KelabMama

17 ADAB BERKUNJUNG RUMAH ORANG YANG PERLU DIPATUHI

Tetamu datang ke rumah itu memang rezeki kepada tuan rumah. Tetapi sebagai tetamu, anda perlu ada adab jika hendak ke rumah saudara mara, kenalan, adik beradik atau rumah ibu bapa sendiri. Tidak semestinya anda rapat dengan tuan rumah, anda boleh buat sesuka hati sahaja di rumah orang. Ingat! Jangan jadi tetamu yang kurang ajar.

Sila pastikan anda memberitahu dan meminta izin terlebih dahulu dengan tuan rumah sebelum berkunjung ke rumahnya. Ini untuk mengelakkan daripada tetamu “menerjah” ke rumah pada masa tuan rumah dalam keadaan yang belum bersedia. Lebih afdal sekiranya tetamu membuat temu janji sebelum berkunjung. Tanyalah pada tuan rumah sekiranya mereka ada masa terluang pada tarikh yang anda ingin datang. Fahamilah bahawa tuan rumah itu juga mungkin mempunyai rancangan dan jadualnya yang tersendiri.

 

Ikhlaskan niat yang baik-baik sahaja sebelum berkunjung ke rumah orang. Janganlah sesekali terlintas di fikiran hendak memerhatikan perabot yang digunakan murah atau mahal ataupun makanan apa yang akan dijamu dengan niat untuk menceritakan pada orang lain.

 

Dalam ajaran Islam, had yang dibenarkan untuk meminta izin (dengan memberi salam) adalah sebanyak tiga kali. Jika setelah memberi salam tiga kali dan tiada jawapan daripada tuan rumah, maka tetamu harus beransur pulang. Dan jangan sesekali menerpa masuk ke dalam rumah orang tanpa diberi keizinan walaupun pintu rumahnya terbuka luas.

 

Tetamu dilarang sama sekali mengintip tuan rumah dari sebalik tingkap atau pintu untuk memeriksa sama ada mereka ada di rumah atau tidak. Ketika memberi salam, tetamu hendaklah mengelakkan diri daripada menghadap pintu masuk. Seandainya pintu rumah terbuka, jangan berdiri betul-betul menghadap pintu. Sebaliknya berilah salam di sebalik pintu untuk menjaga pandangan. Kita tidak tahu sama ada tuan rumah baru selesai keluar tandas ataupun dalam keadaan yang tidak menutup aurat. Beri mereka sedikit ruang untuk bersiap sedia.

 

Lawatan tetamu hendaklah berpada-pada. Janganlah bertandang selang dua hari sekali atau terlalu kerap sehingga mengakibatkan tuan rumah berasa tidak selesa. Begitu juga jika hendak ke rumah adik beradik sendiri. Jika mereka sudah berkahwin, hadkan untuk sering berkunjung ke rumah mereka. Perlu ingat bahawa adik beradik serta ipar kita juga perlu masa bersama dengan keluarga mereka sahaja tanpa kehadiran anda.

 

Tuan rumah mungkin sedang berehat jadi pilih waktu yang sesuai untuk bertandang. Tetamu harus mengelakkan bertandang ke rumah orang pada waktu-waktu umum untuk tidur atau berehat seperti pagi-pagi buta, tengah hari ataupun lewat malam. Seelok-eloknya, tanya terlebih dahulu pada tuan rumah waktu apakah yang paling sesuai untuk berkunjung.

 

Tetamu hendaklah menjaga pandangan daripada mata meliar memerhatikan ahli keluarga tetamu, bilik-bilik ahli keluarga, susun atur rumah atau perkakas yang digunakan.

 

Duduk saja dimana anda dipelawa duduk. Duduk hanya apabila diizinkan dan apabila tuan rumah telah menunjukkan anda tempat duduk yang dikhaskan, janganlah sesuka hati berpindah ke bahagian lain atau sengaja meneroka tempat duduk yang lain. Perkara yang sama sekiranya anda ingin bermalam di rumah orang. Hanya tidur di bilik yang telah disediakan. Jangan berpindah-randah atau menggunakan bilik lain tanpa kebenaran tuan rumah.

