KelabMama

10 PERKARA MAMA BOLEH CUBA UNTUK TINGKATKAN KEYAKINAN DIRI ANAK-ANAK

Keyakinan diri yang tinggi merupakan satu sifat yang diimpikan semua orang. Tak semua orang mempunyai keyakinan yang tinggi. Kurangnya keyakinan diri boleh membuatkan seseorang itu tidak mudah untuk bergaul, tidak berani untuk menyahut cabaran, dan juga mudah untuk dibuli. Mama mesti taknak anak-anak anda macam ni kan?

Di bawah saya dah senaraikan 10 perkara yang Mama boleh buat untuk tingkatkan keyakinan diri anak-anak bila mereka besar nanti.

  1. Hargai usaha mereka.

Mama dan papa harus hargai segala usaha anak kita tak kisah la sekecil mana sekali pun. Walaupun mereka mungkin gagal, jangan perkecilkan usaha mereka. Gunakan kata-kata positif dan membangun supaya mereka akan sentiasa berusaha.

2. Memberi sokongan dan galakkan dalam minat mereka.  

Nanti besar, abang jadi Doktor tau. Taknaklah jadi pemain bola. Takut tak ada masa depan.

Perkara macam ni merupakan salah satu silap terbesar yang ibu bapa sering lakukan. Saya faham, setiap ibu bapa nakkan yang terbaik untuk anak-anak. Cuma kadang-kadang tu apa yang kita impikan untuk anak-anak mungkin sukar untuk mereka capai. Atau, mereka memang tidak minat.

Apa salahnya untuk Mama biarkan anak-anak cari sendiri apa yang mereka minat? Kita bagi sokongan dan dorongan yang sepatutnya je. Dengan sokongan dari ibu bapa, anak-anak akan lebih yakin dalam apa yang mereka minat dan pasti mudah untuk mereka peroleh kejayaan.

3. Biarkan mereka selesai masalah sendiri.

Kalau sikit-sikit Mama dengan Papa je yang tolong buat kerja sekolah, yang tolong selesaikan masalah, macam mana anak kita nak belajar? Macam mana mereka nak usaha?

Jangan terlalu manjakan anak-anak, terutamanya dari segi pembelajaran. Biar mereka rasa sedikit kegagalan agar mereka dapat cari sendiri jalan penyelesaian.

4. Galakkan mereka untuk bertanya.

Bila anak-anak dah mula bercakap, mesti banyak sangat “Kenapa itu, kenapa ini…” kan? Kadang-kadang sampai penat kita nak menjawab. Tapi hal itu penting untuk pembesaran mereka. Pertanyaan anaka-anak itu boleh menimbulkan rasa ingin tahu, rasa banyak lagi perkara yang mereka perlu belajar, disamping meningkatkan keyakinan diri mereka.

Kalau anak-anak kurang bertanya dan kurang bercakap tu la Mama kena risau. Yang terlalu banyak bercakap dan bertanya tu, layankan je soalan mereka tu.

5. Beritahu mereka yang tak semua orang boleh menjadi kawan.

Ajar anak-anak tentang perhubungan. Beritahu mereka yang tak semua perhubungan itu kekal selamanya dan tak semua bakal menjadi kawan mereka. Sentiasa ingatkan mereka bahawa tak semua orang akan suka dan sayang kita, tapi itu tak bermakna kita tak boleh hidup gembira. Bila anak-anak dah faham situasi macam ni, mereka pasti akan lebih berdikari di masa akan datang.

6. Jangan sesekali kritik usaha mereka.

Untuk pengetahuan Mama, anak-anak ni pun sentiasa nak berikan yang terbaik untuk kita. Ada je anak-anak yang jenis akan salahkan diri kalau mereka gagal atau tak dapat berikan yang terbaik. Mereka rasa mereka dah kecewakan kita.

Jangan sesekali biarkan anak-anak rasa macam tu. Bila mereka dah mula rasa macam tu, nanti keyakinan diri mereka akan kurang dan mereka berpotensi untuk tidak mencuba sesuatu yang baru.

7. Berikan cabaran baru setiap hari.

Kalau anak-anak nak cuba perkara baru, biarkan je mereka. Mama jangan halang! Walaupun perkara tu mungkin simple atau kecil di mata Mama, tapi keinginan mereka untuk mencuba akan membuatkan anak-anak rasa pentingnya usaha. Anak-anak akan lebih memahami yang setiap cabaran kecil yang mereka tempuhi tu merupakan satu usaha ke arah perkara yang lebih besar.

8. Beri tunjuk ajar mengenai apa yang anda tahu.

Untuk anak-anak, Mak Ayah la role model mereka sejak mereka lahir. Apa je yang kita buat, mesti anak-anak nak ikut.

Mama dan Papa harus sentiasa berikan yang terbaik demi anak-anak. Ajar mereka cara untuk bercakap, berfikir dan membawa diri mereka dengan baik, sopan dan penuh hormat. Berdasarkan kajian, anak-anak akan lebih berkeyakinan bila melihat ibu bapa mereka sendiri berjaya dan dihormati.

9. Perlu lebih tegas tapi jangan menghalang.

Bersikap tegas tak bermakna Mama dan Papa perlu bersikap terlalu mengawal. Sikit-sikit tak boleh, anak nak cuba itu ini tak benarkan. Jangan macam tu Mama.

Biarkan anak-anak kita buat keputusan sendiri agar mereka lebih yakin dengan diri mereka. Melainkan perkara itu sangat buruk untuk mereka.

10. Jangan biar anak-anak tahu kita risaukan mereka.

Rasa risaukan anak-anak tu merupakan perkara yang normal. Tapi jangan sampai anak-anak tahu perasaan kita yang sering risaukan mereka. Sebab apa? Takut anak-anak kurang keyakinan diri dan takut dengan semua perkara yang dia lakukan sebab fikirkan perasaan Mama Papa.

Ingat, rasa keyakinan diri yang tinggi dalam anak-anak merupakan satu perkara yang sangat bernilai. Mama dan Papa boleh cuba 10 perkara di atas ni supaya anak anda membesar dengan rasa keyakinan diri yang tinggi, lebih cerdas dan cergas!