bapa memerlukan kesabaran yang tinggi.

Memarahi Anak Tidak Pada Tempatnya

 

Biasanya ibu bapa akan marah apabila didapati anak-anak melakukan kesilapan berulang, selepas dinasihati dan ditegur. Tidak salah memarahi anak demi kebaikannya tetapi kita harus pastikan marah itu kana pada orang, cara, masa, tempat dan subjeknya. Kita tidak boleh marah secara melulu sahaja. Ibu bapa sering kali memilih waktu yang salah bagi memarahi anak-anak.

Tidak Menjadi Pendengar Yang Baik

 

Ramai ibu bapa yang tidak rasa aspek ini penting bagi mereka. Menjadi pendengar yang baik bukanlah sukar dipraktikkan, cuma ibu bapa sahaja yang memperkecilkan peranan mereka sebagai pendengar. Apabila anak-anak semakin dewasa, mereka cuba merahsiakan banyak perkara daripada pengetahuan ibu bapa. Antara sebabnya adalah disebabakan sewaktu kecil, luahan dan keluhan  hati mereka tidak diberikan perhatian oleh ibu bapa. Cuba perhatikan kehidupan kita dengan anak-anak. Adakah kita berhenti membaca akhbar apabila anak kita datang dan bertanyakan sesuatu soalan? Adakah ibu berhenti menggoreng ikan apabila  tiba-tiba anak datang ke dapur dan bertanyakan sesuatu? Kemungkinan jawapanya adalah tidak. Kita menjawab pertanyaan anak sambil membaca akhbar. Kita melayan anak sambil menggoreng ikan. Pada kita, apa yang ditanya itu tidak penting. Memang soalan yang dikemukakan itu mungkin tidak penting, tetapi cara kita memberikan perhatian itu penting. Maka jangan salahkan anak-anak apabila mereka sudah dewasa, mereka tidak menganggap kita sebagai penyelesai masalah yang dapat diharap.

Tidak Mewujudkan Kemesraan

 

Ramai ibu bapa mudah hilang sabar. Apa tindakan kita apabila guru sekolah memaklumkan bahawa anak kita ponteng sekolah? Pastinya kita terus memarahinya tanpa terlebih dahulu cuba memahami situasi ataupun konflik emosi dalam dirinya. Tanya anak apa yang dia fikirkan sebelum dia mengambil tindakan ponteng itu. Selepas anak kita mula merasa selesa berbincang, jelaskan padanya betapa tindakan itu dapat mendatangkan malu dan merosakkan masa depannya. Sekiranya anak terus ponteng, sekali lagi kita duduk berbincang. Sekali lagi kita cuba fahami perasaan dan fikirannya. Cunakan sentuhan bagi menambahkan kemesraan. Pegang bahunya semasa berkata-kata. Lihat tepat ke wajahnya. Kalau anak kita masih kecil, maka melutut supaya kedudukan mata kita berada separas dengan matanya. Selepas dia mula selesa, kali ini kita ubah pendekatan. Kita katakan sukar bagi kita menerima yang dia masih melakukan kesilapan yang sama. Kita perlu memarahinya. Memarahinya bukan kerana kita mahu  melepaskan geram tetapi memarahi anak kerana kita mahu mengajar dan membentuknya.

Terlalu Memanjakan Anak

 

Sekiranya terlalu memanjaka anak-anak, mereka akan kehilangan sikap berdikari.

Suka Membebel Dan Mengkritik

 

Ada pula ibu bapa yang suka membebel pada anak. Sikap ibu bapa seperti ini membuatkan anak rasa hidup di rumah tidak selesa dan tiada ketenangan. Oleh sebab itu, ramai diantara anak-anak lebih gemar menghabiskan masa di luar. Ada ketikanya, kita membebel sehingga ke tahap mengkritik anak-anak. Kritikan yang tidak membina hanya membuatkan keyakinan diri anak-anak kita luntur. Kita boleh mengkritik dengan syarat selepas itu tunjukkan kepada kepada anak apa yang perlu mereka lakukan. Ini barulah dikatakan sebagai kritikan yang membina. Bukannya kritikan mencari salah semata-mata.

 

 

 

Sumber: Internet