KelabMama

12 Tips Berkesan Didik Anak Kecil Solat Dengan Mudah Tanpa Paksaan

12 Tips Berkesan Didik Anak Kecil Solat Dengan Mudah Tanpa Paksaan

Nak didik anak kecil solat ni bukanlah satu proses yang sukar, jika kaedah kita betul. Malah mereka akan tertunggu-tunggu untuk solat dengan mama. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Nak disiplinkan anak untuk solat sentiasa tak mudah tapi Mama Siti ada 12 tips mudah dan berkesan untuk ajar anak kecil solat tanpa perlu dipaksa.

Sabda Rasulullah, “Perintahkanlah anak kamu sembahyang semasa umur mereka 7 tahun dan pukullah mereka semasa umur 10 tahun serta asingkanlah tempat tidur mereka”. (H.R Abu Daud, Al-Hakim & Tirmizi)

1. Selalu Solat Depan Anak

Ibu bapa adalah model terbaik dalam apa-apa jua perkara pada mata anak-anak. Mereka akan tiru segala perbuatan ibubapa walau secara langsung ataupun tak langsung. Jadi, gunakan kelebihan ni dalam mengajar anak kecil solat. Solatlah di tempat yang sentiasa dapat dilihat oleh anak. Contohnya, ruang tamu. Selalunya anak-anak kecil akan tiru gaya kita solat. Satu petanda yang bagus sebab mereka dah tunjuk rasa minat dan ingin tahu tentang solat.

 2. Ajak Anak Solat, Bukan Suruh

“Along, mari solat…”

ATAU

“Along, pergi solat!”

Mama kena ajak anak mama solat berjemaah BERSAMA-SAMA, bukannya suruh dia solat sendiri! Tak perlu tunggu sampai anak umur 7 tahun baru nak ajak mereka solat. Walaupun anak baru berusia 2-3 tahun, ajak mereka supaya solat disebelah kita.

Pada waktu ni, bakat meniru mereka sangat hebat. Lakukan secara konsisten setiap masa untuk ajak anak solat di awal waktu. Bila kita buat macam ni, kita sebenarnya sedang tanam mindset supaya mereka bersedia setiap kali masuk waktu solat. Kalau anak-anak dah bersekolah, ajak anak solat subuh bersama sebelum keluar bekerja atau hantar anak ke sekolah.

3. Minta Laungkan Iqamah

Setiap kali solat berjemaah, minta anak untuk laungkan iqamah. Awal-awal memang ada yang malulah, tak tahulah, tapi kita sebagai ibubapa, bimbinglah mereka untuk laungkan iqamah dengan betul.

InshaaAllah, ini bukan saja mengajar mereka untuk rasa lebih yakin, malah akan buatkan mereka timbul rasa tanggungjawab setiap kali solat. Kalau mama ada ramai anak lelaki lagi senang tugas mama. Suruh mereka gilir-gilir laungkan iqamah!

4. Dengarkan Bacaan Dalam Solat Dengan Jelas

Untuk mengajar anak solat sejak kecil, ibubapa perlu wujudkan suasana dalam keluarga yang utamakan solat.

Kuatkan bacaan dalam solat supaya anak kita boleh dengar. Dengan cara ni, secara tak langsung ia akan buatkan anak ingat surah-surah lazim yang sering kita bacakan. Anak juga akan faham bagaimana sebenarnya tertib (langkah-langkah) dalam solat dilakukan.

5. Bersalaman dan Peluk Lepas Solat

Mama mungkin rasa pelukan dan ciuman selepas bersolat ni tak berapa penting sangat. Tapi, bersalam diikuti dengan pelukan dan ciuman bukan saja dapat eratkan hubungan kekeluargaan, malah dapat beri persepsi positif kepada anak bahawa solat ini sebenarnya salah satu aktiviti untuk berkasih sayang. InshaaAllah, ia akan buat anak rasa gembira dan sentiasa menunggu waktu solat.

6. Beri Pujian Untuk Setiap Perkara Positif

Ini poin paling penting! Kalau anak tunjukkan kelakuan yang baik contohnya dia tak main-main bila solat, mestilah mama kena puji dia kan? Puji anak bila mereka buat menunjukkan persediaan untuk solat seperti pakai telekung, kopiah, hamparkan sejadah dan sebagainya.

Bagitahu mereka, “Cantiknya anak mama pakai telekung / kopiah” atau “Bangga mama dapat anak rajin solat”. Barulah mereka akan rasa gembira dan semakin tekun untuk solat.

7. Ajar Wuduk Langkah-Demi-Langkah

Sebenarnya, cara didik anak kecil solat ni bermula dari wuduk. Kalau wuduk sempurna, InshaaAllah solat juga akan sempurna. Ajar anak ambil wuduk yang sempurna. Bimbing dia langkah demi langkah. Kalau boleh, tampal poster wuduk bergambar dalam bilik mereka.

Sabar, mungkin perkara ni ambil masa sikit sebelum anak dapat lakukan dengan sempurna. Tapi ia akan berbaloi bila mereka dah pandai. Jangan lupa perhatikan dia setiap kali dia ambil wuduk dan tegur secara terus jika dia buat silap. Dengan cara ni, setiap teguran akan kekal dalam kepala mereka. Ingat, mama tak boleh serahkan perkara ni kepada guru agama semata-mata.

8. Tazkirah Santai Selepas Solat

Tambah kemanisan solat berjemaah dengan memberi tazkirah pendek sesama ahli keluarga.