 

Elakkan untuk bersolat di rumah  tuan rumah jika anda masih mampu mencari surau atau masjid berdekatan. Ianya tidak salah, tetapi kalau boleh dielakkan, elakkan lah. Dikuatiri akan menyebabkan tuan rumah berasa kurang selesa untuk membenarkan anda masuk ke bilik tertentu yang mungkin sedikit priversi atau perlu menyediakan persalinan solat anda.

 

Sesetengah orang bertelinga lintah gemar mencuri dengar perbualan tuan rumah dengan pasangan atau perbincangan sesama ahli keluarga mereka. Walaupun perkara yang dibincangkan tidak mempunyai sebarang rahsia, namun perbuatan ini sama sekali tidak beradab. Apatah lagi sekiranya tetamu yang mendengar itu berniat buruk.

 

Jika anda melawat orang sakit di rumah mereka, hadkan masa anda hanya sebentar sahaja. Sekadar datang menjenguk atas dasar perihatin. Tidak perlu duduk berjam-jam dirumah orang sakit kerana anda sedia maklum orang sakit perlu rehat yang lama agar boleh cepat sembuh daripada penyakit.

 

Perhatikanlah anak anda sekiranya bertandang ke rumah orang. Jangan leka dengan membiarkan anak anda bermain-main dengan perabot atau perkakas rumah, memukul anak tuan rumah atau bertempik-tempik sambil lari bertempiaran. Disiplinkan anak anda supaya pandai membawa diri di rumah orang. Paling digeruni apabila ada anak-anak segera memasuki semua bilik di seluruh rumah untuk menjenguk. Ini sama sekali tidak beradab dan dikhuatiri menyebabkan tuan rumah berasa tidak selesa dengan kunjungan anda.

 

Ini bukanlah satu kemestian namun lebih manis sekiranya tetamu tidak datang dengan tangan kosong. Belilah walaupun sedikit, seperti kuih pisang goreng, buah-buahan atau manisan untuk dihadiahkan kepada tuan rumah sebagai tanda terima kasih sudi menerima kunjungan anda sebagai tetamu.

 

Kebiasaannya tuan rumah akan bertanya terlebih dahulu apa yang tetamu ingin jamah atau minum. Berpada-padalah jika ingin membuat apa-apa request sekalipun. Janganlah terlalu demanding seperti nak order makan di restoran. Sekiranya tuan rumah terlupa untuk bertanya, maka jamahlah sedikit walaupun tak boleh dihabiskan makanan atau minuman tersebut. Dia sudah bersusah payah menyediakan hidangan untuk anda dan meluangkan masanya demi anda, maka tunjuklah rasa hormat sedikit pada tuan rumah agar dia tidak berkecil hati.

 

Tak sedar sampai malam duduk di rumah tetamu. Satu tips yang boleh digunakan ialah, apabila tuan rumah bertanya “Eh dah pukul berapa ya? Tak sedar masa dah berlalu!” ini bermakna sudah tiba masa untuk anda beransur pulang. Itu hanyalah bahasa kiasan yang sering digunakan tuan rumah untuk memberitahu tetamu bahawa “saya ada hal lain” atau “saya letih, bolehkah anda pulang sekarang?”

 

Sebetulnya, seorang tetamu tidak boleh berganjak pulang selagi tidak meminta izin dengan tuan rumah. Ini sering terjadi di majlis-majlis keramaian atau kenduri-kendara di mana tetamu terus pulang tanpa bertemu dengan tuan rumah.  Sebelum pulang, pergilah bersalaman dan bertemu tuan rumah terlebih dahulu sebagai tanda terima kasih.

 

Ucaplah terima kasih dan bersyukur atas kesudian tuan rumah menerima anda sebagai tetamu mereka sebelum bergegas pulang.

 

 

 

 

Sumber:internet