Ambil sedikit masa lepas solat untuk bagi tazkirah kepada anak-anak. Tak perlu formal sangat! Cukup dengan gaya bersahaja dan sentuh perkara-perkara asas contohnya rukun solat, soal jawab bacaan surah lazim, dan isu-isu semasa. Kalau tak ada idea sangat, mama buka saja kisah nabi. Settle.

Pada waktu ni, jiwa anak-anak lebih tenang. Sebab waktu ni merupakan waktu yang untuk beri pengajaran kerana mereka akan lebih mudah untuk menyerap.

9. Sentiasa Dekatkan Anak Dengan Azan

Ajar anak untuk hormat azan. Bila dengar saja azan dilaungkan, berhenti bercakap dan beritahu anak supaya diam. Sebutkan cara menjawab azan dengan jelas supaya anak juga boleh dengar. Lepas iu, baca bersama-sama dengan anak doa selepas azan. Sentiasa praktikkan rutin ni tak kira dimana jua sama ada di luar rumah atau di dalam kereta.

Ini dapat beri contoh kepada anak bagaimana untuk hormat azan, dan secara tak langsung ajarkan anak membaca sendiri doa selepas azan. Jika berkesempatan, ceritakan kepada anak apa tujuan azan dan siapakah orang pertama yang melaungkan azan.

10. Bawa Anak Ke Masjid

Menjadi satu rahmat yang besar jika rumah mama berdekatan dengan masjid. Yang mana rumah dekat dengan masjid, mama boleh bawa anak mama untuk solat berjamaah bersama-sama disana. Ini bertujuan untuk dedahkan mereka dengan suasana solat berjamaah dan tanamkan semangat cintakan masjid.

Biasakan membawa anak ke masjid tanpa menunggu bulan Ramadhan.

Kalau mama sibuk, tak apa. Usahakan untuk cari ruang masa sekurang-kurangnya sekali seminggu untuk pergi ke masjid bersama anak-anak. Mungkin anak-anak akan bermain-main dan bising, tapi salah satu kaedah mengawal anak adalah mengajak mereka solat disebelah. Mama mungkin tak berpeluang untuk solat di saf depan, tapi at least mama dapat kawal anak mama supaya tak ganggu jemaah lain.

Soal tak dapat solat di saf depan tu, tak apa. InshaAllah akan ada peluang lain bilamana anak mama dah tekun solay dan tak terganggu dengan kawan-kawan lain.

11. Tegur Kesilapan Anak

Lepas sesi berdoa, biasanya waktu ni merupakan waktu yang paling sesuai untuk tegur kesilapan solat anak. Mulakan dengan pujian dulu. Jangan terus betulkan kesilapan mereka. Setiap kali ingin memperbetulkan sesuatu kesalahan, tarik perhatian anak dengan pujian.

Jadikan solat sebagai medan untuk bermesra, bukan tempat untuk melepaskan kemarahan. Ingat, mereka masih kecil. Banyak yang mereka boleh belajar. Jangan jadi ibu bapa yang pemarah.

12. Belikan Telekung/Kopiah yang Cantik

Salah satu cara untuk tingkatkan mood anak ialah belikan untuk mereka kelengkapan solat contohnya sejadah, telekung dan kopiah. Nak mereka lebih excited untuk solat, bagi mereka pilih telekung/kopiah kesukaan mereka. Barulah semangat nak solat tu berkobar-kobar!

Puji mereka agar mereka semakin bersemangat. Contohnya, “Wah! Cantiknya adik pakai telekung untuk solat.”, kanak-kanak kan suka dengan pujian. Puji saja, bukannya susah pun kan?

Amalkan Doa Pelembut Hati Anak-Anak

Semakin anak mama membesar, mama mesti susah hati bila tengok anak mama liat sungguh nak solat kan? Dah dilaung 400 kali pun, masih lagi tak berganjak. Kalau ada anak mama yang macam ni, meh Mama Siti kongsikan satu doa untuk mama. Baca setiap kali selepas solat dan sebelum tidur dan hembus di ubun-ubun mereka.

رَبِّ اجْعَلْنِى مُقِيمَ الصَّلوةِ وَمِن ذُرِّيَتِى رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَآءِ

(Surah Ibrahim: 40)

Maksudnya: Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

Solat adalah modul latihan yang paling ampuh bagi membina kekuatan jiwa, mental dan iman anak-anak. InshaaAllah, jika anak-anak dilatih solat sejak kecil, mereka takkan berasa kekok untuk utamakan solat bila dah besar. Pahala kerajinan anak-anak solat pun akan turut melimpah kepada ibu bapa yang gigih latih anaknya bersolat.

Sumber: akuislam

BACA JUGA BILA KETUA KELUARGA TIDAK SOLAT. ISTERI & ANAK PERLU MAIN PERANAN

Pesanan Mama Siti:

Dalam menerapkan disiplin anak terhadap solat, asasnya perlulah kukuh. Ia harus dibina dengan kasih sayang dan tak melibatkan kekerasan, ugutan, dan paksaan. Cuba mama praktikkan tips-tips yang mama Siti bagi ni kepada anak-anak mama. Memang awal-awal susah sikit tapi sabar. Yakin bahawa setiap usaha kita pasti akan ada hasilnya nanti. Mudah-mudahan anak akan lembut hati, lebih bersemangat, dan tekun mendirikan solat!